Sunday 31 July 2011

ISTIKHARAH CINTAKU

BAB 4    
Jam sudah menunjukkan  hampir pukul 12.00 tengahari. Adrina memandang keluar. Mak uda ni tak nak balik ke. Syok sangat ke berbual sampai tak tahu nak balik. Perut aku dah berbunyi ni. Karang aku makan dulu dibebelnya sebab tak tunggu dia, bebelnya dalam hati. Tahulah dia bahawa ibu tirinya itu tidak suka makan seorang diri. Pastinya ingin makan berteman, kononnya baru ada selera jika ada teman untuk makan bersama.
Adrina seorang diri dirumah. Dia menyambung membaca majalah yang dibelinya sambil menunggu Hamimah pulang. Aqilah pula sudah awal-awal memberitahunya bahawa dia ada kelas tambahan sehingga ke petang. Maklumlah, tahun ini adiknya itu akan menduduki peperiksaan UPSR.  Cahaya matahari yang terik diluar membuatkan dirinya bertambah malas untuk bergerak ke mana-mana. Keasyikannya membaca tiba-tiba diganggu dengan deringan telefon bimbitnya. Arghh, kacau betullah, gumamnya sambil mengambil telefon bimbitnya.
“Hello, Rina.”
Adrina kebingungan seketika. Siapa yang telefon ni. Dilihat sekali lagi nombor yang tertera di skrin gajetnya, bukan nombor yang sedia ada dalam simpanannya.
“Er, hello. Siapa ni,” tanyanya ragu.
“Rina, kau tak cam suara aku ke. Ni akulah, Ati... Atiah,” ujar suara di sebelah sana.
“Ya Allah, kau rupanya. Sorrylah aku tak cam suara kau. Kau apa khabar,” ujar Adrina.
“Aku sihat. Amboi, suara aku yang comel ni pun kau tak cam ya. Kau tak save nombor aku ke,”tanya Atiah pelik.
“Sorry... aku lupalah.” Adrina menggarukan kepalanya yang tidak gatal itu.
“Hmm, aku dah agak. Patutlah aku tunggu panggilan dari kau tak ada pun. Aku jugak yang contact kau.” Atiah sengaja berjauh hati untuk memancing perhatian temannya itu.
Adrina dan Atiah merupakan sahabat sejak kecil lagi. Bermula dari tadika hinggalah ke sekolah rendah mereka amat akrab. Hanya apabila menjejakkan kaki ke alam sekolah menegah sahaja masing-masing mulai renggang. Atiah meneruskan pelajarannya ke asrama penuh manakala Adrina hanya bersekolah menengah di pekan yang berdekatan sahaja. Pada mulanya Adrina juga mendapat tawaran yang sama dengan Atiah, tetapi dia terpaksa menolaknya kerana dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang menyebabkan dia mengalami amnesia disamping terdapat darah beku dalam otaknya. Dia terpaksa berulang-alik he hospital Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan susulan.  
Sehinggalah Adrina masuk ke universiti, dia tidak pernah berhubung dengan teman-temannya semasa di sekolah rendah kerana dia tidak dapat mengingati beberapa peristiwa yang berlaku padanya sebelum kemalangan, termasuklah kenangan bersama Atiah sahabat karibnya. Walaupun mereka hanya berjiran kampung, Adrina tidak pernah berjumpa dengan Atiah, lebih-lebih lagi selepas Atiah berjauh hati dengannya kerana menolak tawaran ke asrama penuh bersamanya.
Dua bulan lepas, semasa dia sedang membeli-belah dengan Aqilah di BP Mall, dia terserempak dengan Atiah yang ketika itu sedang menunggu suaminya di hadapan kedai buku Popular. Hakikatnya, dia sendiri tidak dapat mengingati wajah temannya, jika bukan Atiah yang beriya-iya meyakinkannya. Mereka sempat berbual-bual, dari situlah Adrina mengetahui Atiah sudah menjadi guru sekolah menengah dan sudah lima tahun mendirikan rumah tangga dengan suaminya yang juga merupakan pensyarahnya di UTHM. Atiah masih lagi tinggal di Pt Teriman, rumah ibunya. Atiah sempat mengenalkannya dengan suami dan anak-anaknya yang kebetulan baru keluar dari kedai buku.
Menurut Atiah dia ada memberikan kad jemputannya kepada ibu tiri Adrina dengan harapan dia dapat bertemu dengan sahabatnya itu, tetapi dia diberitahu oleh Hamimah bahawa Adrina ketika itu berada di Sarawak kerana mengikuti satu kursus kepimpinan anjuran UITM. Melalui Hamimah juga, Atiah mengetahui masalah kesihatan yang dihadapi oleh Adrina.
“Rina, kau masih dekat kampungkan?” soal Atiah tiba-tiba.
“Ha’ah. Macam mana kau tahu?”
“Mak aku yang cakap. Semalam dia nampak kau dekat kedai depan sekolah rendah tu, masa budak sekolah balik. Mak aku kata, dia ada tegur kau tapi kau macam tak cam dia pulak, hehe...,” ujar Atiah lagi.
Serta-merta kotak fikirannya teringatkan peristiwa ketika dia sedang menunggu Aqilah balik sekolah semalam. Seorang makcik seusia Hamimah tiba-tiba menegurnya dengan mesra sekali. Seolah-olah sudah kenal lama.
“Oh, makcik tu mak kau rupanya, patutlah dia beriya-iya pelawa aku kerumahnya. Alamak, aku tak berapa nak ingatlah. Sorry, Ati aku betul-betul tak  ingat. Sampaikan kata maaf aku dekat mak kau nanti ya,” ujar Adrina penuh kesal.
Atiah dihujung talian sudah ketawa berdekah-dekah. Teringat rungutan ibunya terhadap Adrina yang membuat tidak endah ketika dia menegur gadis itu sewaktu dia pulang dari kerja semalam.
“Rina, kebetulan kau masih kat sini, Sabtu ni ikut aku pergi jamuan kat bandar,” ujarnya. Adrina mengerutkan dahinya. Jamuan, jamuan apa pulak ni? Tanyanya dalam hati.
“Jamuan apa Ati?”
“Jamuan makan malam dengan persatuan alumni sekolah rendah kita. Pergi ya,” terang Atiah.
“Persatuan alumni? Maksud kau majlis reunion dengan kawan-kawan kita masa sekolah rendah dulu? Biar betul?” bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Adrina.
“Memang betullah. Kau ingat dekat universiti aje ke ada persatuan alumni. Ala Rina, dalam majlis tu nanti Cuma budak-budak tahun kita aje. Kira persatuan alumni ni khas untuk budak-budak kita aje. Jomlah Rina, temankan aku, please...” Atiah memujuknya.
“Laki kau mana. Ajaklah dia. Malaslah aku. Lagipun aku tak jadi ahli buat apa nak join. Malaslah, lagipun esoknya aku dah nak balik KL, penat nanti,” Adrina cuba memberi alasan.
“Laki aku sabtu ni kena pergi JB, ada konvensyen katanya. Sebab tu lah aku ajak kau. Nanti masa dekat sana kau daftarlah jadi ahli. Ada disediakan kaunter daftar bagi yang baru nak jadi ahli. Jomlah Rina. Lagipun Amal pun ada sekali,” Atiah memujuk sambil mengumpannya. Adrina mengerutkan dahinya. Amal. Siapa Amal? Bisiknya.
“Kau tak nak tengok muka Amal yang sekarang ni ke. Kau tahu, mamat tu makin hensem. Dah jadi doktor pun, macam bapak dia. Aku nampak dia masa tahun lepas, sebab tahun lepas baru aku join persatuan tu. Terus-teranglah Rina, kalau aku belum kahwin lagi memang aku mengurat mamat tu,” umpannya lagi dengan harapan Adrina tertarik. Sejak dari dulu lagi dia tahu Adrina ada menyimpan perasaan terhadap lelaki yang dikenali dengan nama Amal itu.
“Ati, siapa Amal? Aku kenal dia ke? Dia pun budak kelas kita dulu?” Soal Adrina bertalu-talu sambil memicit-micit kepalanya. Pening. Berkali-kali dia cuba mencari wajah lelaki yang dicakap oleh temannya itu di kotak ingatannya tetapi gagal dan akhirnya sakit kepala mulai menyerangnya sehingga dia rasa pandangannya agak kabur.
Atiah menepuk dahi apabila menyedarinya. “Alamak, aku lupa pulak. Amal memang budak kelas kita. Cuma dia taklah sekelas dengan kita sejak dari darjah satu, dia sekelas dengan kita masa darjah enam sebab masa tu dia baru pindah dari KL. Kau ingat tak masa darjah enam dulu, kau terjatuh dalam parit depan sekolah masa nak balik sebab ada seorang budak ni sengaja langgar kau. Lepas tu ada budak lelaki tolong kau, ingat tak Rina.” Terang Atiah dengan harapan Adrina dapat mengingati kenangan lalunya yang hilang.
Adrina memejamkan matanya seketika. Otaknya memproses maklumat yang disampaikan oleh Atiah. Baru dia ingat, masa sekolah dia pernah terjatuh dalam parit dihadapan sekolah rendah dan telah meninggalkan parut di betisnya kerana ditusuk benda tajam yang terdapat dalam parit. Hampir meraung dia ketika itu menahan sakit, sehingga dia terduduk dalam parit. Mujurlah parit itu tidak dalam, hanya paras lututnya. Atiah pula sudah kalut ketika itu dan cuba membantunya keluar dari parit tetapi tidak berdaya kerana tidak dapat menahan berat badannnya yang agak berisi ketika itu. Akhirnya seseorang terjun dan menariknya keluar lalu membawanya pergi untuk mendapatkan rawatan. Tetapi dia tidak dapat mengingati siapa yang menyelamatkannya.
“Aku ingat peristiwa tu, tapi aku tak dapat ingat siapa yang tolong aku masa tu. Entahlah Ati, kepala aku makin sakit bila mengingati benda-benda ni,” ujarnya lemah. Atiah diam dihujung talian. Dia jatuh simpati dengan nasib Adrina. Dia berasa menyesal kerana melemparkan kata-kata yang tidak elok terhadap Adrina apabila mendapat tahu Adrina menolak tawaran ke asrama penuh bersamanya.
“Em, tak apalah kalau kau tak dapat ingat. Hah, ayah kau ada dapat jemputan tak ke kenduri kesyukuran kat rumah Haji Mansurn jumaat ni,” tanya Atiah.
“Haji Mansur isteri dia hajah Asiah ke? Kalau yang tu ada. Mak uda aku cakap orang tu jemput semua orang kampung aku. Macam meriah aje bunyi kenduri kesyukuran dia tu. Sampai orang kampung aku ni pun dia jemput,” ujar Adrina.
“Eh, kau kenal pulak haji Mansur dengan hajah Asiah, Amal kau tak ingat,” tanya Atiah pelik.
“Taklah. Kelmarin aku dengar mak uda cakap dengan ayah, dari situ aku tahu. Kenal nama aje, orangnya aku tak ingat yang mana satu,” Terangnya. Atiah tertawa kecil ditalian tanda mengerti.
“Ha, kalau macam tu, aku jumpa kau jumaat ni. Rumah aku selang dua rumah aje dari rumah haji Mansur tu. Nanti kita jumpa kat sana. Aku nak jawapan dari kau jumaat ni. Aku bagi kau masa untuk berfikir.”
“Hmm, okeylah. Jumaat nanti kita jumpa. Tapi kau janganlah menaruh harapan sangat aku akan pergi ke majlis reunion tu,” ujar Adrina.
“Rina, masa nilah kau kena ingat balik kenangan lama tu. Jumpa dengan kawan-kawan lam mungkin akan mengingatkan semula kau kepada masa lalu kau. Lagipun dah lama sangat kau lupakan tentang kami. Sekaranglah masanya untuk kau ingat semula. Jangan risau, aku ada untuk bantu kau,” jelas Atiah. Dia cuba sedaya-upaya untuk membantu Adrina bagi membuangkan rasa kesal yang pernah terpendam dilubuk hatinya terhadap temannya.
Adrina berasa terharu mendengar kata-kata itu. Memang diakui, sudah lama terlalu lama dia melupakan kenangan masa kecilnya walaupun bukanlah dengan kehendaknya. Masalah yang dihadapinya kini terutamanya hubungannya dengan Halim yang masih tiada perubahan membuatkan dia perlu membuat sesuatu. Dia tahu, Halim kecewa dengannya kerana masih lagi tidak dapat mengingati masa lalunya selain kesnya menolak pinangan.
“Aku akan fikirkan cadangan kau tu. Insya-Allah, jumaat nanti aku bagi kata putus masa kat kenduri tu,” ujar Adrina memberi kata putus.
“Terima kasih, Rina. Jumaat nanti nanti kita jumpa,” balas Atiah dengan nada yang gembira. Dia berharap Adrina terbuka hati untuk mengikutnya ke majlis reunion itu. Tambahan pula ada sesuatu yang ingin dia tunjukkan kepada Adrina yang mungkin boleh mengingatkannya semula kepada seseorang.

ISTIKHARAH CINTAKU

BAB 3
            Adrina terjaga dari tidurnya. Mimpi yang sama sering mengganggu lenanya sejak kebelakangan ini. Dia bangun lalu menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Dikerling jam di dinding, pukul 3.00 pagi. Adrina memutarkan pandangannya disekitar bilik yang dahulunya milik kakaknya, Azimah. Hatinya tidak keruan semenjak tersedar dari tidur. Fikirannya menerawang memikirkan mimpi yang dialaminya itu. Seorang lelaki berjubah putih memegang senaskah al-Quran sering hadir dalam mimpinya telah menggangu lenanya. Siapa dia tu, bisik hatinya.
            Mimpi tersebut sering mengganggunya selepas dia menolak pinangan anak haji Kasimon yang juga merupakan pinangan yang ketiga dia tolak. Bukan niatnya untuk memilih jodoh tetapi hatinya yang masih belum diberi petunjuk untuk mendirikan majsid tersebut. Malahan dia sudah melakukan solat sunat istikharah seperti yang diutarakan oleh ibu tirinya itu untuk mendapatkan petunjuk disamping melakukan puasa sunat namun tetap tidak mendapat jawapan yang tepat untuk dirinya. Sehinggakan amalan sunat itu sudah menjadi nadinya apatah lagi selepas Halim melancarkan perang senyap dengannya.
            Dia sudah membuat keputusan sekiranya selepas ini ada yang datang meminangnya dia akan menerimanya demi perasaan ayahnya. Walaupun dirinya masih tidak mendapat kesediaan itu dia akan tetap menerimanya kerana dia tidak mahu ayahnya berterusan mendiamkan diri apabila berhadapan dengannya.
            Tetapi mimpi yang sering mengganggunya telah mengubah sedikit tekadnya itu. Apakah maksud disebalik mimpi itu? Adakah ianya satu petunjuk bagiku atau hanya sekadar mainan syaitan yang ingin memesong diriku? Gumamnya lagi. Tapi siapa lelaki itu? Takkanlah dia jodoh untukku. Adrina tertawa kecil apabila memikirkannya.
‘Boleh jadi gila ni kalau asyik fikirkan aje. Belum sempat orang datang meminang aku, terpaksa menjadi penghuni hospital orang gila sebab fikir benda-benda ni banyak sangat. Ada baiknya aku buat solat sunat daripada duduk melangut membuang masa fikir benda bukan-bukan,’ getusnya lagi.
*****
            Adrina merehatkan dirinya diruang tamu selepas pulang dari pasar bersama ibu tirinya. Masih awal lagi untuk memasak, tambah pula ayahnya sudah berpesan dengan ibu tirinya bahawa dia tidak pulang makan tengahari.
            Adrina mencapai majalah Impiana yang baru dibelinya tadi. Kelihatannya konsep tropika dan moden seringkali digandingkan dalam hiasan dalam sesebuah kediaman. Adrina membaca dengan penuh minat artikal berkaitan konsep tersebut. Boleh jugak dijadikan ilham untuk projek akan datang ni, gumamnya.
            Adrina merupakan seorang graduan lepasan ijazah UITM dalam bidang hiasan dalaman. Sebaik sahaja dia mendapat ijazah dia ditawarkan untuk terus bekerja di syarikat R&Z Co. Trading yang juga merupakan tempatnya menjalani latihan praktikal. Walaupun syarikat tersebut merupakan sebuah syarikat yang kecil namun ia sering mendapat projek yang agak lumayan harganya.
            Kini sudah tiga tahun Adrina bekerja di syarikat itu. Prestasi kerjanya juga semakin meningkat apatah lagi dia sering diminta oleh ketuanya encik Rizman untuk menguruskan beberapa projek yang agak besar bagi syarikat kecil mereka itu. Bukanlah bermaksud dirinya itu anak emas bagi ketuanya tetapi dari caranya bekerja, idea yang dilontarkan itulah yang membuatkan ketuanya itu yakin untuk membiarkan dirinya menguruskan sesuatu projek. Begitulah yang dikatakan oleh encik Rizman kepadanya ketika dia meluahkan rasa hatinya apabila beberapa pekerja disitu mulai mengata tentangnya.
            Adrina termenung seketika. Tiba-tiba sahaja wajah seseorang terbayang difikirannya. Ligat otaknya memikirkan wajah yang tiba-tiba sahaja mengganggu fikirannya.
            “Apasal pulak tetiba aku boleh melencong fikir benda lain ni.” Lantas diketuknya kepala dengan buku limanya.
            “Hah! Tu dah kenapa tu. Sampai ketuk-ketuk kepala. Pening tu datang lagi ke, Rina,” ujar Hamimah tiba-tiba.
            Adrina tersengih lalu menggelengkan kepalanya. Dia memandang ibu tirinya yang siap memakai tudung di kepala.
            “Mak uda nak pergi mana ni. Pakai tudung lagi. Nak kata ada kenduri sekarangkan waktu orang bekerja. Nak kata ada orang mati tak ada pulak dengar bunyi kentong. Dahlah tu baju mak uda ni tak sesuailah kalau nak pergi majlis,” komen Adrina sambil memandang pakaian yang dipakai Hamimah, hanyalah kain batik dan baju kurung kedah.
            “Hisy budak ni. Tak adanya majlis, tak adanya orang mati, mak uda nak pergi rumah nek Nab kat sebelah tu sekejap. Nak urut kaki orang tua tu. Terseliuh katanya masa nak naik tangga,” kata Hamimah. Mulut Adrina terlopong sambil mengangguk kepala. Hamimah hanya menggelengkan kepalanya sahaja melihat kerenah anak tirinya itu.
            “Kamu nak ikut mak uda tak. Boleh bual-bual dengan nek Nab tu. Sejak kamu dah kerja ni jarang benar kamu jumpa orang tua tu. Sampaikan naik berbulu telinga mak uda dengar dia bebel pasal kamu,” ujar Hamimah sambil melangkah ke pintu.
            “Apa, telinga mak uda berbulu. Mak uda tak pernah cukur ke. Siapa suruh mak uda bela bulu telinga... hehe...” Adrina membuat lawak. Hamimah membulatkan matanya.
            “Melawak pulak budak ni. Sudahlah mak uda pergi dulu. Kamu kat rumah ni rajin-rajinkan tangan tu. Masak lauk nanti, mak uda dah siap siang ikan dengan sayur. Semua bahan ada dalam peti. Jangan nak malas pulak, karang mak uda balik tak siap lagi telinga kamu mak uda bulukan.” Hamimah meleterinya. Lantas dia terus bergerak ke rumah jirannya meninggalkan Adrina yang tersengih-sengih di tangga.
*****
            Adrina menyanyi kecil sambil memasak di dapur. Sedang dia asyik dengan kerjanya tiba-tiba telefon bimbitnya yang terletak diatas meja berbunyi.
            “Siapa pulaklah yang telefon ni. Mengacau betul bila aku nak berseronok sikit,” bebelnya sambil mengambil telefon bimbitnya. Tertera nama Zailah di skrin empat segi gajetnya. Minah ni, apasal telefon aku ni, bisiknya. Lantas ditekannya butang hijau.
            “Hello...assa...”
            “Hei Rina apasal lambat sangat kau angkat telefon. Penat aku tunggu,” jerkah Zailah tanpa memberi salam.
            Adrina menjauhkan telefonnya dan memandangnya seketika. Kurang asam punya perempuan kau jerkah aku, gumamnya geram.
            “Assalamualaikum cik Zailah, awak dah tak ada salam ke,” ujarnya pedas.
            Zailah yang berada dihujung talian tersipu-sipu.
            “Waalaikumusalam, sorry Rina aku excited sangat tadi,hehe...”
            “Banyaklah kau punya excited. Kalau aku ada angin ahmar ke, jantung berlubang ke, mati terkejut sebab kau jerkah tadi tak ke haru namanya. Dahlah belum kahwin lagi,” ujarnya sambil mengetuk-ngetuk pisau ke meja makan.
            “Eh, Rina kau ada angin ahmar dengan jantung berlubang ke. Kau tak pernah cakap dengan aku pun,”tanya Zailah bingung. Adrina menepuk dahinya. Apasallah aku ada kawan blur ni, bisiknya.
            “Aku kata kalaulah. Hisy, dia nikan. Hah, apasal kau telefon ni. Tak kerja ke.”
            “Tak. Aku MC hari ni. Tak sihat sikit badan dua tiga hari ni,” jawab Zailah.
            “Kau dah ehem-ehem ke,”usik Adrina. Zailah dihujung talian ketawa besar. Adrina bingung.
            “Ehem-ehem. Hemm, ayat kau ni kelakarlah,” ujarnya dengan ketawa yang berbaki.
            “Oh, jadi ayat aku ni kelakarlah. Okey, aku tutup telefon sekarang,” ugut Adrina.
            “Eh, nanti dulu Rina. Aku gurau aje. Janganlah marah,” ujar Zailah kalut. Tahu takut, guman Adrina tetapi dalam hati suka mendengar kekalutan temannya itu.  
            “Rina aku ada berita nak sampaikan kat kau ni,” ujar Zailah gembira.
            “Hemm, apa dia. Berita gembira atau sedih kau nak sampaikan ni.”
            “Aduhai, kau ni. Kalau suara aku gembira bagai ni mestilah berita gembira.”
            “Yelah, apa dia. Aku tengah sibuk ni. Kau terhegeh-hegeh macam ni tak berasap dapur aku nanti sebab melayan kau,” ujar Adrina tidak sabar.
            Zailah tersengih. Dia sengaja melengah-lengahkannya kerana dia tahu Adrina pasti tidak sabar ingin mendengar berita itu walaupun asyik membebelnya.
            “I’m pregnant.”
            “What? Are you kidding me?” ujar Adrina tidak percaya.
            “No, Rina. It’s truth. Pagi tadi Harith bawa aku ke klinik sebab dua tiga hari ni badan aku lesu. Dan doktor yang periksa aku cakap, aku mengandung,” terang Zailah dengan nada bercampur baur.
            “Syukur alhamdulillah,Zai. Akhirnya sampai juga rezeki korang. Tahniah dari aku. Em, berapa bulan,” ujar Adrina gembira.
            “Dua bulan.”
            Adrina dan Zailah berkenalan sejak mereka mula-mula menjejakkan kaki ke menara gading lagi. Dia mula mengenali Zailah ketika ingin mendaftar kolej. Kebetulan pula mereka mendapat bilik yang sama. Hubungan mereka bertambah akrab apabila mengetahui mereka berada dalam bidang yang sama. Mungkin juga kerana kedua-duanya berasal dari Johor, hanya berbeza daerah iaitu Adrina berasal dari Batu Pahat manakala Zailah dari Pontian membuatkan mereka bertambah serasi. Ke mana-mana pasti bersama sehinggakan tempat kerja mereka pun sama.
            Kini sudah tiga tahun Zailah mendirikan rumah tangga bersama Harith yang juga merupakan teman Adrina semasa di universiti. Dahulu seringkali juga Zailah mengadu kepadanya tentang masalahnya dengan ibu mertuanya yang sering menggesanya untuk mendapatkan cahaya mata. Ada ketikanya tercetus pertelingkahan di antara Harith dan ibunya gara-gara Zailah yang masih tidak ada tanda-tanda mengandung sedangkan sudah tiga tahun berkahwin.
            “Zai, sekarang kau dah mengandungkan anak Harith, ibu mertuamu mesti suka kan. Yelah, kalau tak mesti dia asyik mengata pasal kau aje. Kau dah bagitahu dia ke,” ujar Adrina. Kedengaran letusan ketawa Zailah dicorong telefon.
            “Aku dah bagitahu dia awal-awal lagi lepas kami balik dari klinik. Kau tahu bukan main suka lagi dia bila dengar berita ni. Menjerit sakan tu,” selorohnya. Adrina tertawa besar mendengarnya.
            “Amboi kau Rina, ketawa mengalahkan aku yang mengandung ni,” sindir Zailah.
            “Ala, aku tolong ketawakan untuk kau. Orang mengandung mana boleh ketawa kuat sangat nanti anaknya kena parkinson pulak,” ujar Adrina selamba. Terdengar dihujung corong telefon Zailah terjerit kecil apabila mendengar kata-katanya.
            Hampir 15minit mereka berbual di telefon. Tiba-tiba Adrina terbau sesuatu yang hangit. Matanya tertacap pada kualinya yang mulai berasap. Terkejut sakan dibuatnya.
            “Ya Allah, kuali aku. Zai, aku tutup dulu tau, kita bual lagi bila aku naik kerja minggu depan. Habis aku, masak memang masak. Bye Zai,” ujarnya penuh kekalutan lantas dimatikan panggilan tersebut tanpa menunggu bicara dari temannya itu.
Dengan segera ditutupnya dapur gas dan dibuka luas-luas tingkap agar asap dapat keluar dari ruang dapur itu. Adrina memandang ikan goreng yang masih berada dalam kuali. Hangus dan hitam legam. Hisy, tak boleh jadi ni. Mati aku kalau mak uda tahu aku masak sambil telefon,desisnya.
Adrina membuka peti sejuk melihat apa-apa bahan yang boleh dibuat semula untuk makan tengahari mereka nanti. Nampak seperti tiada apa-apa yang boleh digantikan dengan ikan yang hangus itu. Tiba-tiba matanya tertacap pada sayur salad dan juga beberapa biji tomato. Adrina memandang lama, tidak lama kemudian dia tersenyum kecil. Tanpa berlengah dia mengambil salad dan tomato tersebut. Masa untuk decoration, hehe...,bisiknya.

Saturday 23 July 2011

ISTIKHARAH CINTAKU

BAB 2
            “Doktor! doktor! Dr Emir tunggu sekejap...” kedengaran satu suara memanggil dari kejauhan. Emir Akmal menoleh kebelakang. Dari jauh kelihatan seorang jururawat sedang berlari-lari anak menghampirinya.
            “Ya, ada apa?” ujarnya sambil melihat jam dipergelangan tangannya.
            Jururawat itu kelihatannya termengah-mengah untuk menjawab soalan tersebut. “Doktor tertinggal fail ni dalam bilik Doltor Roslan. Dia suruh saya bagi fail ni dekat doktor, katanya penting,” ujarnya smbil menghulurkan fail berwarna merah kepada Emir Akmal.
            Emir Akmal menepuk dahinya. Baru dia sedari dirinya yang tidak memegang apa-apa barang ditangan sebaik sahaja keluar dari bilik rakan sekerjanya itu. Kemudian dia tertawa kecil sehingga menampakkan lesung pipitnya.
            “Hah... macam manalah saya boleh tertinggal benda penting ni. Er... menyusahkan awak sahaja berlari kejar saya semata-mata nak bagi fail ni, terima kasih,” ujarnya sambil tersenyum. Dia memandang tanda nama di uniform jururawat itu, Sarah.
            “Sarah, maaf sudah menyusahkan awak.”
            “Eh... tak apa doktor. Bukan susah pun lagipun fail ni ringan. C    uma yang penatnya kejar doktor lah. Doktor jalan laju sangat terpaksa saya kejar,hehe...,” ujarnya sambil menahan debar di dada. Tidak tahan hatinya melihat doktor muda itu tersenyum lebih-lebih lagi apabila lesung pipit di kedua belah pipinya terserlah setiap kali doktor muda itu tersenyum.
            “Ha... kan saya dah kata ianya menyusahkan awak,” ujar Emir Akmal lagi sambil mengusik. Merah padam jadinya wajah gadis dihadapannya itu.
            “Em... kalau tak ada apa-apa saya pergi dulu.” Wajah Sarah bertukar menjadi merah. Tidak sanggup lagi dirinya berdiri lama disitu. Lalu dia bergegas meninggalkan kawasan lobi itu tanpa menunggu doktor muda itu bersuara.
            Emir Akmal terpinga-pinga apabila ditinggalkan gadis itu. Baru sahaja dia berhajat ingin membelanja gadis itu makan tengahari di kantin hospital kelak kerana telah bersusah-payah membawakan fail untuknya. Sesaat kemudian dia tersenyum seorang diri kemudian menggelengkan kepalanya. Terbayang wajah Sarah yang sedikit kalut apabila berbual dengannya tadi. Muka aku ni nampak garang ke sampai dia nak cakap dengan aku pun macam takut-takut aje. Emir Akmal menjungkitkan bahunya tanda tidak mengerti lalu mulai melangkah pergi untuk menuju ke bilik pesakitnya.
            “Ehem, ehem...” kedengaran bunyi deheman di suatu arah.
            Tiba-tiba langkahnya terhenti. Emir Akmal memandang sekeliling mencari suara tersebut kemudian matanya tertacap pada seseorang yang keluar dibalik tembok. Mellisa tersenyum memandangnya.
            “Doktor Emir, bukan main mesra tadi,” ujarnya dengan nada yang sinis.  
            “Hahaha... you cemburu ke.” Emir Akmal membalasnya dengan usikan. Mellisa menarik muka masam namun hanya seketika.
            “Tak ada masa I nak cemburu.”
            Emir Akmal tersenyum melihat ulah si jantung hatinya itu. Dia dan Mellisa sudah berkenalan sejak di bangku sekolah lagi. Malahan kampung mereka juga saling bersebelahan. Emir Akmal tinggal di kampung Pt Teriman manakala Mellisa tinggal di kampung Pt Kaseh.
            Mungkin juga ia dikatakan sebagai jodoh. Semasa di sekolah rendah, mereka selalu bertelingkah atas perkara yang remeh. Dia masih ingat lagi ketika itu dia masih baru lagi di kampung itu. Hari pertama sahaja dia sudah lewat kesekolah. Semuanya gara-gara Mellisa. Gadis itu telah menipunya agar melalui jalan besar untuk ke Sekolah Kebangsaan Seri Molek sewaktu dia bertanyakan arah untuk ke sekolah itu. Hampir setengah jam dia berlegar di jalan besar namun tidak ditemuinya sekolah tersebut. Kemudian baru dia sedar bahawa dirinya sudah ditipu oleh gadis bertocang itu. Akhirnya dia menelefon bapanya En.Ezzudin untuk mengambilnya.
            Apabila dikenang kembali terasa kelakar pula. Wajah Mellisa yang pucat apabila terpandang dirinya yang melangkah ke kelas enam Bestari bersama-sama guru besar dan juga suaranya yang gugup apabila pembohongannya diketahui. Semenjak peristiwa itu dia sering mencuri peluang untuk mencari pasal dengan gadis itu. Walau bagaimanapun pertelingkahan tersebut tidak berpanjangan apabila masing-masing mula membawa haluan sendiri apabila menjejakkan kaki ke alam persekolahan menengah.
            “Mir... EMIR!”
            Emir Akmal tersentak daripada lamunannya apabila terasa bahunya sakit ditampar seseorang. Mellisa dihadapannya mengetap bibir kegeraman. Dia mula menggelabah.
            You tak dengar ke I panggil you banyak kali. You berangankan apa sampai I dekat depan you ni pun boleh tak diendahkan. Dahlah tu tersengih-sengih. You ni kenapa,hah.” Mellisa mulai bercekak pinggang. Entah apa yang dimenungkan pun aku tak tahu. Entah-entah teringatkan nurse tadi. Tak guna betul. Kalau dah nama pun lelaki, nampak perempuan elok sikit rupa pun dah jadi. Menyampah betul. Mellisa menjeling sekilas ke arah jejaka di hadapannya.
            “Er... sorry Mel, I tak sengaja. Er, you cakap apa tadi I tak berapa nak dengar,”ujar Emir Akmal tergugup-gugup. Hisy, macam manalah aku boleh teringat masa dulu punya cerita sampai terlupa Mel dekat depan ni. Emir Akmal berkata-kata dalam hatinya sambil memandang kekasih hatinya merangkap ‘musuh kecil’nya suatu masa dahulu.
            I tanya ni pukul berapa kita nak keluar lunch. I cari you dekat bilik tadi tapi you tak ada pulak,” ujar Mellisa malas. Dia rasa seperti tidak ada mood untuk keluar bersama walaupun pada awalnya mereka sudah berjanji untuk makan tengahari bersama. Tetapi memandangkan Emir Akmal akan bercuti selama lima hari mulai petang ini dia tahan juga rasa hati ini. Mana mungkin dia tahan untuk tidak bertemu dengan lelaki yang sudah menambat hatinya itu walau sehari.
            Emir Akmal yang seakan-akan dapat mengesan kelainan dari suara Mellisa segera memegang tangan gadis itu lalu dikucupnya perlahan. Dia perlu mengambil hati kekasihnya yang mudah panas hatinya.
            I’m sorry,” tutur Emir Akmal lembut.
Hati Mellisa yang sedang panas ketika itu segera sejuk apabila mendengar kata-kata tersebut. Sememangnya dia seorang mudah marah namun cepat sahaja sejuknya. Ahh, tak luak pun aku marah lama-lama. Mellisa tersenyum kecil. Emir Akmal berasa lega apabila wajah kekasihnya itu tidak berkerut lagi. Tangan Mellisa masih lagi dipegangnya diusap lembut.
I sebenarnya nak ‘melawat’ pesakit I, tapi I tertinggal pulak fail ni dalam bilik Roslan. Sebab tu nurse tadi cari I sebab nak bagi fail ni. Yang pasal makan tengahari kita tu I tak lupalah. I baru nak cari you lepas I periksa pesakit I ni,” ujar Emir Akmal panjang lebar. Niatnya agar Mellisa tidak berfikiran yang bukan-bukan tentang dirinya. Sikap Mellisa yang mendiamkan diri menggusarkan hatinya.
You masih tak puas hati lagi ke. Kalau you tak percaya belahlah dada I ni, lihatlah hati ini sama ada I berbohong atau tidak ,” usiknya sambil mendepangkan tangannya.
“Hisy, you ni. Buat apa buat macam ni. Malulah orang tengok. Okey...okey... I percaya kata-kata you tu. Sudah-sudah turunkan tangan tu,” ujar Mellisa dengan perlahan apabila orang yang berlalu-lalang di koridor itu memandang ke arah mereka berdua.
Emir Akmal tersengih. Tahu takut, luah hatinya. Mellisa berasa bengang dengan Emir Akmal lantas dia menepuk bahu lelaki itu dengan kuat sebelum pergi. Emir Akmal mengaduh kesakitan.
I tunggu you dekat bilik I. Jangan lama sangat tau,” jerit Mellisa sambil melambaikan tangannya. Gayanya seperti kebudak-budakan. Emir Akmal menggelengkan kepalanya. Boleh tahan juga minah ni pukul aku, getus hatinya sambil cuba menggerakkan bahunya agar tidak sakit.
*****
            “Bila you gerak ke kampung?” tanya Mellisa ketika mereka sedang menikmati hidangan tengahari di restoran Sri Pinang yang terletak di tengah kota raya Kuala Lumpur itu.
            Emir Akmal tidak membalas pertanyaan tersebut sebaliknya dia terus menikmati hidangan dihadapannya dengan senyap. Bukan sikapnya bercakap sambil menghadap rezeki. Mellisa turut mendiamkan diri apabila pertanyaannya itu tidak berbalas. Dengan perlahan dia menikmati hidangan tersebut namun tiada rasa berkecil hati di sudut hatinya kerana dia tahu akan sikap lelaki dihadapannya itu apabila berada di meja makan.
            You tanya apa tadi?” tanya Emir Akmal usai sahaja kedua-duanya selesai makan.
            “Em, I tanya bila you gerak ke kampung nanti.”
            “Oh, insya-Allah lepas asar I bertolaklah.”
            “Sampaikan salam I pada umi. Cakap dengan umi I minta maaf sesangat sebab tak dapat datang kenduri tu,” ujar Mellisa lembut. Emir Akmal tersenyum.
            “Tak apalah. Umi mesti faham. Tapi you jangan lupa pulak reunion budak-budak sekolah rendah kita sabtu nanti. I tunggu you dekat sana nanti.”
            “Mestilah I ingat. Dah lama jugak tak jumpa budak-budak ni. Yelah kan kita jumpa setahun sekali masa reunion ni ajalah. You jangan risau, I dah batalkan semua temu janji dengan pesakit I sabtu ni ke minggu depan.” Mellisa memberikan kata putusnya dengan yakin.
            “Tak sabar rasanya nak pergi majlis reunion tu nanti. Masuk tahun ni dah lima tahun kan kita buat majlis ni. You perasan tak setiap tahun mesti ada kawan lama kita yang datang. You ingat lagi tak Mir, kali pertama kita pergi majlis tu cuma berapa kerat aja yang datang. Tapi sekarang setiap kali majlis tu dibuat semakin bertambah ahlinya. Bagus jugakkan. Yelah, selalu kita dengar orang buat majlis reunion untuk rakan sekelas sekolah menengahlah, universitilah, rakan sekerjalah, tapi rakan sekolah rendah jarang sekali, betul tak,” luah Mellisa dengan teruja. Emir Akmal menganggukkan kepalanya.
            “Seronok pulak rasanya bila jumpa balik kawan-kawan. Tak sabar rasanya nak tunggu hari sabtu ni. You tahu, I teruja sangat siapa agaknya kawan kita yang akan datang join kita nanti,” tambahnya lagi. Emir Akmal mengerutkan dahinya.
            “Ada lagi ke? Bukan dah cukup ke?” tanyanya pelik.
            “Adalah. I yakin ada lagi yang tak datang lagi. Tahun lepas I kira masih ada tak cukup lagi budak kelas kita dulu. Cuma I tak ingat siapa,” ujar Mellisa sambil membesarkan matanya. Emir Akmal tertawa kecil sambil menggelengkan kepalanya. Kaki sibuk jugak awek aku ni, getus hatinya.
            “Dengarnya tempat majlis tu dah tukarkan. Bukan dekat restoran yang selalu tu. Emir Akmal memberitahu sambil tangannya mengambil mengacau jus tembikainya.
            “Yeke. Habis tu dekat mana pulak,” ujar Mellisa meminta kepastian.
            “Hari tu Kamal ada jumpa dengan I. Dia cakap buat dekat hotel Katerina. Ada bajet lebih buatlah dekat tempat yang bagus sikit katanya.” Seloroh Emir Akmal sambil mencicip minuman tersebut ke mulutnya.
            Kamal merangkap sepupunya merupakan pengerusi bagi majlis reunion atau alumni bagi rakan sekolah rendah mereka. Kamal yang bersungguh-sungguh ingin mengumpulkan rakan sekolah rendah mereka lalu tertubuhlah majlis alumni untuk rakan-rakan sekolah rendah mereka.
            “Oh, I ingatkan buat dekat JB ke, terkejut jugak,” ujar Mellisa sambil berseloroh. Emir Akmal membulatkan matanya lantas tangannya menarik hidung gadis di depannya itu kerana berasa geram dengan kata-katanya itu.

Monday 11 July 2011

CIRI-CIRI WANITA ISLAM

*Menjaga pergaulan di antara lelaki dan wanita.
*Sabda Rasullulah s.a.w, "Orang yang paling sempurna di antara mereka yang beriman ialah yang paling baik budi pekerti dan yang paling terbaik di antara kamu ialah mereka yang paling baik terhadap keluarganya," -Hadis riwayat Tirmizi.
*Mentaati dan menyenangkan hati ibu bapa.
*Perempuan yang menjaga agamanya adalah satu keuntungan.
*Mentaati suami dan menjaga kehormatan diri ketika ketiadaan suami (bagi yang telah bersuami).
*Kesederhanaan dan kemurnian merupakan sebahagian daripada iman.
*Tidak menceritakan keaiban suami kepada orang lain (bagi yang telah bersuami).
*Wanita diperintahkan untuk menutup kecantikannya kecuali untuk suami, saudara terdekat, pembantu rumah dan kanak-kanak yang belum mengerti seks.
*Sabda Rasulluah s.a.w:
"Kesopanan adalah sebahagian daripada iman dan iman itu tempatnya adalah di syurga." - Hadis riwayat Ahmad dan at-Tarmizi.
*Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Menetaplah di rumah dan janganlah mempamerkan perhiasan dan kecantikan kamu kepada orang asing seperti mana wanita jahiliah." - Surah al-Ahzab:33

Thursday 7 July 2011

ISTIKHARAH CINTAKU

BAB 1
            Adrina menyapu rumput dan daun-daun yang berselerakan di halaman rumahnya. Angin terasa nyaman sahaja petang itu. Usai sahaja daun-daun yang berguguran itu dikumpulkan, adiknya Aqilah segera membakarnya, menambahkan lagi suasana yang nyaman pada petang yang redup itu dengan bau asap rumput dan daun kering yang dibakarnya. Adrina memandang ke halaman rumahnya dengan rasa yang puas kerana rumput dan daun yang menjadi hamparan di halamannya sewaktu dia pulang semalam berjaya diselesaikannya.
            Kedengaran jeritan kegirangan dari arah seberang jalan hadapan rumahnya. Kelihatan beberapa remaja seusia adiknya girang bermain badminton di hadapan rumah mereka. Sesekali kelihatan mereka yang tidak bermain mengusik rakan mereka yang sedang ligat bermain badminton. Gelagat mereka mengundang nostalgia lama dibenak fikiran Adrina.
            Ketika usianya seusia mereka, dia juga bermain bersama rakan-rakan yang sebaya dengannya di waktu petang sebegitu. Banyak kenangan manis yang dikutipnya ketika zaman remajanya, tidak terlepas juga kenangan pahit. Adrina tersenyum sendirian mengingati kenangan silamnya. Sedang dia berdiri dibawah pokok jambu batu di halaman rumahnya, adiknya Aqilah berjalan terhendap-hendap menghampirinya dan cuba mengejutkannya dari arah belakang badannya.
            “Hah!!” usik Aqilah sambil ketawa melihat kakaknya terkejut dengan sergahannya. Adrina berasa geram melihat adiknya mentertawakannya lantas dicubitnya pipi gebu milik adiknya itu.
            “Suka betul kau ketawakan aku ye. Macam dah tak ada kerja lain nak dibuatnya. Ambik ni...,” ujar Adrina sambil mencubit kedua-dua pipi adiknya dengan penuh kegeraman. Aqilah menjerit kesakitan dan meminta kakaknya itu melepaskannya. Dari arah rumah, kelihatan seorang wanita lewat 50 an keluar sambil membawa sedulang juadah petang. Hamimah menggelengkan kepalanya sambil tersenyum melihat gelagat kedua anak daranya. Sambil berhati-hati dia menuruni tangga sambil membawa dulang menuju ke halaman rumah.
            “Hisy, ni apa ni. Bisingnya sampai ke dapur mak uda dengar. Rina lepaskan adik kamu tu, habis merah pipi adik kamu kerjakan,” ujar Hamimah sambil meletakkan dulang berisi juadah petang di atas meja kayu bersebelahan dengan pokok jambu itu. Aqilah segera melarikan diri mendekati Hamimah sambil menjelirkan lidah ke arah kakaknya. Adrina hanya menggelengkan kepala melihat telatah adiknya itu sambil menuju ke arah ibu tirinya.
            Hamimah berkahwin dengan ayahnya selepas lima bulan ibunya meninggal dunia apabila melahirkan adiknya, Aqilah. Ketika itu usianya baru sahaja 15 tahun. Kehidupannya ketika itu cukup perit selepas kematian hidup ibunya. Abang dan kakaknya pula berada di universiti, jarang sekali pulang ke kampung. Mereka pulang hanya apabila musim cuti semester sahaja. Dialah yang terpaksa menjaga adiknya apabila ayahnya, Halim pergi bekerja walaupun pada masa itu dia akan menduduki penilaian menengah rendah, dia terpaksa membahagikan antara masa untuknya belajar dan menjaga adiknya yang masih kecil.
            Haji Sidek yang ketika itu menjadi ketua kampung seringkali memberi nasihat kepada Halim agar mencari pengganti baru. Beliau cukup kasihan melihat Adrina yang terpaksa membahagikan masa diantara belajar dan menjaga adiknya. Akhirnya, Halim bersetuju dengan cadangan Haji Sidek untuk mengahwini Hamimah yang merupakan anak saudara Haji Sidek. Walaupun diawalnya kedua abang dan kakaknya membantah perkahwinan tersebut, namun sikap Hamimah yang begitu menyayangi dirinya dan adiknya yang masih kecil itu telah melembutkan hati kedua abang dan kakaknya.
            Wanita yang berada dihadapannya itulah yang telah mendidik dirinya menjadi seorang yang lebih tabah dan juga insan yang berguna. Adrina berasa senang melihat ibu tirinya sabar melayan keletah adiknya yang sememangnya nakal itu.
            “Rina, kenapa tercegat lagi tu. Marilah duduk sekali makan cekodok yang mak uda buat ni,” ujar Hamimah sambil tersenyum.
            “Kak Rina memang macam tu, mak uda. Suka termenung lepas tu berangan,” Aqilah memberitahu dengan mulut yang penuh berisi cekodok. Adrina menjuihkan bibirnya sahaja. Dia segera merasa cekodok yang dihidangkan dengan senyap.
Hamimah memandang wajah anak tirinya itu. Antara keempat-empat anak tirinya itu, Adrinalah yang paling pendiam dan perahsia. Dia sendiri sukar untuk menyelami apa yang difikirkan oleh anak tirinya itu.
“Berapa hari cuti ni.” Hamimah menanya sambil memandang wajah bujur sirih milik anak tirinya itu.
“Seminggu je mak uda.”
“Mak aih, lamanya. Nanti raya ada cuti lebih tak,” ujar Hamimah sambil membulatkan matanya. Adrina tersengih melihatnya.
“Ada. Cuti Rina ada lagi baki 27hari. Nanti masa raya Rina mintaklah cuti awal. Mak uda janganlah risau,” ujarnya dengan lembut.
Hamimah menjuihkan bibirnya sambil berkata, “ Iyalah tu. Nanti macam raya tahun lepas, baru dua hari raya kamu dah kena kerja balik.” Adrina tertawa kecil mendengar rungutan ibu tirinya itu.
“Betul. Rina janji raya tahun ni Rina mintak cuti lebih dekat bos Rina.”
Adrina memandang ke langit, matahari mulai menuju ke ufuknya untuk melabuhkan tirainya.
“Ayah ke mana mak uda. Dari tengah hari lagi Rina tak nampak,” ujarnya sambil memandang ke bawah rumah mencari motor yang selalu digunakan oleh Halim.
“Hmm... ayah kamu, mana lagi kalau tak ke kebunnya. Katanya buah durian dah banyak yang gugur. Kalau tak dipungut cepat nanti adalah yang kena kebas,” ujar Hamimah bersahaja. Adrina tersenyum. Dia sudah masak dengan perangai ayahnya yang memang tidak pernah mahu melekat dirumah walaupun sehari. Sewaktu ibunya masih hidup lagi pun ayahnya memang selalu keluar menguruskan kebunnya. Jika tidak ke kebun pasti akan menolong teman-temannya di ladang. Begitulah ayahnya semenjak bersara dari berkhidmat dalam tentera lebih 20 tahun yang lalu.
Kesepian melanda mereka berdua. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Tidak lama kemudian Hamimah bergegas masuk ke dalam rumah, ingin menyediakan juadah makan malam katanya. Dia sempat berpesan kepada Adrina agar memasukkan ayam-ayam mereka ke dalam reban.
*****
Malam itu, usai sahaja menikmati juadah makan malam Halim segera merehatkan diri di ruang tamu sambil mendengar berita jam lapan sementara menunggu waktu Isyak. Kebiasaannya selepas sahaja makan malam dia akan terus ke surau. Tetapi malam itu dia lebih senang solat dirumah sahaja memandangkan seharian dia berada di kebun. Kepenatan kian membelenggunya.
Di dapur Adrina membantu Hamimah membasuh pinggan manakala Aqilah sudah masuk ke dalam bilik bagi menyiapkan kerja sekolahnya. Tahun ini dia akan menduduki peperiksaan UPSR. Hamimah membawa kopi panas ke ruang tamu dan dihidangkan dihadapan Halim. Sewaktu Adrina menaiki tangga dan ingin menuju kebiliknya, Hamimah menegurnya.
“Rina, duduklah sekali kita bual-bual,” ujarnya.
Adrina teragak-agak untuk ke sana. Dilihatnya wajah Halim yang selamba sahaja membuatkan hatinya menjadi tawar untuk duduk bersama-sama mereka. Hubungannya dengan ayahnya amat renggang sekali selepas ayahnya malu dengan penduduk kampung gara-gara dirinya yang menolak tiga rombongan merisiknya sekaligus. Semenjak itu ayahnya jarang menegurnya mahupun berbual seperti dahulu setiap kali dia pulang ke kampung. Sekiranya ayahnya bersuara pun pasti dengan nada yang sinis.
“Kalau dalam rumah sendiri pun mesti dipelawa macam tetamu susahlah,” ujar Halim dengan nada yang sinis namun mata tetap memandang ke kaca tv. Adrina segera melabuhkan punggungnya di atas kerusi rotan. Matanya kadang-kadang mencuri pandang ke arah ayahnya.
Hamimah berdehem setelah beberapa detik suasana sunyi mencengkam ruang tamu itu. Dia memandang wajah anak tirinya dan suaminya silih berganti, akhirnya dia memulakan bicara.
“Tadi siang hajah Asiah datang ke rumah. Dia jemput kita datang kenduri dekat rumah dia jumaat malam nanti, abang senang masa tu,” ujarnya sambil memandang wajah suaminya.
“Hajah Asiah? Hajah Asiah mana ye...” tanya Halim sambil mengerutkan dahinya.
“Ala abang ni, isterinya haji Mansur askar pencen tu. Takkanlah abang dah tak ingat pulak padahal selalu jumpa haji Mansur tu.”
“Awak ni pun satulah, yang saya selalu jumpa suaminya bukan isterinya,” ujar Halim membidas kata-kata isterinya tadi. Hamimah tersenyum malu mendengarnya.
“Jadi ye bang kita pergi rumah mereka nanti,” ujarnya. Halim menganggukkan kepalanya.
“Insya-Allah, kalau tak ada apa-apa hal kita pergilah. Tapi kalau saya sibuk hari tu awak pergi dengan budak-budak ni,” Halim memberi kata putus. Adrina mendongakkan kepala apabila mendengar ayahnya seperti cuba berbicara mengenainya.
Halim segera bangun dan menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk kerana waktu Isyak sudah lama masuk. Hamimah menjuihkan bibirnya ke arah suaminya kemudian dia memandang ke arah Adrina.
“Ayah kamu tu selalu macam tu. Bila diajak pergi bersama banyak sangat alasannya. Nanti Rina teman mak uda pergi kenduri tu ye,” ujarnya dengan lembut sambil menepuk bahu anak tirinya itu sebelum berlalu ke dapur bersama cawa kotor. Adrina hanya tersenyum sahaja sambil memandang kelibat ibu tirinya.