Saturday 19 November 2011

ISTIKHARAH CINTA, EP 6


 EP 6
            “Ramainya orang, mak uda,” ujar Adrina.
            Dia memberhentikan keretanya bersebelahan kereta Nissan Skyline berdekatan pokok jambu di tepi jalan. Halaman rumah si pemilik rumah sudah sesak dengan tetamu. Kereta banyak yang diletakkan di tepi jalan. Nasib dia baik, kebetulan ketika itu ada sebuah kereta bergerak keluar dari halaman rumah jiran sebelah.
            Adrina memandang kereta disebelahnya sebaik sahaja dia keluar dari perut kereta. Macam pernah aku nampak kereta ni sebelum ni, tapi kat mana ye,” bisik hatinya.
            “Buat apa tercegat lagi tu. Cepatlah. Orang pun makin ramai ni.” Hamimah menegur. Adrina tersipu-sipu apabila orang yang lalu di situ menoleh ke arah mereka.
            “Mak uda, kenapa macam meriah aje majlis ni. Dah macam majlis kahwin pulak.”
            “Entahlah. Mak uda pun tak tahu. Katanya sambut cucu pertama sama majlis sebab anak dia buka lagi satu klinik kat bandar tu. Mak uda ingat majlis doa selamat yang biasa je. Tak tahu pula meriah sampai gini.” Ujar Hamimah.
            Adrina mengikut ibu tirinya ke dalam rumah untuk berjumpa dengan tuan rumah. Sebelum bertolak lagi, Hamimah pernah memberitahunya bahawa, tuan rumah perempuan ingin sangat berjumpa dengannya. Tapi kenapa? Soalan yang sama berbenak difikirannya sejak dia sampai lagi.
            Dekorasi setiap ruang rumah lama itu begitu menarik perhatian Adrina. Setiap susun atur perhiasan kena dengan konsep yang digunakan di setiap ruang rumah itu.
            Di ruang tamu sesak dengan orang perempuan pertengahan umur duduk bersembang. Apabila dia lalu diruangan tersebut, semua mata memandang ke arahnya. Adrina menjadi serba tak kena. Lantas dia melemparkan senyuman dan bergegas mengekori Hamimah yang sudah ke ruangan dapur. Aqilah menghilangkan diri sebaik sahaja bertemu dengan rakan sekelasnya, meninggalkan dirinya keseorangan dikelilingi perempuan-perempuan seusia ibu tirinya.
            Hamimah memanggilnya sewaktu dia ingin melabuhkan punggungnya. Adrina menghampiri ibu tirinya. Disebelah ibu tirinya duduk seorang wanita yang agak berusia. Wanita tua itu memandangnya dengan pandangan yang penuh. Adrina berasa tidak selesa.
            “Rina, ni Hajah Asiah tuan rumah ni.” Hamimah memperkenalkannya.
            Adrina menghulurkan tangan untuk bersalaman, tiba-tiba tubuhnya terdorong ke hadapan. Wanita tua yang dikenali dengan Hajah Asiah memeluknya dengan erat. Adrina mendengar esakan kecil dibalik cupingnya. Serba tak kena dia jadinya. Bingung. Mukanya menjadi merah apabila mata sekeliling memandang ke arah mereka. Beberapa ketika kemudian, Hajah Asiah melepaskan juga pelukannya apabila esakannya reda. Hajah Asiah mengesat air mata dengan hujung bajunya. Saat itu kelihatan jelas wajahnya yang dimamah usia. Adrina menjeling ke arah ibu tirinya, alangkah terkejutnya melihatkan ibu tirinya juga mengesat air mata. Kenapa ni.
            Hajah Asiah mengusap pipi Adrina dengan lembut. Hatinya rawan mendengar gadis dihadapannya itu membesar tanpa memori silam kecilnya. Hatinya bertambah sedih apabila diantara ahli keluarganya membenci gadis dihadapannya. Dia tidak bersalah. Takdir yang menentukan semua ini. Apa yang berlaku tidak dirancang. Ini adalah ketentuanNYA, tetapi mengapa ahli keluargaku tidak boleh memaafkannya. Dia masih anak-anak ketika itu, bisik hatinya sayu.
            “Er, puan... hajah... puan hajah tak apa-apa ke? Tanya Adrina.
            “Panggil nek wan. Dulu kamu selalu panggil nek wan,” pintas Hajah Asiah lembut. Adrina berasa pelik. Dulu? Aku pernah jumpa dia ke, bisiknya.
            “Masa kecil-kecil dulu, kamu selalu main dekat kawasan sini. Kamu ingat lagi Atiah. Dia tu cucu saudara nek wan, tiap-tiap petang kamu berdua mesti datang sini lepas balik sekolah agama,” ujarnya lagi.
            Adrina mengerutkan dahi. Dia tak mengingati walau satu pun memori semasa kecil. Hitam dan kosong sahaja yang menjadi latar di benak fikirannya.
            “Siapa yang benarkan budak ni datang sini?” Satu suara kedengaran melengking kuat dibelakangnya. Adrina segera menoleh. Seorang wanita seusia ibu tirinya berdiri tegak di tangga sambil bercekak pinggang.

*****
            Atiah mengusap lembut rambut Adrina yang sedang berbaring di atas katil. Bergegas dia pulang dari rumah hajah Asiah apabila suaminya menelefon memintanya pulang dengan segera. Terkejut dia apabila melihat Adrina yang sedang menangis sambil dipujuk oleh ibunya di ruang tamu sewaktu dia tiba di rumah. Keadaan Adrina tidak terurus ketika itu. Kelihatan tepi bibirnya lebam. Apabila ditanya Adrina hanya menggelengkan kepala sahaja.
            Atiah bangun dengan perlahan apabila melihat Adrina sudah lena. Dia menutup lampu dan pintu sebelum keluar. Di ruang tamu, ibunya, Mak Muyah dan makcik Hamimah masih berbual. Manakala suaminya dan anak mereka ke rumah nenek saudaranya menggantikannya yang terpaksa pulang. Atiah segera mengambil tempat di sebelah ibunya.
            “Rina dah tidur?” tanya ibunya. Atiah menganggukkan kepala.
            “Makcik, apa sebenarnya yang berlaku?” tanya Atiah lembut. Dia memandang tepat ke mata Hamimah. Hamimah mengeluh seketika.
            “Kami ke rumah hajah Asiah tadi,” ujarnya perlahan.
            Dua pasang mata dihadapannya saling berpandangan. Terkejut. Masakan keluarga nenek saudaranya itu menerima kehadiran Adrina. Kerana sesuatu peristiwa membuatkan keluarga nenek saudaranya itu membenci Adrina.
            “Nek Wan yang jemput makcik sekeluarga atau makcik saja-saja datang,” ujar Atiah lagi.
            “Hajah dan suami jemput kami sekeluarga. Hajah yang minta makcik bawa Adrina sekali sebab dia tahu Adrina ada kat sini. Makcik betul-betul tak sangka benda macam ni boleh berlaku.” Hamimah mengeluh lagi. Masih terbayang dikepalanya peristiwa yang baru sahaja berlaku di rumah Hajah Asiah.
            “Siapa yang jemput kau datang sini!” suara Puan Marina melengking kuat di ruang dapur itu. Adrina segera menoleh. Kelihatan seorang wanita seusia ibu tirinya berdiri di tangga atas. Wanita itu menghampirinya. Itulah Puan Marina, satu-satunya menantu perempuan dalam keluarga Haji Mansur. Adrina dan hajah Asiah segera berdiri.
            “Mar, tolong hormat tetamu ummi. Ummi yang jemput mereka datang,” ujar hajah Asiah tegas.
            “Ummi, tolong diam. Ini majlis keluarga saya, jadi saya yang berhak tentukan siapa yang boleh datang,” Puan Marina membantah.
            “Memang ni majlis kau, tapi ingat ni rumah aku. Jadi aku juga berhak untuk jemput siapa yang boleh datang.” Hajah Asiah memulang semula kata-kata menantunya itu.
            Adrina yang berada di sebelah hajah Asiah gelisah. Lantas dipegangnya lengan ibu tirinya sambil memberi isyarat untuk beredar.
            “Nanti! Aku belum habis dengan kau lagi!” tengking Puan Marina apabila melihat Adrina dan Hamimah ingin beredar dari situ.
            “Kau ni kenapa Mar, nak tengking orang tak tentu pasal. Mimah kau bawak si Rina ni balik cepat.Elin, bawak ummi kamu ni masuk bilik.” Arah hajah Asiah apabila melihat keadaan Puan Marina yang mula menggila. Kelihatan seorang gadis bergegas menghampiri mereka dan memujuk Puan Marina ke bilik. Puan Marina menepis tangan anaknya, Dia meluru ke arah Adrina yang hendak ke pintu, lalu ditariknya tangan Adrina. Satu tamparan hinggap ke pipi mulusnya. Perit.
            Adrina tergamam. Dia memegang pipi yang ditampar. Hangat. Dia memandang sekeliling. Semua mata memandang ke arahnya.
            “Puas hati aku. Sebab kau anak aku mati, sebab kau aku jadi macam ni. Semuanya sebab kau. Dasar pembunuh!” Puan Marina menjerit lantang. Tidak cukup dengan tamparan, Puan Marina menarik Adrina keluar rumah dan menolak gadis itu sehingga terjatuh. Tindakan Puan Marina yang drastik itu membuatkan semua yang berada di situ tergamam.
Hamimah segera berlari mendapatkan anak tirinya yang mula tersedu-sedu di atas tanah. Ikutkan rasa hati ingin sahaja dia menampar muka wanita yang berada di hadapannya itu. Tapi apakan daya, dirinya tidak mampu. Khuatir perkara lain pula yang jadi.
“Subhanallah. Marina apa nak jadi dengan kamu ni. Sudah hilang akalkah kamu ni?” ujar Encik Ezzudin tiba-tiba.
Dia dan haji Mansur bergegas ke situ apabila anak bongsunya memberitahu isterinya sedang menggila di dapur ketika dia sedang melayan tetamu yang hadir di hadapan. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat isterinya sedang menolak seorang gadis keluar rumah persis seorang pengemis. Puan Marina termengah-mengah menahan senak dan sebu di dada. Segala perasaan terkumpul di lubuk hatinya. Perasaan yang terpendam selama ini. Matanya mencerun memandang Adrina yang sudah berdiri disebelah ibu saudaranya. Ikutkan hatinya yang sudah dipalit dengan dendam ingin sekali dia ganyang muka itu. Tamparannya tadi seakan tidak memberi kepuasan kepadanya.
“Sudahlah. Jangan dipanjang-panjangkan lagi hal ni. Mimah kamu bawaklah anak tiri kamu ni pulang. Din, kamu pulak bawa isteri kamu masuk. Kepada yang ada disini, saya harap hal ini usahlah dibawa keluar. Biarlah ia diam disini saja. Terima kasih sekali lagi kepada yang sudi hadir pada majlis anak saya ni. Sekali lagi saya minta maaf atas apa yang berlaku.” Ujar haji Mansur dengan penuh berhemah.
“Melampau betul si Mar tu. Makin menjadi-jadi pulak perangai dia,” ujar Mak Muya apabila mendengar cerita Hamimah. Sakit hatinya apabila mendengar perlakuan Puan Marina terhadap Adrina.
“Kalau bukan sebab kaki yang sakit ni, nak aje aku cili mulut dia tu. Geramnya aku,” ujarnya lagi.
“Sudahlah tu mak. Nak buat macam mana, benda dah jadi. Kalau ikutkan hati yang panas ni, Ati pun nak aje balas balik apa yang makcik Mar buat kat Rina. Sayang betul, kalau Ati tak bersembang dengan kak Lina kat bilik, boleh jugak Ati halang makcik Mar dari serang Rina.” Keluh Atiah.
“Halim tahu ke pasal ni, Mah?” Tanya Mak Muya. Wajah Hamimah semakin bertambah keruh. Akhirnya dia melepaskan keluhan yang memberat.
“Tak lagi. Abang Halim pergi Pontian dua hari ni. Mintak-mintak dia tak dengarlah dari mulut orang kampung ni. Kalau tak habislah saya dengan Rina kena.” Ujarnya. Atiah dan ibunya hanya mendiamkan diri. Begitu berat beban yang terpaksa dipikul oleh Hamimah. Walaupun dia hanyalah ibu tiri, tapi seperti ibu kandung bagi Rina dan adik-adiknya,” bisik hati Mak Muya. Kesepian sekali lagi menyelubungi ruang tamu itu.
*****
“Kamu betul-betul dah memalukan saya. Sikap kamu yang menongkat langit tu buat saya malu dengan orang kampung. Apatah lagi dengan ummi dan abah.” Encik Ezzudin meluahkan rasa kesalnya sebaik sahaja dia masuk ke kamarnya.
Puan Marina sedang duduk berteleku di atas katil sambil ditemani anak gadisnya, Elin Suraya. Ellina anak sulungnya pula berdiri ditepi tingkap sambil memeluk tubuhnya, memandang keluar. Di luar, sudah tidak kedengaran suara-suara tetamu yang hadir pada hari itu.
Encik Ezzudin mengambil tempat di bangku meja solek. Dia memandang penuh ke arah isterinya yang masih mencemberut walaupun amukannya sudah beransur hilang. Sebelum dia masuk ke bilik itu, Hajah Asiah sudah menceritakan segala-galanya. Dia cukup terkilan dengan sikap isterinya yang semakin hari semakin melampau. Dia sedar, isterinya masih tidak dapat menerima hakikat tentang kematian anak mereka, Emira Aisya yang juga merupakan kembar Emir Akmal 15 tahun yang lalu.
Pada awalnya dia juga turut terkilan dengan kematian anaknya itu lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan Adrina anak sahabatnya sendiri, namun dia sedar bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Tambahan pula, tahap kesihatan Emira pada masa itu tidak begitu baik, dan sudah ditakdirkan bahawa hidup anaknya itu hanya setakat situ sahaja. Meninggal di usia yang muda. Tetapi Isterinya tetap tidak dapat menerima hakikat itu. Dia berterusan menyalahkan Adrina sebagai punca kematian anaknya. Kasihan anak itu, sudahlah hilang ingatan akibat kemalangan itu, dibenci pula oleh isteriku. Tak termasuk lagi Amal yang turut berdendam kerana kematian kembarnya, bisik hatinya.
Ruang bilik tidur yang sepi itu kembali bernyawa apabila Emir Akmal tiba-tiba sahaja meluru masuk ke bilik tersebut. Emir Akmal memandang orang-orang yang berada dibilik itu. Matanya tertacap pada umminya yang masih lagi di atas katil.
“Ummi, betul ke apa yang Amal dengar. Perempuan pembunuh tu datang sini. Betul ke, ummi?” Emir Akmal bertanya dengan nada yang cukup tegang. Perasaan amarah membuak-buak setiapkali perihal penyebab kematian kembarnya sampai ke cuping telinganya.
“Amal, jaga percakapan kamu tu. Kamu pun nak mengamuk tak tentu pasal macam ummi kamu ni.” Ujar Encik Ezzudin pedas.
“Ayah, perempuan tu dah bunuh adik Mal. Masakan Mal boleh lepaskan dia macam tu aje. Mal memang ajar dia cukup-cukup sama macam dia buat dekat Mira dulu,” tingkah Emir Akmal.
“Kamu pun nak jadi pembunuh jugaklah. Mana ciri-ciri seorang doktor dalam diri kamu tu. Ingat, Mal... budak tu sekarang dah tak ingat apa-apa pun tentang kemalangan tu, dia dah hilang ingatan. Dia umpama seorang pesakit. Dan kamu seorang doktor tak sepatutnya membuat aniaya terhadap pesakit kamu. Kalau kamu cuba buat sesuatu ke atas dia, kamu jugak tak ubah seperti pembunuh.” Ujar Encik Ezzudin tegas. Emir Akmal terdiam.
“Memang padan pun dia hilang ingatan. Balasan atas apa yang dia dah buat. Kenapa tak dia pun mati sekali, sekurang-kurangnya tak lah sakit hati ni.” Ujar Puan Marina tiba-tiba. Semua mata memandang ke arahnya. Encik Ezzudin berisghtifar berbanyak kali.
“Kamu betul-betul dah keterlaluan, Mar. Kamu dah lupa Tuhan ke.” Ujar Encik Ezzudin.
“Saya bukan apa, hati saya sakit bila tengok budak tu hidup membesar. Sedangkan anak saya, usia muda lagi dah pergi tinggalkan saya. Sedangkan dua-dua terlibat dalam kemalangan tu, tapi kenapa dia seorang yang hidup.” Puan Marina mula menangis teresak-esak.
“Kalau bukan sebab kemalangan tu pun, Mira akan pergi juga. Baha juga dah cakap, jantung berlubang dia ditahap yang kronik masa tu. Bila-bila masa sahaja dia akan pergi. Tolonglah, Mar... janganlah awak berdendam dengan budak tu lagi. Dia tak tahu apa-apa masa tu. Kemalangan tu terjadi diluar jangkaan kita.” Ujar Encik Ezzudin sebak.
“Betul cakap ayah tu, ummi. Yang lepas tu biarkan lepas. Lina sekian tengok ummi setiap masa menyimpan dendam. Lagipun tak baik kita berbuat aniaya terhadap orang yang hilang keupayaan macam Rina tu,” ujar Ellina lembut sambil memegang lengan Puan Marina. Ellina melemparkan pandangannya ke arah Emir Akmal yang mendiamkan diri.
Puan Marina menganggukkan kepalanya sambil mengelap air matanya. Respon daripada Puan Marina memberikan satu kelegaan dihati Encik Ezzudin dan Ellina. Manakala Elin dan Emir Akmal hanya mendiamkan diri sahaja.
“Bukan mudah untuk aku lepaskan kau, Rina. Aku buat semua ni untuk kaburkan pandangan suami dan anakku. Aku akan terus buat hidup kau merana. Anak aku juga akan buat kau merana,” bisik hati Puan Marina penuh membencikan. Anak matanya memandang ke arah Emir Akmal yang berdiri termenung di tepi meja solek. Satu rancangan jahat mula terukir di mindanya untuk memusnahkan hidup Adrina kerana dendam yang tersimpan sekian lama. Bantuan dari Emir Akmal amat diperlukan dalam menjayakan rancangan itu.

No comments:

Post a Comment