Monday 14 November 2011

BIARKAN SAMUDERA

Apa lagi yang lebih damai dan menyelesakan selain menatap ketajaman terpaan tempias hujan yang jatuh mengguyur membasahi bumi, merenjis tangkai hati? Dia termangu menyaksikan titik-titik hujan yang berjatuhan lalu menimpa dada ombak itu. Sungguhlah, dia kesal dengan ombak dan gelora dalam diri.
            Dia meruyupkan kelopak mata. Dia dapat menyaksikan dengan jelas di kejauhan itu.
            Samudera itu kelihatan garang. Berpintal-pintal dan bergulung-gulung. Berpintal-pintal dan bergulung-gulung. Pintalan gulungan itu semakin lama semakin mengecil pula. Wujud semacam satu kesejahteraan dalam diri. Kesegaran meruap di mana-mana. Air tenang dan membuahkan ketenangan. Dia meruyupkan matanya sekali lagi. Entah kali yang ke berapa.
            Entah. Dia tidak peduli.
            Angin semilir berhembus dengan rintik-rintik hujan, terus menderu datang bersama-sama alunan jiwanya yang kering. Ada irama tiupan bayu yang merenyuhkan tangkai hati. Menggeluncur di celah-celah kepahitan dan keperitan detak rasanya. Digagahi diri untuk tidak mengizinkan mata fikirnya menerawang jauh membelah samudera itu. Namun, itulah saat dia mahu melupakan, saat itulah pula ia datang, menerawang dan berlegar-legar membelah kolam rasanya.
            “Samudera ialah khazanah kehidupan nelayan, manakala kesejahteraan dan keharmonian nelayan mengeksploitasi dan memanfaatkan khazanah itu akan menjamin kelangsungan dinamika keseimbangan ekosistem samudera.”
            Mulutnya terkumat-kamit.
            “Mir, apa yang kau kata?”
            Mulut mongel Hakimah memuncung sedikit. Mata Hakimah yang bulat bening dengan alisnya yang hitam lebat mencerlung ke arahnya.
            Dia tidak peduli.
            “Ayah sayangkan laut itu seperti ayah sayangkan kau, Mir.”
            Dia terdengar kata-kat itu. Ingatan-ingatan itu semakin kerap dan sukar hendak dikikis. Buatlah apa sahaja pun, kata-kata itulah yang didengarnya. Pandanglah apa sahaja pun, wajah itulah yang terbias. Biasan itu tidak pernah lekang. Tidak pernah renggang. Sedikit pun.
            “Mir, kuliah tak ada Sabtu ini, kita ke kota, ya?” Mulut mongel Hakimah bergerak-gerak lagi.
            “Sudah tak ada apa-apa lagi yang tinggal buat kita,Mir. Segala-galanya kosong. Segala-galanya tidak bererti.”
            Bagaimana dia mahu melupakan? Diri berasa terhimpit dan terdesak. Hati terasa pedih dan perih. Hujung semester ini dia akan pulang. Di mana dia akan tinggal?Di samudera itu? Di samudera yang garang dan telah dicemari itu? Di mana?
            “Rumah kita sudah tidak ada, Mir. Kau pulang nanti, kau hanya akan melihat tiang-tiangnya yang berceracak. Menunggu masa dicabut dan dibuang. Tiang-tiang itu, tempat kau bermain sembunyi-sembunyi dengan Su, dengan Ti, dengan Min suatu waktu dahulu tidak ada lagi.”
            Dia bangun. Menguak daun jendela warna biru laut. Membiarkan cahaya matahari pagi terbias dan membiarkan juga bayu dingin menjamah kulitnya. Dia merebahkan diri di sisi Hakimah sebentar.
            Sejenak direnungnya kipas yang sedang berputar ligat. Kipas itu pusaran ombak samudera yang berhempas-pulas menyelamatkan dirinya. Samudera itu bergelora, berputar dan berpilin, cuba meloloskan diri daripada himpitan yang menyeksakan itu.
            “Tidak ada lagi ruang untuk kita, Mir. Lihatlah perahu ayah yang tersadai di lumpur itu. Tidak ada sesiapa yang mahu mengambilnya. Kaulihatlah, satu demi satu rumah nelayan roboh. Tidak lama lagi kau akan melihat satu demi satu kehidupan nelayan musnah….” Mulut Mir terkumat-kamit.
            “Mir … kau, kenapa?”
            Hakimah yang sedang membelek-belek majalah, memandang Mir di sisinya. Mir memang aneh sejak akhir-akhir ini. Apa sudah jadi dengan gadis berjiwa kental ini? Hakimah terus sahaja diburu kehairanan. Apa sudah jadi dengan Mir?
            Mir tidak memberi jawapan. Setelah puas merenung kipas yang sedang berputar ligat itu, dia bangun kembali. Dia menguak daun jendela semula. Dia cuba melihat angin. Melihat angin?
            Mir tersenyum.
            Dapatkah dia melihat angin? Dapatkah dia melihat angin seperti dia melihat samudera yang sedang bergelora, menjerit dan meronta-ronta meminta dikasihani?
            “Mir, kita ke kota Sabtu ini ya?” Hakimah beria-ia tanpa menghiraukan Mir yang berkelakuan aneh sejak akhir-akhir ini.
            “Aku mahu melihat laut.” Mir menahan nafas.
            “Melihat laut?” Mata Hakimah besar. Menatap Mir lama-lama.
            “Kau tidak mendengar suara ombak. Kau tidak mendengar jeritan hatinya. Dia menjerit-jerit minta dikasihani. Kau tak dengar?”
            “Mir.”
            “Kau tidak pernah merasai laut seperti ayahku yang saban hari bergelut dengannya. Kau tidak pernah mendengar suara rintihan ombak seperti ayahku yang saban waktu mendengar raungannya.”
            “Mir, sudahlah. Kau sakit, Mir. Kau harus mendapatkan rawatan. Aku bantu kau ya?”
            Hakimah buntu. Dia mahu berterus terang. Mir perlu dibantu. Mir jadi pendiam sejak akhir-akhir ini.
            Dia tahu masalah Mir. Rumah Mir di tepi pantai sudah dirobohkan. Rumah Mir yang buruk dan mahu tumbang itu akan digantikan dengan rumah peranginan yang cantik. Mir tidak berhak tuntut apa-apa kerana tanah itu bukan milik mutlak Mir. Milik mutlak Mir hanyalah rumah papan panjang berderet yang akan dikongsi dengan jiran-jiran Mir nanti.
            “Mir, cuti semester ini kau ikut aku pulang ya?” Hakimah menyentuh bahu Mir. Rambut Mir yang panjang dibelai-belainya. Ada simpati yang luruh di celah-celah harum rambut itu.
            “Biar aku tinggal sahaja di samudera itu. Ia bukan milik sesiapa.” Mir terus sahaja bersuara. Matanya tetap merenung jauh. Pandangan itu menjangkau angin, bukit dan pokok-pokok hijau di kampus itu.
            Dia seperti ternampak susuk tubuh kurus ayah meredah gelombang samudera itu. Samudera itulah yang bergulat dalam diri ayah sejak dulu. Sekarang pun, samudera itulah juga yang wujud dalam diri ayah. Ya. Sekarang pun.
            “Ayah tidak boleh dipisahkan daripada samudera itu. Ayah ialah samudera. Samudera ialah ayah.” Mulut Mir terus sahaja terkumat-kamit.
            Hakimah mengeluh. Dipeluknya bahu Mir. Ada kengiluan mengalir dalam diri. Mir harus diselamatkan sebelum segala-galanya menjadi pudar. Mir sahabatnya yang baik. Dan dia juga harus menjadi sahabat yang baik kepada Mir.
            Siapa lagi yang ada di kampus hijau ini melainkan dia? Mir tidak ada orang lain lagi. Ibu Mir tidak ada sebaik sahaja Mir dilahirkan. Mir cuma ada seorang ayah yang sudah tua.
            Mir tidak memiliki apa-apa pun selain orang tua yang bersemangat waja itu. Mir tidak ada setapak tanah pun miliknya yang sah. Benarlah. Mir kecewa.
            “Samudera itu juga terseksa seperti aku, Hakimah. Dia sakit. Dadanya bergelora. Dia disakiti oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mereka tidak berhati perut. Mereka sengaja mahu melihat samudera menderita.”
            Mir menyeringai. Kemudian Mir memejamkan mata. Di dalamnya hanyut bayangan ayah. Ayah menggawang-gawangkan pukatnya. Ayah mengacung-acungkan pendayungnya.
            “Pembangunan mewah itu telah menciptakan pisau tajam yang membenam di dalam dada ayah. Tajamnya melebihi dayung ayah yang saban waktu membelah samudera.”
            Hakimah mengusap bahu Mir. Simpati mengalir di celah-celah rekahan senyumannya. Jiwa Mir terseksa. Mir tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Mir harus diberi kekuatan. Mir harus diberi keyakinan. Tidak ada sesiapa dalam hidup Mir lagi. Kecuali ayah yang telah tua. Kecuali samudera. Kecuali angin. Kecuali tanah bekas peninggalan hidupnya yang manis. Dan kenangan-kenangan yang sukar Mir lupakan. Selebihnya tidak ada. Tidak ada apa-apa lagi buat Mir.
            Kasihan Mir.
            “Jangan biarkan jiwa kosong.”
            Hakimah merenung wajah ibu. Wajah itu penuh ketenangan. Ada sinaran lembut yang membersit terpancar dari mata ibu. “ Kau harus isikannya dengan nur.”
            “Nur?” Hakimah terkesima. “ Ya, nur. Kau ajar dia sentiasa membaca al-Quran. Kau ajar dia mengenal Tuhan yang satu. Di situ ada ketenangan. Disitu ada kebahagiaan.”
            Hakimah terdiam. Lama dia merenungi ibu. Teringat dia akan kata-kata puan kaunselor yang baru ditemuinya baru-baru ini.
            “Dia mengalami konflik jiwa yang hebat. Mungkin juga kita dapat kelaskannya sebagai skizofrenia mudah. Peringkat permulaan sukar dilihat. Tandanya mungkin dapat dilihat sedikit demi sedikit. Pada mulanya dia tidak berminat dalam banyak perkara, tidak mahu keluar dan pergaulannya dengan orang lain semakin berkurangan.
            “Dia kelihatan tidak bermaya dan mempunyai sikap bosan terhadap hidup. Dia mengabaikan pelajarannya. Pesakit ini harus diselamatkan secepat mungkin, kalau tidak, besar kemungkinan penyakitnya akan melarat.”
            Hakimah terkedu. Direnungnya wajah puan kaunselor itu dengan pandangan sayu. Mir tidak boleh dibiarkan hanyut. Mir harus diberi kekuatan. Mir sahabatnya yang tulus. Mir lambang perjuangan. Namun jiwa Mir terlalu goyah.
            Mudah sahaja Mir tergugah. Mir tidak pernah menikmati kasih saying sesiapa. Kecuali ayahnya. Kecuali orang tua yang mempunyai kudrat yang rapuh itu. Barangkali, barangkali kerana itulah Mir mudah menjadi pemurung.
            Barangkali itulah!
            “Hakimah.”
            Ketika langkahnya bergerak untuk mendapatkan Mir, tiba-tiba ibu mencekak tangannya. Dia terhenti mendadak, menoleh ke arah ibu yang berjarak selangkah di belakang. Ibu merenung wajahnya. Lama-lama.
            “Ada apa, ibu?”
            “Tunggu.” Ibu menarik nafas. Kemudian ibu menghulurkan bungkusan yang berbalut kain putih. “Berikan ini kepada Mir.”
            Hakimah angguk. Tangannya menyentuh bungkusan itu. Digenggamnya kemas-kemas. Terbayang wajah Mir yang suram, sendu dan mengharukan. Untuk sejenak, direnungnya wajah ibu yang sentiasa prihatin, lembut dan mendinginkan.
            Wajah itu umpama salju, merenjis hati yang walang. Alangkah damainya jika Mir juga punya ibu. Barangkali Mir juga akan lebih damai. Akan lebih tenteram.
            “Ajaklah Mir datang ke sini. Ingin sekali ibu ketemu dengannya.”
            Spontan, direnungnya wajah ibu yang damai. Sesungguhnya pada saat-saat seperti itu, bagaikan tidak terasa betapa dia sebenarnya amat bersyukur mempunyai wanita yang berhati murni ini. Sungguhlah betapa disedari bahawa dirinya sebenarnya amat bertuah, memiliki wanita yang sarat kemuliaan ini.
            “Ya, saya akan mengajaknya ke sini, ibu. Mengajaknya mengenali seorang wanita yang saya kagumi sejak dulu,” ujarnya.
            Barangkali, dia sewajarnya tidak terus membenamkan kekesalan yang perih itu terus ke jantung hati.  Sewajarnyalah dia membiarkan sahaja samudera itu bergulung-gulung, berpintal-pintal dengan ngauman kegarangannya yang tidak pernah berubah sejak dulu. Yang berubah hanyalah pantai itu. Yang bertukar hanyalah kehidupannya yang payah.
            Dia mendengus kasar. Menepis ingatan yang mengusik kedamaiannya. Sejenak dia merenung hadiah pemberian Hakimah tidak lama dahulu. Dia tersedu kepiluan. Sejenak, kebahagiaan pula menjenguk diri. Silih berganti.
            “Apa lagi yang harus aku lakukan?” rintihnya, kepiluan. Sepilu hati ayah sewaktu melihat rumah kenangannya dirobohkan satu per satu.
            “Ayah gembira melihat kau pulang, Mir.”
            Suara garau ayahkah yang menyentak lamunannya? Masih seperti dalam mimpi, Mir bangun. Berdiri di tepi jendela dan merenung jauh. Melihat samudera yang sedang bergelora ganas. Bergumpalan dan berteriakan. Pedih dan perit.
            “Ayah akur, Mir. Memang sudah suratan. Ayah akan habiskan sisa-sisa hidup ayah di sini. Di rumah gentian ini. Cuma, apabila kau sudah lulus nanti, ayah mahu kau carilah kerja yang baik. Kemudian binalah mahligai sendiri. Hakmu sendiri. Ayah akan bahagia.”
            Mir tersendu kepiluan. Digagahi diri untuk menahan gelombang di dalam dada. Dia mengeluh singkat, lantas memujuk diri. Digenggamnya hadiah pemberian Hakimah, sahabatnya yang baik itu.
            “Ayah tidak mahu lagi membelah samudera itu? Bukankah samudera itu sering menantikan ayah, pahlawan yang tangkas? Ombak laut yang bergulung-gulung itu, bukankah juga sering menanti lelaki yang berani seperti ayah? Menakluki dan menimba khazanahnya. Namun, terus-menerus berterima kasih kepadanya tanpa mengkhianatinya. Samudera terlalu lurs untuk dikhianati ya, ayah?”
            “Ayah yakin samudera tetap akan terus bergelora meskipun dadanya sakit. Dia tetap menyumbangkan baktinya walaupun ayah tidak lagi menemaninya. Cuma ayah harap, engkaulah penerus dan pewaris untuk menjaga samudera itu, Mir. Jangan biarkan dadanya sakit, biarkan ia terus berbakti, selama-lamanya.”
            Mir mengangguk dan menyunggingkan senyum.
            “Amirah.”
            Mir memandang ke sisi. Hakimah dengan wajah ceria, tiba-tiba sahaja terpamer di muka pintu. Ada kebahagiaan terpancar pada mata bening itu.
            “Kau bercakap dengan siapa, Mir.”
            “Aku bercakap dengan ombak, dengan samudera. Ayah menyuruhku menjaganya. Jangan sampai dikhianati. Biarkan pantai dengan bangunan mewah, asal jangan menyakiti samuderaku, biarkan ia bergelombang dan bergelora. Jangan mengkhianati dan mengotorinya.”
            Hakimah tersenyum. Direnunginya wajah Mir. Syukurlah, Mir sudah semakin pulih. Ada kedamaian beriak-iak pada cebisan senyuman Mir.
            “Hadiah ibumu ini akan kupakai lima kali sehari. Jiwaku tenang. Aman dan damai. Terima kasih, Hakimah.” Amirah merenung telekung putih berenda yang cantik itu.
            Hakimah terus sahaja tersenyum, memandang Mir yang tenang di atas sejadahnya.

No comments:

Post a Comment