Sunday 31 July 2011

ISTIKHARAH CINTAKU

BAB 3
            Adrina terjaga dari tidurnya. Mimpi yang sama sering mengganggu lenanya sejak kebelakangan ini. Dia bangun lalu menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Dikerling jam di dinding, pukul 3.00 pagi. Adrina memutarkan pandangannya disekitar bilik yang dahulunya milik kakaknya, Azimah. Hatinya tidak keruan semenjak tersedar dari tidur. Fikirannya menerawang memikirkan mimpi yang dialaminya itu. Seorang lelaki berjubah putih memegang senaskah al-Quran sering hadir dalam mimpinya telah menggangu lenanya. Siapa dia tu, bisik hatinya.
            Mimpi tersebut sering mengganggunya selepas dia menolak pinangan anak haji Kasimon yang juga merupakan pinangan yang ketiga dia tolak. Bukan niatnya untuk memilih jodoh tetapi hatinya yang masih belum diberi petunjuk untuk mendirikan majsid tersebut. Malahan dia sudah melakukan solat sunat istikharah seperti yang diutarakan oleh ibu tirinya itu untuk mendapatkan petunjuk disamping melakukan puasa sunat namun tetap tidak mendapat jawapan yang tepat untuk dirinya. Sehinggakan amalan sunat itu sudah menjadi nadinya apatah lagi selepas Halim melancarkan perang senyap dengannya.
            Dia sudah membuat keputusan sekiranya selepas ini ada yang datang meminangnya dia akan menerimanya demi perasaan ayahnya. Walaupun dirinya masih tidak mendapat kesediaan itu dia akan tetap menerimanya kerana dia tidak mahu ayahnya berterusan mendiamkan diri apabila berhadapan dengannya.
            Tetapi mimpi yang sering mengganggunya telah mengubah sedikit tekadnya itu. Apakah maksud disebalik mimpi itu? Adakah ianya satu petunjuk bagiku atau hanya sekadar mainan syaitan yang ingin memesong diriku? Gumamnya lagi. Tapi siapa lelaki itu? Takkanlah dia jodoh untukku. Adrina tertawa kecil apabila memikirkannya.
‘Boleh jadi gila ni kalau asyik fikirkan aje. Belum sempat orang datang meminang aku, terpaksa menjadi penghuni hospital orang gila sebab fikir benda-benda ni banyak sangat. Ada baiknya aku buat solat sunat daripada duduk melangut membuang masa fikir benda bukan-bukan,’ getusnya lagi.
*****
            Adrina merehatkan dirinya diruang tamu selepas pulang dari pasar bersama ibu tirinya. Masih awal lagi untuk memasak, tambah pula ayahnya sudah berpesan dengan ibu tirinya bahawa dia tidak pulang makan tengahari.
            Adrina mencapai majalah Impiana yang baru dibelinya tadi. Kelihatannya konsep tropika dan moden seringkali digandingkan dalam hiasan dalam sesebuah kediaman. Adrina membaca dengan penuh minat artikal berkaitan konsep tersebut. Boleh jugak dijadikan ilham untuk projek akan datang ni, gumamnya.
            Adrina merupakan seorang graduan lepasan ijazah UITM dalam bidang hiasan dalaman. Sebaik sahaja dia mendapat ijazah dia ditawarkan untuk terus bekerja di syarikat R&Z Co. Trading yang juga merupakan tempatnya menjalani latihan praktikal. Walaupun syarikat tersebut merupakan sebuah syarikat yang kecil namun ia sering mendapat projek yang agak lumayan harganya.
            Kini sudah tiga tahun Adrina bekerja di syarikat itu. Prestasi kerjanya juga semakin meningkat apatah lagi dia sering diminta oleh ketuanya encik Rizman untuk menguruskan beberapa projek yang agak besar bagi syarikat kecil mereka itu. Bukanlah bermaksud dirinya itu anak emas bagi ketuanya tetapi dari caranya bekerja, idea yang dilontarkan itulah yang membuatkan ketuanya itu yakin untuk membiarkan dirinya menguruskan sesuatu projek. Begitulah yang dikatakan oleh encik Rizman kepadanya ketika dia meluahkan rasa hatinya apabila beberapa pekerja disitu mulai mengata tentangnya.
            Adrina termenung seketika. Tiba-tiba sahaja wajah seseorang terbayang difikirannya. Ligat otaknya memikirkan wajah yang tiba-tiba sahaja mengganggu fikirannya.
            “Apasal pulak tetiba aku boleh melencong fikir benda lain ni.” Lantas diketuknya kepala dengan buku limanya.
            “Hah! Tu dah kenapa tu. Sampai ketuk-ketuk kepala. Pening tu datang lagi ke, Rina,” ujar Hamimah tiba-tiba.
            Adrina tersengih lalu menggelengkan kepalanya. Dia memandang ibu tirinya yang siap memakai tudung di kepala.
            “Mak uda nak pergi mana ni. Pakai tudung lagi. Nak kata ada kenduri sekarangkan waktu orang bekerja. Nak kata ada orang mati tak ada pulak dengar bunyi kentong. Dahlah tu baju mak uda ni tak sesuailah kalau nak pergi majlis,” komen Adrina sambil memandang pakaian yang dipakai Hamimah, hanyalah kain batik dan baju kurung kedah.
            “Hisy budak ni. Tak adanya majlis, tak adanya orang mati, mak uda nak pergi rumah nek Nab kat sebelah tu sekejap. Nak urut kaki orang tua tu. Terseliuh katanya masa nak naik tangga,” kata Hamimah. Mulut Adrina terlopong sambil mengangguk kepala. Hamimah hanya menggelengkan kepalanya sahaja melihat kerenah anak tirinya itu.
            “Kamu nak ikut mak uda tak. Boleh bual-bual dengan nek Nab tu. Sejak kamu dah kerja ni jarang benar kamu jumpa orang tua tu. Sampaikan naik berbulu telinga mak uda dengar dia bebel pasal kamu,” ujar Hamimah sambil melangkah ke pintu.
            “Apa, telinga mak uda berbulu. Mak uda tak pernah cukur ke. Siapa suruh mak uda bela bulu telinga... hehe...” Adrina membuat lawak. Hamimah membulatkan matanya.
            “Melawak pulak budak ni. Sudahlah mak uda pergi dulu. Kamu kat rumah ni rajin-rajinkan tangan tu. Masak lauk nanti, mak uda dah siap siang ikan dengan sayur. Semua bahan ada dalam peti. Jangan nak malas pulak, karang mak uda balik tak siap lagi telinga kamu mak uda bulukan.” Hamimah meleterinya. Lantas dia terus bergerak ke rumah jirannya meninggalkan Adrina yang tersengih-sengih di tangga.
*****
            Adrina menyanyi kecil sambil memasak di dapur. Sedang dia asyik dengan kerjanya tiba-tiba telefon bimbitnya yang terletak diatas meja berbunyi.
            “Siapa pulaklah yang telefon ni. Mengacau betul bila aku nak berseronok sikit,” bebelnya sambil mengambil telefon bimbitnya. Tertera nama Zailah di skrin empat segi gajetnya. Minah ni, apasal telefon aku ni, bisiknya. Lantas ditekannya butang hijau.
            “Hello...assa...”
            “Hei Rina apasal lambat sangat kau angkat telefon. Penat aku tunggu,” jerkah Zailah tanpa memberi salam.
            Adrina menjauhkan telefonnya dan memandangnya seketika. Kurang asam punya perempuan kau jerkah aku, gumamnya geram.
            “Assalamualaikum cik Zailah, awak dah tak ada salam ke,” ujarnya pedas.
            Zailah yang berada dihujung talian tersipu-sipu.
            “Waalaikumusalam, sorry Rina aku excited sangat tadi,hehe...”
            “Banyaklah kau punya excited. Kalau aku ada angin ahmar ke, jantung berlubang ke, mati terkejut sebab kau jerkah tadi tak ke haru namanya. Dahlah belum kahwin lagi,” ujarnya sambil mengetuk-ngetuk pisau ke meja makan.
            “Eh, Rina kau ada angin ahmar dengan jantung berlubang ke. Kau tak pernah cakap dengan aku pun,”tanya Zailah bingung. Adrina menepuk dahinya. Apasallah aku ada kawan blur ni, bisiknya.
            “Aku kata kalaulah. Hisy, dia nikan. Hah, apasal kau telefon ni. Tak kerja ke.”
            “Tak. Aku MC hari ni. Tak sihat sikit badan dua tiga hari ni,” jawab Zailah.
            “Kau dah ehem-ehem ke,”usik Adrina. Zailah dihujung talian ketawa besar. Adrina bingung.
            “Ehem-ehem. Hemm, ayat kau ni kelakarlah,” ujarnya dengan ketawa yang berbaki.
            “Oh, jadi ayat aku ni kelakarlah. Okey, aku tutup telefon sekarang,” ugut Adrina.
            “Eh, nanti dulu Rina. Aku gurau aje. Janganlah marah,” ujar Zailah kalut. Tahu takut, guman Adrina tetapi dalam hati suka mendengar kekalutan temannya itu.  
            “Rina aku ada berita nak sampaikan kat kau ni,” ujar Zailah gembira.
            “Hemm, apa dia. Berita gembira atau sedih kau nak sampaikan ni.”
            “Aduhai, kau ni. Kalau suara aku gembira bagai ni mestilah berita gembira.”
            “Yelah, apa dia. Aku tengah sibuk ni. Kau terhegeh-hegeh macam ni tak berasap dapur aku nanti sebab melayan kau,” ujar Adrina tidak sabar.
            Zailah tersengih. Dia sengaja melengah-lengahkannya kerana dia tahu Adrina pasti tidak sabar ingin mendengar berita itu walaupun asyik membebelnya.
            “I’m pregnant.”
            “What? Are you kidding me?” ujar Adrina tidak percaya.
            “No, Rina. It’s truth. Pagi tadi Harith bawa aku ke klinik sebab dua tiga hari ni badan aku lesu. Dan doktor yang periksa aku cakap, aku mengandung,” terang Zailah dengan nada bercampur baur.
            “Syukur alhamdulillah,Zai. Akhirnya sampai juga rezeki korang. Tahniah dari aku. Em, berapa bulan,” ujar Adrina gembira.
            “Dua bulan.”
            Adrina dan Zailah berkenalan sejak mereka mula-mula menjejakkan kaki ke menara gading lagi. Dia mula mengenali Zailah ketika ingin mendaftar kolej. Kebetulan pula mereka mendapat bilik yang sama. Hubungan mereka bertambah akrab apabila mengetahui mereka berada dalam bidang yang sama. Mungkin juga kerana kedua-duanya berasal dari Johor, hanya berbeza daerah iaitu Adrina berasal dari Batu Pahat manakala Zailah dari Pontian membuatkan mereka bertambah serasi. Ke mana-mana pasti bersama sehinggakan tempat kerja mereka pun sama.
            Kini sudah tiga tahun Zailah mendirikan rumah tangga bersama Harith yang juga merupakan teman Adrina semasa di universiti. Dahulu seringkali juga Zailah mengadu kepadanya tentang masalahnya dengan ibu mertuanya yang sering menggesanya untuk mendapatkan cahaya mata. Ada ketikanya tercetus pertelingkahan di antara Harith dan ibunya gara-gara Zailah yang masih tidak ada tanda-tanda mengandung sedangkan sudah tiga tahun berkahwin.
            “Zai, sekarang kau dah mengandungkan anak Harith, ibu mertuamu mesti suka kan. Yelah, kalau tak mesti dia asyik mengata pasal kau aje. Kau dah bagitahu dia ke,” ujar Adrina. Kedengaran letusan ketawa Zailah dicorong telefon.
            “Aku dah bagitahu dia awal-awal lagi lepas kami balik dari klinik. Kau tahu bukan main suka lagi dia bila dengar berita ni. Menjerit sakan tu,” selorohnya. Adrina tertawa besar mendengarnya.
            “Amboi kau Rina, ketawa mengalahkan aku yang mengandung ni,” sindir Zailah.
            “Ala, aku tolong ketawakan untuk kau. Orang mengandung mana boleh ketawa kuat sangat nanti anaknya kena parkinson pulak,” ujar Adrina selamba. Terdengar dihujung corong telefon Zailah terjerit kecil apabila mendengar kata-katanya.
            Hampir 15minit mereka berbual di telefon. Tiba-tiba Adrina terbau sesuatu yang hangit. Matanya tertacap pada kualinya yang mulai berasap. Terkejut sakan dibuatnya.
            “Ya Allah, kuali aku. Zai, aku tutup dulu tau, kita bual lagi bila aku naik kerja minggu depan. Habis aku, masak memang masak. Bye Zai,” ujarnya penuh kekalutan lantas dimatikan panggilan tersebut tanpa menunggu bicara dari temannya itu.
Dengan segera ditutupnya dapur gas dan dibuka luas-luas tingkap agar asap dapat keluar dari ruang dapur itu. Adrina memandang ikan goreng yang masih berada dalam kuali. Hangus dan hitam legam. Hisy, tak boleh jadi ni. Mati aku kalau mak uda tahu aku masak sambil telefon,desisnya.
Adrina membuka peti sejuk melihat apa-apa bahan yang boleh dibuat semula untuk makan tengahari mereka nanti. Nampak seperti tiada apa-apa yang boleh digantikan dengan ikan yang hangus itu. Tiba-tiba matanya tertacap pada sayur salad dan juga beberapa biji tomato. Adrina memandang lama, tidak lama kemudian dia tersenyum kecil. Tanpa berlengah dia mengambil salad dan tomato tersebut. Masa untuk decoration, hehe...,bisiknya.

No comments:

Post a Comment