Sunday 31 July 2011

ISTIKHARAH CINTAKU

BAB 4    
Jam sudah menunjukkan  hampir pukul 12.00 tengahari. Adrina memandang keluar. Mak uda ni tak nak balik ke. Syok sangat ke berbual sampai tak tahu nak balik. Perut aku dah berbunyi ni. Karang aku makan dulu dibebelnya sebab tak tunggu dia, bebelnya dalam hati. Tahulah dia bahawa ibu tirinya itu tidak suka makan seorang diri. Pastinya ingin makan berteman, kononnya baru ada selera jika ada teman untuk makan bersama.
Adrina seorang diri dirumah. Dia menyambung membaca majalah yang dibelinya sambil menunggu Hamimah pulang. Aqilah pula sudah awal-awal memberitahunya bahawa dia ada kelas tambahan sehingga ke petang. Maklumlah, tahun ini adiknya itu akan menduduki peperiksaan UPSR.  Cahaya matahari yang terik diluar membuatkan dirinya bertambah malas untuk bergerak ke mana-mana. Keasyikannya membaca tiba-tiba diganggu dengan deringan telefon bimbitnya. Arghh, kacau betullah, gumamnya sambil mengambil telefon bimbitnya.
“Hello, Rina.”
Adrina kebingungan seketika. Siapa yang telefon ni. Dilihat sekali lagi nombor yang tertera di skrin gajetnya, bukan nombor yang sedia ada dalam simpanannya.
“Er, hello. Siapa ni,” tanyanya ragu.
“Rina, kau tak cam suara aku ke. Ni akulah, Ati... Atiah,” ujar suara di sebelah sana.
“Ya Allah, kau rupanya. Sorrylah aku tak cam suara kau. Kau apa khabar,” ujar Adrina.
“Aku sihat. Amboi, suara aku yang comel ni pun kau tak cam ya. Kau tak save nombor aku ke,”tanya Atiah pelik.
“Sorry... aku lupalah.” Adrina menggarukan kepalanya yang tidak gatal itu.
“Hmm, aku dah agak. Patutlah aku tunggu panggilan dari kau tak ada pun. Aku jugak yang contact kau.” Atiah sengaja berjauh hati untuk memancing perhatian temannya itu.
Adrina dan Atiah merupakan sahabat sejak kecil lagi. Bermula dari tadika hinggalah ke sekolah rendah mereka amat akrab. Hanya apabila menjejakkan kaki ke alam sekolah menegah sahaja masing-masing mulai renggang. Atiah meneruskan pelajarannya ke asrama penuh manakala Adrina hanya bersekolah menengah di pekan yang berdekatan sahaja. Pada mulanya Adrina juga mendapat tawaran yang sama dengan Atiah, tetapi dia terpaksa menolaknya kerana dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang menyebabkan dia mengalami amnesia disamping terdapat darah beku dalam otaknya. Dia terpaksa berulang-alik he hospital Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan susulan.  
Sehinggalah Adrina masuk ke universiti, dia tidak pernah berhubung dengan teman-temannya semasa di sekolah rendah kerana dia tidak dapat mengingati beberapa peristiwa yang berlaku padanya sebelum kemalangan, termasuklah kenangan bersama Atiah sahabat karibnya. Walaupun mereka hanya berjiran kampung, Adrina tidak pernah berjumpa dengan Atiah, lebih-lebih lagi selepas Atiah berjauh hati dengannya kerana menolak tawaran ke asrama penuh bersamanya.
Dua bulan lepas, semasa dia sedang membeli-belah dengan Aqilah di BP Mall, dia terserempak dengan Atiah yang ketika itu sedang menunggu suaminya di hadapan kedai buku Popular. Hakikatnya, dia sendiri tidak dapat mengingati wajah temannya, jika bukan Atiah yang beriya-iya meyakinkannya. Mereka sempat berbual-bual, dari situlah Adrina mengetahui Atiah sudah menjadi guru sekolah menengah dan sudah lima tahun mendirikan rumah tangga dengan suaminya yang juga merupakan pensyarahnya di UTHM. Atiah masih lagi tinggal di Pt Teriman, rumah ibunya. Atiah sempat mengenalkannya dengan suami dan anak-anaknya yang kebetulan baru keluar dari kedai buku.
Menurut Atiah dia ada memberikan kad jemputannya kepada ibu tiri Adrina dengan harapan dia dapat bertemu dengan sahabatnya itu, tetapi dia diberitahu oleh Hamimah bahawa Adrina ketika itu berada di Sarawak kerana mengikuti satu kursus kepimpinan anjuran UITM. Melalui Hamimah juga, Atiah mengetahui masalah kesihatan yang dihadapi oleh Adrina.
“Rina, kau masih dekat kampungkan?” soal Atiah tiba-tiba.
“Ha’ah. Macam mana kau tahu?”
“Mak aku yang cakap. Semalam dia nampak kau dekat kedai depan sekolah rendah tu, masa budak sekolah balik. Mak aku kata, dia ada tegur kau tapi kau macam tak cam dia pulak, hehe...,” ujar Atiah lagi.
Serta-merta kotak fikirannya teringatkan peristiwa ketika dia sedang menunggu Aqilah balik sekolah semalam. Seorang makcik seusia Hamimah tiba-tiba menegurnya dengan mesra sekali. Seolah-olah sudah kenal lama.
“Oh, makcik tu mak kau rupanya, patutlah dia beriya-iya pelawa aku kerumahnya. Alamak, aku tak berapa nak ingatlah. Sorry, Ati aku betul-betul tak  ingat. Sampaikan kata maaf aku dekat mak kau nanti ya,” ujar Adrina penuh kesal.
Atiah dihujung talian sudah ketawa berdekah-dekah. Teringat rungutan ibunya terhadap Adrina yang membuat tidak endah ketika dia menegur gadis itu sewaktu dia pulang dari kerja semalam.
“Rina, kebetulan kau masih kat sini, Sabtu ni ikut aku pergi jamuan kat bandar,” ujarnya. Adrina mengerutkan dahinya. Jamuan, jamuan apa pulak ni? Tanyanya dalam hati.
“Jamuan apa Ati?”
“Jamuan makan malam dengan persatuan alumni sekolah rendah kita. Pergi ya,” terang Atiah.
“Persatuan alumni? Maksud kau majlis reunion dengan kawan-kawan kita masa sekolah rendah dulu? Biar betul?” bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Adrina.
“Memang betullah. Kau ingat dekat universiti aje ke ada persatuan alumni. Ala Rina, dalam majlis tu nanti Cuma budak-budak tahun kita aje. Kira persatuan alumni ni khas untuk budak-budak kita aje. Jomlah Rina, temankan aku, please...” Atiah memujuknya.
“Laki kau mana. Ajaklah dia. Malaslah aku. Lagipun aku tak jadi ahli buat apa nak join. Malaslah, lagipun esoknya aku dah nak balik KL, penat nanti,” Adrina cuba memberi alasan.
“Laki aku sabtu ni kena pergi JB, ada konvensyen katanya. Sebab tu lah aku ajak kau. Nanti masa dekat sana kau daftarlah jadi ahli. Ada disediakan kaunter daftar bagi yang baru nak jadi ahli. Jomlah Rina. Lagipun Amal pun ada sekali,” Atiah memujuk sambil mengumpannya. Adrina mengerutkan dahinya. Amal. Siapa Amal? Bisiknya.
“Kau tak nak tengok muka Amal yang sekarang ni ke. Kau tahu, mamat tu makin hensem. Dah jadi doktor pun, macam bapak dia. Aku nampak dia masa tahun lepas, sebab tahun lepas baru aku join persatuan tu. Terus-teranglah Rina, kalau aku belum kahwin lagi memang aku mengurat mamat tu,” umpannya lagi dengan harapan Adrina tertarik. Sejak dari dulu lagi dia tahu Adrina ada menyimpan perasaan terhadap lelaki yang dikenali dengan nama Amal itu.
“Ati, siapa Amal? Aku kenal dia ke? Dia pun budak kelas kita dulu?” Soal Adrina bertalu-talu sambil memicit-micit kepalanya. Pening. Berkali-kali dia cuba mencari wajah lelaki yang dicakap oleh temannya itu di kotak ingatannya tetapi gagal dan akhirnya sakit kepala mulai menyerangnya sehingga dia rasa pandangannya agak kabur.
Atiah menepuk dahi apabila menyedarinya. “Alamak, aku lupa pulak. Amal memang budak kelas kita. Cuma dia taklah sekelas dengan kita sejak dari darjah satu, dia sekelas dengan kita masa darjah enam sebab masa tu dia baru pindah dari KL. Kau ingat tak masa darjah enam dulu, kau terjatuh dalam parit depan sekolah masa nak balik sebab ada seorang budak ni sengaja langgar kau. Lepas tu ada budak lelaki tolong kau, ingat tak Rina.” Terang Atiah dengan harapan Adrina dapat mengingati kenangan lalunya yang hilang.
Adrina memejamkan matanya seketika. Otaknya memproses maklumat yang disampaikan oleh Atiah. Baru dia ingat, masa sekolah dia pernah terjatuh dalam parit dihadapan sekolah rendah dan telah meninggalkan parut di betisnya kerana ditusuk benda tajam yang terdapat dalam parit. Hampir meraung dia ketika itu menahan sakit, sehingga dia terduduk dalam parit. Mujurlah parit itu tidak dalam, hanya paras lututnya. Atiah pula sudah kalut ketika itu dan cuba membantunya keluar dari parit tetapi tidak berdaya kerana tidak dapat menahan berat badannnya yang agak berisi ketika itu. Akhirnya seseorang terjun dan menariknya keluar lalu membawanya pergi untuk mendapatkan rawatan. Tetapi dia tidak dapat mengingati siapa yang menyelamatkannya.
“Aku ingat peristiwa tu, tapi aku tak dapat ingat siapa yang tolong aku masa tu. Entahlah Ati, kepala aku makin sakit bila mengingati benda-benda ni,” ujarnya lemah. Atiah diam dihujung talian. Dia jatuh simpati dengan nasib Adrina. Dia berasa menyesal kerana melemparkan kata-kata yang tidak elok terhadap Adrina apabila mendapat tahu Adrina menolak tawaran ke asrama penuh bersamanya.
“Em, tak apalah kalau kau tak dapat ingat. Hah, ayah kau ada dapat jemputan tak ke kenduri kesyukuran kat rumah Haji Mansurn jumaat ni,” tanya Atiah.
“Haji Mansur isteri dia hajah Asiah ke? Kalau yang tu ada. Mak uda aku cakap orang tu jemput semua orang kampung aku. Macam meriah aje bunyi kenduri kesyukuran dia tu. Sampai orang kampung aku ni pun dia jemput,” ujar Adrina.
“Eh, kau kenal pulak haji Mansur dengan hajah Asiah, Amal kau tak ingat,” tanya Atiah pelik.
“Taklah. Kelmarin aku dengar mak uda cakap dengan ayah, dari situ aku tahu. Kenal nama aje, orangnya aku tak ingat yang mana satu,” Terangnya. Atiah tertawa kecil ditalian tanda mengerti.
“Ha, kalau macam tu, aku jumpa kau jumaat ni. Rumah aku selang dua rumah aje dari rumah haji Mansur tu. Nanti kita jumpa kat sana. Aku nak jawapan dari kau jumaat ni. Aku bagi kau masa untuk berfikir.”
“Hmm, okeylah. Jumaat nanti kita jumpa. Tapi kau janganlah menaruh harapan sangat aku akan pergi ke majlis reunion tu,” ujar Adrina.
“Rina, masa nilah kau kena ingat balik kenangan lama tu. Jumpa dengan kawan-kawan lam mungkin akan mengingatkan semula kau kepada masa lalu kau. Lagipun dah lama sangat kau lupakan tentang kami. Sekaranglah masanya untuk kau ingat semula. Jangan risau, aku ada untuk bantu kau,” jelas Atiah. Dia cuba sedaya-upaya untuk membantu Adrina bagi membuangkan rasa kesal yang pernah terpendam dilubuk hatinya terhadap temannya.
Adrina berasa terharu mendengar kata-kata itu. Memang diakui, sudah lama terlalu lama dia melupakan kenangan masa kecilnya walaupun bukanlah dengan kehendaknya. Masalah yang dihadapinya kini terutamanya hubungannya dengan Halim yang masih tiada perubahan membuatkan dia perlu membuat sesuatu. Dia tahu, Halim kecewa dengannya kerana masih lagi tidak dapat mengingati masa lalunya selain kesnya menolak pinangan.
“Aku akan fikirkan cadangan kau tu. Insya-Allah, jumaat nanti aku bagi kata putus masa kat kenduri tu,” ujar Adrina memberi kata putus.
“Terima kasih, Rina. Jumaat nanti nanti kita jumpa,” balas Atiah dengan nada yang gembira. Dia berharap Adrina terbuka hati untuk mengikutnya ke majlis reunion itu. Tambahan pula ada sesuatu yang ingin dia tunjukkan kepada Adrina yang mungkin boleh mengingatkannya semula kepada seseorang.

No comments:

Post a Comment