Thursday 7 July 2011

ISTIKHARAH CINTAKU

BAB 1
            Adrina menyapu rumput dan daun-daun yang berselerakan di halaman rumahnya. Angin terasa nyaman sahaja petang itu. Usai sahaja daun-daun yang berguguran itu dikumpulkan, adiknya Aqilah segera membakarnya, menambahkan lagi suasana yang nyaman pada petang yang redup itu dengan bau asap rumput dan daun kering yang dibakarnya. Adrina memandang ke halaman rumahnya dengan rasa yang puas kerana rumput dan daun yang menjadi hamparan di halamannya sewaktu dia pulang semalam berjaya diselesaikannya.
            Kedengaran jeritan kegirangan dari arah seberang jalan hadapan rumahnya. Kelihatan beberapa remaja seusia adiknya girang bermain badminton di hadapan rumah mereka. Sesekali kelihatan mereka yang tidak bermain mengusik rakan mereka yang sedang ligat bermain badminton. Gelagat mereka mengundang nostalgia lama dibenak fikiran Adrina.
            Ketika usianya seusia mereka, dia juga bermain bersama rakan-rakan yang sebaya dengannya di waktu petang sebegitu. Banyak kenangan manis yang dikutipnya ketika zaman remajanya, tidak terlepas juga kenangan pahit. Adrina tersenyum sendirian mengingati kenangan silamnya. Sedang dia berdiri dibawah pokok jambu batu di halaman rumahnya, adiknya Aqilah berjalan terhendap-hendap menghampirinya dan cuba mengejutkannya dari arah belakang badannya.
            “Hah!!” usik Aqilah sambil ketawa melihat kakaknya terkejut dengan sergahannya. Adrina berasa geram melihat adiknya mentertawakannya lantas dicubitnya pipi gebu milik adiknya itu.
            “Suka betul kau ketawakan aku ye. Macam dah tak ada kerja lain nak dibuatnya. Ambik ni...,” ujar Adrina sambil mencubit kedua-dua pipi adiknya dengan penuh kegeraman. Aqilah menjerit kesakitan dan meminta kakaknya itu melepaskannya. Dari arah rumah, kelihatan seorang wanita lewat 50 an keluar sambil membawa sedulang juadah petang. Hamimah menggelengkan kepalanya sambil tersenyum melihat gelagat kedua anak daranya. Sambil berhati-hati dia menuruni tangga sambil membawa dulang menuju ke halaman rumah.
            “Hisy, ni apa ni. Bisingnya sampai ke dapur mak uda dengar. Rina lepaskan adik kamu tu, habis merah pipi adik kamu kerjakan,” ujar Hamimah sambil meletakkan dulang berisi juadah petang di atas meja kayu bersebelahan dengan pokok jambu itu. Aqilah segera melarikan diri mendekati Hamimah sambil menjelirkan lidah ke arah kakaknya. Adrina hanya menggelengkan kepala melihat telatah adiknya itu sambil menuju ke arah ibu tirinya.
            Hamimah berkahwin dengan ayahnya selepas lima bulan ibunya meninggal dunia apabila melahirkan adiknya, Aqilah. Ketika itu usianya baru sahaja 15 tahun. Kehidupannya ketika itu cukup perit selepas kematian hidup ibunya. Abang dan kakaknya pula berada di universiti, jarang sekali pulang ke kampung. Mereka pulang hanya apabila musim cuti semester sahaja. Dialah yang terpaksa menjaga adiknya apabila ayahnya, Halim pergi bekerja walaupun pada masa itu dia akan menduduki penilaian menengah rendah, dia terpaksa membahagikan antara masa untuknya belajar dan menjaga adiknya yang masih kecil.
            Haji Sidek yang ketika itu menjadi ketua kampung seringkali memberi nasihat kepada Halim agar mencari pengganti baru. Beliau cukup kasihan melihat Adrina yang terpaksa membahagikan masa diantara belajar dan menjaga adiknya. Akhirnya, Halim bersetuju dengan cadangan Haji Sidek untuk mengahwini Hamimah yang merupakan anak saudara Haji Sidek. Walaupun diawalnya kedua abang dan kakaknya membantah perkahwinan tersebut, namun sikap Hamimah yang begitu menyayangi dirinya dan adiknya yang masih kecil itu telah melembutkan hati kedua abang dan kakaknya.
            Wanita yang berada dihadapannya itulah yang telah mendidik dirinya menjadi seorang yang lebih tabah dan juga insan yang berguna. Adrina berasa senang melihat ibu tirinya sabar melayan keletah adiknya yang sememangnya nakal itu.
            “Rina, kenapa tercegat lagi tu. Marilah duduk sekali makan cekodok yang mak uda buat ni,” ujar Hamimah sambil tersenyum.
            “Kak Rina memang macam tu, mak uda. Suka termenung lepas tu berangan,” Aqilah memberitahu dengan mulut yang penuh berisi cekodok. Adrina menjuihkan bibirnya sahaja. Dia segera merasa cekodok yang dihidangkan dengan senyap.
Hamimah memandang wajah anak tirinya itu. Antara keempat-empat anak tirinya itu, Adrinalah yang paling pendiam dan perahsia. Dia sendiri sukar untuk menyelami apa yang difikirkan oleh anak tirinya itu.
“Berapa hari cuti ni.” Hamimah menanya sambil memandang wajah bujur sirih milik anak tirinya itu.
“Seminggu je mak uda.”
“Mak aih, lamanya. Nanti raya ada cuti lebih tak,” ujar Hamimah sambil membulatkan matanya. Adrina tersengih melihatnya.
“Ada. Cuti Rina ada lagi baki 27hari. Nanti masa raya Rina mintaklah cuti awal. Mak uda janganlah risau,” ujarnya dengan lembut.
Hamimah menjuihkan bibirnya sambil berkata, “ Iyalah tu. Nanti macam raya tahun lepas, baru dua hari raya kamu dah kena kerja balik.” Adrina tertawa kecil mendengar rungutan ibu tirinya itu.
“Betul. Rina janji raya tahun ni Rina mintak cuti lebih dekat bos Rina.”
Adrina memandang ke langit, matahari mulai menuju ke ufuknya untuk melabuhkan tirainya.
“Ayah ke mana mak uda. Dari tengah hari lagi Rina tak nampak,” ujarnya sambil memandang ke bawah rumah mencari motor yang selalu digunakan oleh Halim.
“Hmm... ayah kamu, mana lagi kalau tak ke kebunnya. Katanya buah durian dah banyak yang gugur. Kalau tak dipungut cepat nanti adalah yang kena kebas,” ujar Hamimah bersahaja. Adrina tersenyum. Dia sudah masak dengan perangai ayahnya yang memang tidak pernah mahu melekat dirumah walaupun sehari. Sewaktu ibunya masih hidup lagi pun ayahnya memang selalu keluar menguruskan kebunnya. Jika tidak ke kebun pasti akan menolong teman-temannya di ladang. Begitulah ayahnya semenjak bersara dari berkhidmat dalam tentera lebih 20 tahun yang lalu.
Kesepian melanda mereka berdua. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Tidak lama kemudian Hamimah bergegas masuk ke dalam rumah, ingin menyediakan juadah makan malam katanya. Dia sempat berpesan kepada Adrina agar memasukkan ayam-ayam mereka ke dalam reban.
*****
Malam itu, usai sahaja menikmati juadah makan malam Halim segera merehatkan diri di ruang tamu sambil mendengar berita jam lapan sementara menunggu waktu Isyak. Kebiasaannya selepas sahaja makan malam dia akan terus ke surau. Tetapi malam itu dia lebih senang solat dirumah sahaja memandangkan seharian dia berada di kebun. Kepenatan kian membelenggunya.
Di dapur Adrina membantu Hamimah membasuh pinggan manakala Aqilah sudah masuk ke dalam bilik bagi menyiapkan kerja sekolahnya. Tahun ini dia akan menduduki peperiksaan UPSR. Hamimah membawa kopi panas ke ruang tamu dan dihidangkan dihadapan Halim. Sewaktu Adrina menaiki tangga dan ingin menuju kebiliknya, Hamimah menegurnya.
“Rina, duduklah sekali kita bual-bual,” ujarnya.
Adrina teragak-agak untuk ke sana. Dilihatnya wajah Halim yang selamba sahaja membuatkan hatinya menjadi tawar untuk duduk bersama-sama mereka. Hubungannya dengan ayahnya amat renggang sekali selepas ayahnya malu dengan penduduk kampung gara-gara dirinya yang menolak tiga rombongan merisiknya sekaligus. Semenjak itu ayahnya jarang menegurnya mahupun berbual seperti dahulu setiap kali dia pulang ke kampung. Sekiranya ayahnya bersuara pun pasti dengan nada yang sinis.
“Kalau dalam rumah sendiri pun mesti dipelawa macam tetamu susahlah,” ujar Halim dengan nada yang sinis namun mata tetap memandang ke kaca tv. Adrina segera melabuhkan punggungnya di atas kerusi rotan. Matanya kadang-kadang mencuri pandang ke arah ayahnya.
Hamimah berdehem setelah beberapa detik suasana sunyi mencengkam ruang tamu itu. Dia memandang wajah anak tirinya dan suaminya silih berganti, akhirnya dia memulakan bicara.
“Tadi siang hajah Asiah datang ke rumah. Dia jemput kita datang kenduri dekat rumah dia jumaat malam nanti, abang senang masa tu,” ujarnya sambil memandang wajah suaminya.
“Hajah Asiah? Hajah Asiah mana ye...” tanya Halim sambil mengerutkan dahinya.
“Ala abang ni, isterinya haji Mansur askar pencen tu. Takkanlah abang dah tak ingat pulak padahal selalu jumpa haji Mansur tu.”
“Awak ni pun satulah, yang saya selalu jumpa suaminya bukan isterinya,” ujar Halim membidas kata-kata isterinya tadi. Hamimah tersenyum malu mendengarnya.
“Jadi ye bang kita pergi rumah mereka nanti,” ujarnya. Halim menganggukkan kepalanya.
“Insya-Allah, kalau tak ada apa-apa hal kita pergilah. Tapi kalau saya sibuk hari tu awak pergi dengan budak-budak ni,” Halim memberi kata putus. Adrina mendongakkan kepala apabila mendengar ayahnya seperti cuba berbicara mengenainya.
Halim segera bangun dan menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk kerana waktu Isyak sudah lama masuk. Hamimah menjuihkan bibirnya ke arah suaminya kemudian dia memandang ke arah Adrina.
“Ayah kamu tu selalu macam tu. Bila diajak pergi bersama banyak sangat alasannya. Nanti Rina teman mak uda pergi kenduri tu ye,” ujarnya dengan lembut sambil menepuk bahu anak tirinya itu sebelum berlalu ke dapur bersama cawa kotor. Adrina hanya tersenyum sahaja sambil memandang kelibat ibu tirinya. 

No comments:

Post a Comment