Monday 6 June 2011

KATA2 PUJANGGA

Manusia dilahirkan dengan kemampuan untuk terbang, kenapa pula mereka memilih untuk merangkak sepanjang hayat



 SESUCI MARYAM
Hati mana yang tidak gembira
Bakal memiliki cahayamata
Penyambung zuriat keturunan
Hadir membawa bahagia
Namun dalam kegembiraan itu
Terselit duka yang meruntun kalbu
Insan yang bakal dilahir ke dunia
Tak tahu asal usulnya
Ribut pasir di gurun membara
Tak sehebat kalut di dalam jiwa
Apa jawabmu bila ditanya….
Janin yang membesar di rahimmu…siapa bapanya
Sedang dirimu yang masih suci tiada ternoda
Saidatina Mariam perawan mulia
Tabah kau hadapi dugaan melanda
Saidatina Mariam wanita solehah
Kebenaran terbukti pada yang tak bersalah
Akhlak yang terpuji dan berperibadi yang tinggi
Menjadi pakaian dan perhiasan diri
Sehingga Allah memilih rahimmu yang suci murni
Untuk menghamilkan Isa…seorang nabi
Kau solehah…

TITIK YANG HILANG

Sebiji batu tepat mengenai dahi seorang budak perempuan berambut tocang yang kebetulan melalui tanah lapang itu. Darah mengalir keluar di celah-celah anak rambutmya. Budak perempuan itu menekup lukanya bagi mengelakkan darah dari terus mengalir. Beberapa budak lelaki yang berada di tanah lapang itu ketawa melihat gelagatnya yang panik.
            “Kenapa kamu semua baling batu dekat saya,” ujar mulut comel itu.
            “Sebab kami sukalah..hahaha...,” balas mereka sambil menjelir-jelirkan lidah mereka. Budak perempuan itu menahan air matanya dari terus mengalir.
            “Kawan-kawan nak tahu tak, budak ni tak ada ayah. Sebab itulah kita tak boleh kawan dengan dia. Nanti ayah kita semua pergi tinggalkan kita,” ujar seorang budak lelaki yang membaling batu ke arah budak perempuan itu tadi.
            “Mak aku cakap budak perempuan ni anak haram. Sebab tu ayah dia tinggalkan mak dia...hahaha...kesian...,” ejek seorang lagi. Muka budak perempuan itu kemerah-merahan.
            “Aku bukan anak haram. Lagipun kalau aku tak ada ayah apa masalah dengan kalian,” jeritnya. Tangannya menggigil menahan marah. Luka di dahinya tidak dihiraukan.
            “Dahlia anak haram...anak haram...hahaha...” Semakin giat budak-budak itu mengejek budak perempuan itu sambil membaling batu ke arahnya. Budak perempuan itu segera pergi meninggalkan tanah lapang itu bersama tangisan sambil menggumam.
            “Memang aku tak ada ayah...tapi aku bukan anak haram...”.
*****
Kokokan ayam jantan mengejutkan Dahlia dari lamunannya. Masa terus berlalu, budak perempuan yang sering diejek meningkat dewasa seiring dengan peredaran zaman. Dahlia meraba-raba bekas parut di dahinya. Kenangan sewaktu kecil tiada yang indah baginya membuatkan Dahlia menjadi seorang yang pendiam. Hanya Anissa sahaja yang sudi berkawan dengannya tanpa menghiraukan status dirinya. Dahlia seorang gadis yang dijaga oleh neneknya, Hajah Som selepas pemergian ibunya lapan tahun yang lalu. Manakala, ayahnya pula tidak pernah dia kenali. Menurut Hajah Som, ayahnya keluar meninggalkan kampung itu sewaktu ibunya sedang mengandungkannya.
            Kini Dahlia sudah menamatkan zaman persekolahannya. Dia membantu neneknya mengambil upah menjahit baju sementara menunggu panggilan untuk menyambung pelajarannya di peringkat yang lebih tinggi. Apabila usia meningkat dewasa, Dahlia sudah tidak menghiraukan lagi tohmahan yang sering dilemparkan kepadanya. Dahlia seakan-akan tidak mahu mengambil peduli tentang ayahnya, lebih-lebih lagi selepas pemergian ibunya.
            “Hisy, disini rupanya anak dara ni. Penat aku panggil tak disahutnya. Termenung aje kerjanya. Tengok ni, baju cik Midah tak siap-siap lagi. Petang ni dia dah nak ambil. Heii...apa nak jadilah anak dara sekarang ni,” bebel Hajah Som sambil bercekak pinggang. Bukannya dia tidak tahu kegemaran cucunya ini. Suka termenung. Dahlia tersengih sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal itu. Mengelamun kenangan silam punya pasal, kerja terus lupa nak buat, bisik hatinya.
            “Ala nek, rileks. Sekejap aje ni. Lia janji akan menyiapkannya. Bukan sengaja pun nak mengelamun...hehehe...,” ujarnya sambil memberi tabik hormat kepada Hajah Som.
            “Huh...iyelah tu... Dah siap nanti jangan lupa tolong kemas sekali bilik arwah ibu kamu tu. Banyak barang yang dah tak guna kat situ. Masa cuti-cuti macam ginilah kamu kena tolong nenek. Nanti dah sambung belajar dah tak ada masa nak tolong. Jangan lupa. Nanti nenek potong elaun kalau tak buat,” dalam membebel sempat lagi Hajah Som mengugut. Dahlia masih lagi memberi tabik hormat sehinggalah Hajah Som berlalu ke dapur.
*****
Kertas yang sudah kekuningan itu digenggamnya dengan erat. Terasa gigilan tangannya sewaktu membaca isi didalam kertas itu. Kertas kekuningan itu adalah surat yang dikirim oleh ayahnya sewaktu berada di Kuala Lumpur. Dahlia melihat pula foto yang sudah usang pada pandangannya. Foto perkahwinan ibu dan ayahnya. Pertama kali Dahlia melihat wajah ayahnya walaupun hanya di dalam sekeping gambar. Dahlia membaca sekali lagi surat itu. Ayahnya pernah berjanji untuk pulang menemui mereka, tetapi pada Dahlia, itu hanyalah sebuah janji yang hanya tinggal janji. Ayah tak pernah tepati janji tu. Ayah kata tak sabar nak lihat aku cahaya matanya, tapi  ayah tak pulang juga. Penipu... Ibu tunggu ayah. Terlalu setia menunggu ayah. Sampai ibu dah pergi, ayah tak pernah pulang, bisik hatinya. Air mata mula mengalir membasahi pipinya. Dahlia menoleh ke belakang apabila terasa bahunya disentuh oleh seseorang. Hajah Som tersenyum memandangnya.
            “Kenapa tiba-tiba menangis ni. Hujan tak ada, ribut tak ada tiba-tiba aje menangis. Apa yang mengganggumu sayang.” Ujar Hajah Som walaupun dia sudah ketahui sebabnya, dia tetap menanyakannya. Kerana dia ingin mendengar dari mulut cucunya itu sendiri.
            “Lia tak tahulah nek. Lia keliru. Lia benci ayah. Dia tinggalkan kami. Tak pernah pulang sampailah ibu meninggal. Tapi Lia rindukan ayah. Lia nak sangat jumpa ayah. Lia keliru...” Dahlia menangis teresak-esak di bahu Hajah Som.
            “Lia tak nak cari ayah ke.?”
            “Kenapa mesti Lia cari dia. Sedangkan dia tak pernah cari kami. Ayah penipu. Dia beri harapan palsu pada ibu. Ibu tunggu ayah sampai dia meninggal, tapi ayah tak pernah pulang. Apa guna bagi surat ni. PENIPU!!!” Dahlia menjerit kuat. Perasaan amarah menghantui dirinya. Dia mengambil surat tersebut dan ingin mengoyakkannya, namun dihalang oleh Hajah Som.
            “Ya Allah, sabar Lia. Jangan ikutkan perasaan tu. Nanti kamu juga yang menyesal. Nenek tak benarkan kamu koyakkan surat ni. Inilah satu-satunya kenangan yang arwah ibu kamu ada. Kalau dia masih ada mesti dia sedih dengan tindakan kamu ini. Sabarlah cu,” ujar Hajah Som sambil mengusap belakang Dahlia.
            “Nenek bukan nak paksa kamu. Tapi selagi masih ada masa ni pergilah cari ayah kamu tu. Nenek tak halang pun. Lagipun, sebagai seorang anak, masakan pula mahu memusuhi, membenci orang tuanya sendiri. Seburuk-buruk dan sejahat-jahat mereka, mereka tetap orang tua kita. Dan kita harus menghormatinya.” Hajah Som memandang wajah cucunya yang mendung itu.
“ Mungkin ayah kamu tu ada sebab yang tertentu sehingga menghalangnya untuk pulang. Kalau dia tak dapat mencari kamu, kamu sebagai anaknyalah yang harus mencarinya dan membawanya pulang. Kamu sudah dewasa untuk menimbang antara yang baik dan buruk. Buatlah sesuatu keputusan itu dengan baik,’ sambungnya lagi. Hajah Som menepuk bahu Dahlia dan berlalu pergi.
*****
            Dahlia memunggah segala isi di dalam begnya. Kelihatan cemas lagaknya. Anissa yang berada disisinya memandang aneh ke arahnya.
            “Lia, kenapa kau keluarkan semua barang ni. Kau tertinggal barang ke?” tanya Anissa. Dia berasa pening melihat temannya yang penuh kekalutan itu. Dahlia memandang Anissa sekilas cuma.
            “Dompet dengan surat ayah aku hilang. Masa dalam bas masih ada lagi. Tolong aku Anis,” rintihnya.
            “Apa? Kau biar betul. Jangan main-main Lia. Bila masanya hilang ni. Kenapa kau boleh cuai,” bebel temannya.
Dahlia berasa geram dengan temannya itu. Banyak tanya pulak makcik ni, bisik hatinya.
            “Anis, kalau setakat nak membebel aje baik tak payah tolong. Aku dah cukup pening dengan soalan-soalan bonus kau tu.”
            “Opss...maaf Lia, aku takkan tanya lagi.” Anissa segera membantu Dahlia mencari barangnya yang hilang itu. Anissa menjeling ke arah temannya itu. Dia berasa kagum dengan kesungguhan Dahlia untuk mencari ayahnya yang tidak pernah ditemuinya.
            Dahlia tidak dapat menumpukan perhatian dalam mencari dompet dan surat ayahnya. Dia teringat akan perbualannya dengan Hajah Som pada petang sebelum dia bertolak ke Kuala Lumpur.
            “Lia betul-betul tekad nak cari ayah kat KL tu?” tanya Hajah Som. Ketika itu mereka sedang berehat di halaman rumahnya. Dia mengusap rambut Dahlia yang lebat itu.
            “Em...Lia dah tekad nek. Lia nak cari ayah. Lia nak kenal ayah Lia dengan lebih dekat,” ujarnya dengan penuh semangat.
            “Kalau ayah Lia dah meninggal, macam mana?”
Dahlia berubah riak wajahnya. Dia menundukkan wajahnya. Hajah Som memegang tangannya dan diusapnya dengan penuh kelembutan. Dahlia mendongakkan kepalanya.
            “Lia tak tahulah nek. Lia tak pernah terfikir sampai begitu. Lia cuma harap, dapat berjumpa dengan ayah. Lia inginkan beberapa penjelasan darinya. Itu aje yang  berada dalam fikiran Lia buat masa ni.” Dahlia tersenyum memandang neneknya.
            ‘Lia, nanti kat tempat orang tu, pandai-pandailah kamu menjaga diri. Nenek jauh disini. Nenek hanya mampu berdoa agar usaha kamu berjalan lancar. Ingat pesan nenek. Jangan lupa solat. Faham.” Hajah Som sempat memberi khutbahnya sebelum Dahlia bertolak ke Kuala Lumpur pada pagi itu.
            “Baiklah nek. Nenek jangan risau. Lia ada Anis bersama-sama. Baiklah nek, Lia pergi dulu,” ujarnya. Kenangan pada pagi itu segera terlupus apabila Dahlia tiba-tiba sahaja menjerit. Orang-orang di kawasan stesen bas menoleh kearahnya. Anissa yang berada disebelah turut terkejut mendengar jeritan itu.
            “Lia, kenapa ni. Kena sawan ke kau ni... Heii...malulah sikit kat tempat orang ni.” Anissa sempat memandang orang disekeliling mereka. Dahlia memandang temannya itu.
            “Aku dah tahu siapa yang curi dompet aku,” ujarnya dengan penuh yakin. Anissa terlopong mendengarnya. Sudah sewelkah kawanku ini, suka-suka aje nak tuduh orang, desis hatinya.
            “Hey Lia. Kau biar betul. Jangan nak menuduh orang lain tanpa sebab. Tak faham betul lah aku dengan kau ni.”
            “Kalau kau tak nak percaya sudah. Aku yakin lelaki yang duduk dekat sebelah aku dalam bas tadi yang curi dompet aku. Sebab aku perasan dia asyik pandang kat tempat aku aje. Aku nak  cari dia sampai dapat.” Dahlia segera keluar dari stesen bas itu dengan gopohnya. Matanya melilau mencari lelaki yang kononnya mencuri dompetnya. Anissa menggelengkan kepalanya. Dia ingin mengikuti temannya itu namun langkahnya terhenti.
Dari kejauhan, Dahlia melihat lelaki yang dicarinya berada di dalam sebuah kedai di kawasan stesen bas itu. Dahlia segera mendekati lelaki tersebut. “ Hey pencuri, pulangkan dompet aku.”  Dengan nada yang agak kasar Dahlia mengherdik lelaki tersebut. Lelaki itu menoleh ke arahnya. Sudahlah diherdik dikhalayak ramai, malah dituduh pencuri pula.
            “Cik, adab sopan tak ada ke. Bagilah salam ke apa, ni tak main terjah aje.” Ujarnya dengan penuh sinis. Matanya mencerlung tajam memandang Dahlia. Dahlia mengetap bibirnya. Dia mengakui kesalahannya namun tidak diendahkannya. Hatinya ketika itu penuh dengan kemarahan.
            “Aku peduli apa. Aku nak kau pulangkan dompet aku sekarang, dasar pencuri.”
Lelaki itu mula bercekak pinggang. Wajahnya mula kemerahan. Tempat tersebut mula dipenuhi penonton yang ingin melihat drama sebabak itu. Suara-suara sumbang mula kedengaran.
            “Bila masa pulak aku curi dompet kau, wahai cik adik yang cantik.”
            “Sebab dalam bas tadi kau yang duduk sebelah aku. Aku perasan kau asyik tengok dekat tempat aku. Agaknya kau curi masa aku tertidur.”
“Memang aku duduk kat sebelah kau dalam bas tadi, tapi aku tak terliur langsung nak curi dompet kau tu. Aku bukannya sengkek sampai nak curi duit orang,” sindirnya. Dahlia berasa tercabar. Dia ingin membalas kata-kata lelaki itu yang dianggap melampau, tetapi terhenti apabila Anissa yang baru sahaja sampai di tempat itu memanggilnya.
“Lia, aku dah jumpa dompet kau tu. Pakcik bas tadi bagi kat aku. Dia jumpa dekat tempat duduk kau dalam bas tadi. Dompet kau jatuh dalam bas lah. Nasib baik pakcik tu baik hati, kalau tak melepaslah jawabnya.” Ujar Anissa sambil menahan mengah. Dahlia tercengang. Dia memandang lelaki yang berada di depannya itu. Lelaki itu berpeluk tubuh. Dia melihat wajah Dahlia yang sudah kemerah-merahan itu. Lelaki itu memandang ke arah Anissa.
 “Nampaknya masalah dah selesai. Cik, awak tolong cakap dekat kawan awak ni, jangan nak menuduh orang tak tentu pasal. Selidik dulu sebelum nak serang, nanti sendiri juga yang malu.” Lelaki itu sempat memberi jelingan yang tajam kepada Dahlia sebelum pergi.
*****
Hari itu merupakan hari pertama dua gadis ini memulakan kerja di sebuah cafe milik seorang usahawan Melayu sebagai pelayan. Sepanjang mereka berada di Kuala Lumpur, mereka tinggal di rumah sepupu Anissa yang bekerja sebagai guru. 
            Kedatangan mereka sebagai pekerja di cafe itu disambut baik oleh pekerja-pekerja yang lain. “Baiklah, memandangkan hari ini merupakan hari pertama kamu berdua bekerja, saya mahu kamu bekerja dari yang asas. Hari ini, saya mahu kamu berdua lap pinggan di dapur. Dah selesai, bantu yang lain pulak. Buat yang terbaik. Hari ini, pengurus akan datang. Jadi, bekerjalah dengan sebaik mungkin. Sebab pengurus kita ni agak ‘angin’ sikit orangnya.” Ujar kak Anim sambil mengenyit matanya.
            “Pengurus yang datang tu, yang bukak cafe ni ke kak. Garang sangat ke dia tu sampai akak kata dia tu ‘angin’,” Anissa menanya dengan lurus bendulnya.
            Kak Anim tersenyum. Dahlia yang berada disebelahnya hanya mendiamkan dirinya sahaja sambil memandang sekelilng ruang cafe itu. Tidaklah sesak mana pun, bisik hatinya. Dahlia berpaling ke arah temannya apabila kak Anim bersuara. “Pengurus yang nak datang ni, orang yang mengawal perjalanan cafe ni aje. Kira orang kepercayaanlah. Pemilik sebenar jarang-jarang datang sini. Maklumlah orang bisnes, mana ada masa nak jenguk cafe ni.”
            “Kalau dah tahu tak ada masa nak datang sini, buat apa bukak cafe ni. Tak takut ke orang suruhan dia tu menipu ke...” Ujar Dahlia tiba-tiba. Kak Anim tersengih.
            “Ada sebab kenapa dia bukak cafe ni. Akak tak tahu lah apa dia, tapi dia sayang sangat dengan cafe ni. Sampaikan kebajikan pekerja pun dia ambil tahu walaupun dia jarang ke sini dan dia sangat mempercayai pengurus kita ni.Eh...sudahlah. Ada baiknya kamu berdua  mula kerja sekarang. Nanti bos datang tengok tengah lepak macam ni, tahan telinga lah jawapannya. “ Dengan segeranya gadis-gadis itu mula bekerja.
*****
            “Ehh... Lia, kau tengok siapa yang datang tu.” Ujar Anissa dengan nada yang panik. Dahlia segera menoleh ke arah yang ditunjuk oleh Anissa. Alangkah terkejutnya dia melihat gerangan yang berada dihadapan cafe.
            “Anis, mata aku tak silap tengokkan. Habislah aku,” bisiknya perlahan dengan nada yang cemas ke arah Anissa. Anissa hanya mampu menjungkitkan bahunya. Sementara itu di bahagian hadapan cafe, kelihatan seorang lelaki menyoal kak Anim yang merupakan ketua di situ dengan penuh tegas.
            “Macam mana dengan perjalanan cafe ini sepanjang saya tak ada disini, Anim.”
            “Err...baik-baik sahaja Encik Jaslan. Kalau encik nak tengok penyata kewangan cafe ini sepanjang dua minggu ini, nanti saya ambilkan,” ujar Kak Anim dengan penuh hati-hati.
            ‘Hmm...takpe. Nanti saya ambil sendiri. Macam mana pula dengan pekerja kita. Ada apa-apa masalah ke dengan mereka. Ada yang ponteng kerja ke. Saya tak mahu pekerja yang hanya tahu makan gaji buta sahaja bekerja di cafe ini.  Saya tak mahu nama baik cafe ni tercemar hanya kerana pekerjanya yang tidak kredibiliti. Amanah yang diberi oleh pakcik saya, harus saya pikul dengan sebaiknya. Dan saya juga mahu pekerja cafe ni menjaga juga amanah yang diberi.” Terang Jaslan dengan panjang lebarnya. Kak Anim yang berada di hadapannya terkulat-kulat.
            “Pekerja-pekerja kita tak ada masalah encik. Cuma hari ini kita menerima pekerja baru. Dua orang budak lepasan SPM,” terang Kak Anim. Terbeliak mata Jaslan mendengarnya.
            “Pekerja baru!!! Sejak bila saya benarkan ambil pekerja baru. Anim, kenapa awak pandai-pandai sahaja membuat keputusan tanpa kebenaran saya. Awak ingat cafe ni awak punya!!!” Suara Jaslan kedengaran lantang memarahi Kak Anim. Mujurlah ketika itu tidak ramai pelanggan, jika tidak pasti kak Anim bertambah malu. Dengan wajah yang merah menahan malu, kak Anim menambah, “Bukankah sebelum Encik Jaslan bercuti, encik yang suruh keluarkan iklan untuk mengambil pekerja baru,” ujar kak Anim perlahan.
            Jaslan berubah riak wajahnya. Sesungguhnya dia tidak mengingati bila dia menyuruh kak Anim mengeluarkan iklan tentang  pengambilan pekerja baru. Bagi menutup kesalahannya dia menyuruh kak Anim memanggil pekerja baru tersebut. Sedang dia melihat setiap ruang di cafe itu, kak Anim menegurnya. “Encik, ini dua orang pekerja baru kita yang masuk hari ini. Kenalkan, ini Dahlia dan Anissa,” ujarnya. Alangkah terkejutnya Jaslan apabila melihat gadis yang tertunduk dihadapannya itu. Ini perempuan yang memalukan aku di stesen bas tempoh hari, bisik hatinya.
            Dahlia ketika itu sudah mula menggelabah. Dia hanya menundukkan kepalanya sahaja. Tidak sanggup dia bertentang mata dengan Jaslan yang ketika itu sedang menatap wajahnya seolah-olah mahu menelannya. Anissa yang berada disebelahnya boleh lagi tersengih-sengih.
            “Hmm...jadi kamu berdua baru masuk hari ni ye. Ada apa-apa pengalaman bekerja sebelum ni,” ujarnya dengan nada yang serius.
            “Pengalaman bekerja memang tak ada. Sebab kami baru aje habis SPM. Bila kami baca iklan tentang cafe ni, tu yang kami datang sini. Ingat nak mula mencari pengalaman bekerja disini.” Jawab Anissa dengan penuh berhemat. Jaslan hanya menganggukkan kepalanya sahaja, namun matanya tetap berfokus pada Dahlia.
            “Yang seorang lagi ni tak dengar pun suaranya. Bisu ke. Anim, yang kamu ambil budak bisu ni buat apa. Bukan boleh buat kerja pun,” sindir Jaslan. Hati Dahlia terbakar tetapi ditahannya. Kalau bukan sebab aku nak cari ayah aku, dan aku perlukan duit memang aku pun tak hingin nak tengok muka kau lagilah, bisik hatinya. Jaslan tertawa dalam hati apabila melihat wajah Dahlia yang kemerah-merahan itu. Padan muka kau, perempuan. Tahu lah apa aku nak buat dekat kau lepas ni. Kau hutang malu dengan aku tahu, bisik hatinya.
            ‘Hmm...sudahlah. Kamu berdua boleh sambung kerja. Anim, pastikan awak ajar pekerja baru ni agar bersikap sopan terhadap pelanggan yang datang ke sini. Kalau saya dengar apa-apa rungutan, saya tidak akan teragak-agak untuk memberhentikan sesiapa sahaja yang melanggar arahan,” suaranya ditekankan di ayat terakhir sambil menjeling ke arah Dahlia.
*****
            Sudah sebulan Dahlia berada di Kuala Lumpur. Dan sepanjang itulah dia bekerja sebagai pelayan di White Cafe. Dahlia berusaha sebaik mungkin menjadi pekerja yang terbaik walaupun sering diherdik dan disindir oleh Jaslan yang seakan-akan ingin membalas dendam atas insiden di stesen bas.  Hajah Som di kampung mula telefon bertanyakan tentang pencariannya. Dahlia sering kebuntuan untuk memberi jawapan. Nampaknya nenek benar-benar berharap nak jumpa dengan ayah, bisik hatinya.
            Dahlia sering mengelamun sewaktu bekerja gara-gara kebuntuan dalam mencari ayahnya. Satu hari, ketika dia sedang mengelamun di bahagian dapur, kak Anim menghampirinya dan menegurnya. “Heii...kenapa ni. Termenung aje. Ni ada pesanan dari meja no.7. Cepat sikit. Pelanggan ramai hari ni,” ujarnya sambil memegang perutnya. “Err...Lia nanti tolong hantar ye, akak sakit perutlah. Nak ke tandas kejap,”tambahnya lagi. Dahlia hanya menganggukkan kepalanya sahaja.
            Apabila hidangan sudah siap, Dahlia dengan longlainya membawa hidangan tersebut ke hadapan. Malangnya dia terlanggar kaki meja di situ sekaligus menumpahkan makanan itu ke atas seorang pelanggan yang berada dekat dengannya.
            “Ohh...maafkan saya encik. Saya betul-betul tak sengaja. Maafkan saya sekali lagi encik,” ujarnya dengan penuh kekalutan. Lelaki tersebut memandangnya seolah-olah ingin memakannya.
            “Senangnya minta maaf. Habis tu baju aku ni siapa yang nak ganti. Kau tahu tak lepas ni aku ada meeting dengan orang besar. Takkan aku nak pergi dengan baju macam ni. Aku nak kau ganti. Sekarang juga.” Tengkingnya. Pelanggan yang berada disitu mula berbisik sesama sendiri.
            “Aku nak jumpa dengan bos kau. Mana bos kau ,hah!!!”
Jaslan yang ketika itu baru sahaja masuk ke dalam cafe tercengang melihat situasi yang agak tegang itu. Lantas dia menuju ke arah kekecohan yang sedang berlaku itu. “Err...maafkan saya. Saya pengurus cafe ini, ada apa-apa yang boleh saya bantu, encik,” ujarnya dengan penuh hemat sambil memberi pandangan yang tajam ke arah Dahlia. Dia seakan dapat menghidu sesuatu yang tidak enak telah berlaku.
“Ohh...jadi kamulah pengurus cafe ni. Mana kamu pungut budak ni. Mata letak dekat mana, sampai bawa barang pun cuai. Tengok ni, baju aku dah kotor. Budak ni punya pasal lah,” ujarnya sambil menunding ke arah Dahlia. Jaslan menoleh ke arah Dahlia kemudian dia memandang lelaki tersebut. “Sebagai pengurus cafe ini, saya ingin meminta maaf atas kelalaian pekerja saya ini. Pihak kami akan mengganti kerugian ini. Diharap encik tidak  membawa hal ini keluar. Kita selesaikan segalanya sini. Sekali lagi saya memohon maaf atas kelalaian ini,” ujarnya.
“Hmm...baiklah. Tapi aku nak kamu ajar pekerja kamu ni, jangan berangan masa kerja. Kalau nak kena lagi macam ni, buatlah,” ujarnya sebelum berlalu pergi. Jaslan hanya tersenyum sahaja. Dia menoleh ke arah Dahlia, “Jumpa aku di pejabat,” ujarnya perlahan sambil merenung tajam gadis itu sebelum keluar dari cafe itu.
Di pejabat, Jaslan bercekak pinggang sambil merenung Dahlia yang hanya mendiamkan diri di penjuru bilik. Air cond yang  terpasang tidak dapat menyejukkan hatinya yang sedang panas ketika itu.
“Yang bijak sangat sampai tertumpah makanan tu apasal. Berangan lagi masa kerja. Mana otak kau, hah. Kerja semudah itu pun tak boleh nak buat,” tengkingnya. Panas hatinya apabila disuruh mengajar pekerjanya agar menjadi seorang yang cermat ketika bekerja.
“Cakap dengan kau ni sama macam aku cakap dengan dinding tahu. Kalau kau rasa kau dah malas nak kerja, kau boleh berambus dari sini. Aku tak perlukan pekerja yang hanya tahu berangan dan makan gaji buta macam kau ni. Dah...keluar, makin aku tengok muka kau ni, makin panas hati aku,” ujarnya sambil menunjukkan arah pintu kepada Dahlia.
*****
Sudah tiga hari Dahlia tidak datang kerja. Sepanjang dia tidak bekerja, dia keluar mencari ayahnya. Anissa pernah mengajaknya untuk ke cafe, namun ditolaknya. Dia sudah berura-ura ingin berhenti dari cafe. Dia ingin segera mencari ayahnya dan pulang ke kampung. Hakikatnya, dia berasa malu untuk terus berada di cafe itu, lebih-lebih lagi dengan kata-kata Jaslan tempoh hari. Dia benar-benar terasa hati, namun ditahannya. Dia ingin memfokuskan dirinya dalam mencari ayahnya. Hari itu sekali lagi dia keluar untuk mencari ayahnya. Sebelum itu, dia sempat memberikan Anissa surat berhenti kerja untuk diberikan kepada Jaslan.
Jaslan meletak kembali surat yang baru sahaja dibacanya. Anissa yang berada dihadapannya hanya mendiamkan dirinya sahaja. “Anis, apakah sebenarnya masalah Dahlia. Saya sukar nak terima alasan dia ingin berhenti kerja. Setahu saya, kontrak kamu berdua masih ada lagi dua bulan. Takkan kerana hal tempoh hari dia nak berhenti. Tak munasabah,” ujarnya. Anissa sudah terkulat-kulat.
“Anissa, sekali lagi saya tanya, apa sebenarnya masalah kawan kamu ni sampai nak melarikan diri sebegitu sekali,” ujarnya lagi dengan lebih tegas. Anissa menggelabah. Perlukah aku menceritakan segal-galanya, maafkan aku Lia. Aku terpaksa, bisik hatinya. Dia menarik nafas panjang sebelum memulakan bicara. 
Hampir seharian Dahlia keluar mencari ayahnya. Namun, sebarang petunjuk tidak juga dia temui. Hanya berbekalkan sepucuk surat dan sekeping gambar lama tidak cukup maklumat yang boleh dia salurkan. Hari semakin gelap, Dahlia bergegas untuk pulang. Tanpa dia sedari dia telah melalui lorong gelap yang orang sudah tidak lalui. Dahlia mempercepatkan langkahnya apabila merasa ada orang mengekori pergerakkannya. Tiba-tiba langkahnya terhenti apabila perjalanannya dihalang oleh sekumpulan geng motor yang tiba-tiba melalui kawasan itu. Mereka mengelilingi Dahlia sambil mengusiknya dari atas motor. Seorang daripada mereka cuba untuk menarik tangan Dahlia. Dahlia menjerit ketakutan.
“Hahahaha...hei kawan-kawan, awek ni takutlah. Eeii...geramnya aku...”ujar seorang lagi.
Dahlia cuba untuk lari tetapi dihalang oleh geng-geng motor itu. Tiba-tiba Dahlia merasakan dirinya dipeluk dari belakang. Dia menjerit kuat. Dia cuba meronta-ronta tetapi tidak juga lepas. Tiba-tiba kedengaran suara, “Sorry geng, awek ni aku dah cop dulu. So, tak faham-faham lagi. Berambuslah!!!” Kelihatan geng-geng motor itu meninggalkan tempat itu bersama sumpah seranah.
“Hei! Kalau tak menjerit tak boleh ke. Sakit telinga aku dengar tahu.”
Dahlia menoleh apabila pelukan itu dilepaskan. Jaslan, bisik hatinya. Kelihatan Jaslan selamba dengan motosikal besarnya itu.
“Tengok aku macam tak pernah jumpa tu apasal. Dah, jom balik. Tempat ni tak sesuai dengan kau. Aku hantar kau balik,” ujarnya sambil menghulurkan topi keledar. Dahlia tidak menyambutnya.
“Macam mana kau tahu aku disini?” ujarnya. Jaslan hanya memandang sahaja wajah suram itu kemudian dia mengeluh kecil.
“Okey. Terus-terang, aku memang cari engkau. Pertama, aku tak boleh terima surat berhenti kau tu. Kalau kau terasa dengan kata-kata aku tempoh hari, aku minta maaf. Tapi memang patut pun. Kau tak boleh bersikap semberono dalam bekerja. (Dahlia mencebik bibirnya). Kedua, aku dah tahu sebab kau datang KL ni. Kau nak cari ayah kau yang tak pernah kau jumpa. (Mulut Dahlia ternganga). Macam mana aku tahu, Anissa yang beritahu, Kau tak payah nak marah dia, kalau bukan dia yang beritahu, entah-entah kau dah jadi mangsa mereka tadi dan aku tak akan datang selamatkan engkau.” Ujar Jaslan panjang lebar. Jaslan menghampiri Dahlia.
“Aku betul-betul minta maaf dengan sikap aku sebelum ni. Aku sengaja nak sakitkan hati kau. Hakikatnya, aku nak balas apa yang pernah kau buat dekat aku sebelum ni aje. Tapi bila aku dah tahu kedudukan kau yang sebenarnya, aku rasa bersalah. Aku minta maaf, Lia,”tambahnya lagi. Dahlia memandang wajah Jaslan. Akhirnya dia tersenyum.
“Aku dah maafkan kau pun. Lagipun, aku nak ucap terima kasih sebab kau dah tolong aku tadi. Tanpa kau tadi, aku tak tahu apa yang akan jadi dekat aku. Terima kasih Lan.”
“Hahaha...apalah sangat hal itu. Lia, aku akan tolong kau cari ayah kau. Aku serius. Anggap ajelah ini sebagai tanda aku tebus kesalahan aku sebelum ini.”
“Terima kasih, Lan,” ujar Dahlia. Dia berasa terharu dengan huluran itu.
*****
            Perhubungan di antara Dahlia dan Jaslan bertambah baik. Dahlia sudah bekerja semula di White Cafe. Seperti yang dikotakan sebelum ini, Jaslan membantu Dahlia mencari ayahnya. Setiap kali usai solat, Dahlia sering berdoa agar dipertemukan dirinya dengan ayahnya yang dirindui. Perasaan itu semakin bercambah setiap kali dia keluar untuk mencari ayahnya.
            Berkat doanya dan juga bantuan dari Jaslan, akhirnya Dahlia ketahui juga tempat ayahnya berada kini. Perasaan gembira menyelubungi dirinya. Sehari sebelum Jaslan membawanya bertemu dengan ayahnya dia sudah memilih baju apa yang ingin dipakainya. Anissa yang melihat menegurnya. “Amboi...suka sungguh dia ni. Kalau tak suram aje. Nak jumpa ayah kau aje. Bukannya nak jumpa pakwe. Haa...kau nak keluar date dengan jaslan sekali ye...hehehe...,” usik temannya itu. Wajah Dahlia sudah kemerah-merahan.
            “Sesedap mulut kau aje bercakap. Aku teruja nak jumpa ayah aku ajelah. Bukan ada niat yang lain pun. Kau kalau bab gossip cepat aje,” ujarnya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
*****
            Dahlia berdiri kaku dihadapan pusara yang agak usang. Wajahnya kosong. Jaslan yang berada disebelahnya hanya mampu mendiamkan dirinya sahaja. Sedikit demi sedikit, air mata berjuraian mengalir ke pipi gebu itu. Dahlia masih lagi tidak dapat menerima kenyataan bahawa pusara yang berada di hadapannya itu adalah pusara ayahnya. Menurut penduduk lama kampung tersebut, ayahnya sudah lama meninggal dunia lapan belas tahun yang lalu.
            “Ayah, Lia datang. Lia anak ayah. Satu-satunya zuriat yang ayah ada. Lia rindu akan ayah. Diharap ayah bahagia selalu di sana. Walaupun hajat Lia nak jumpa ayah secara terus tak kesampaian, sebagai seorang anak, Lia doakan kesejahteraan ayah disana, Semoga roh ayah aman disana, amin.”ujarnya dalam hati. Dahlia segera mendapatkan Jaslan yang sudah berada di pondok.
            “Lia, aku harap kau tabah. Mungkin ada hikmah disebalik semua ini. “ Jaslan memberi sedikit kata-kata semangat. Dahlia tersenyum cuma.
            “Insya-Allah, aku okey. Mungkin memang bukan rezeki aku untuk berjumpa dengannya.” ujarnya sambil memandang ke arah kenderaan yang bertali arus di jalan raya.Tiba-tiba lamunannya terhenti.
            “Cuma ada sedikit yang pelik di sini. Orang kampung kata ayah dah meninggal lapan belas tahun yang lalu. Tapi, macam mana pulak, ibu boleh dapat surat dari ayah pada masa yang sama.”
            Jaslan menganggukkan kepalanya. Ada benarnya juga kata-kata Dahlia itu. “Kau rasa ada orang lain yang tulis surat itu?”ujar Jaslan. Dia memandang Dahlia.
            “Ya...mungkin ada orang lain yang tulis surat itu. Tapi ada satu aje persoalan di sini, kenapa dia tulis surat untuk ibu.” Dahlia memandang Jaslan, “Lan, tolong aku sekali lagi. Tolong aku cari siapakah orang itu. Aku nak jumpa dia. Aku nak dengar penjelasan darinya. Bolehkan Lan,” tambahnya sambil sedikit merayu.
            “Insya-Allah. Aku akan cuba mencarinya. Kau jangan risau ye...”
*****
            “Lan, kau nak bawa aku kemana ni,” ujar Dahlia. Kelihatan rumah-rumah  dua tingkat tersergam indah di kiri kanan kawasan perumahan itu. Dia menoleh ke arah Jaslan yang tenang sahaja dengan pemanduannya. Seingatnya, selesai sahaja tugasnya di cafe petang itu, Jaslan terus mengajaknya keluar. Katanya ingin berjumpa dengan seseorang. Akhirnya, kereta Jaslan berhenti dihadapan sebuah rumah yang agak luas halamannya. Jaslan mengajaknya masuk.
            Di ruang tamu kelihatan seorang lelaki separuh abad sudah menanti di situ. Jaslan segera menyalami lelaki itu.
            “Pak long apa khabar,” ucapnya. Lelaki itu hanya tersenyum sahaja. Matanya tetap tidak lepas dari memandang Dahlia.
            “Pak long sihat. Baru lepas balik dari main golf. Ehh...duduklah. Silakan Dahlia, duduk. Nanti uncle panggil bibik untuk buatkan air,” ujarnya dengan penuh ramah. Lelaki itu merupakan Tuan Halim, pemilik sebenar White Cafe. Beliau juga merupakan bapa saudara Jaslan.
            Dahlia hanya  mendiamkan diri sahaja. Dia berasa amat tidak selesa. Jaslan yang menyedarinya segera memberitahu Dahlia, bahawa dia sudah bertemu dengan pengirim surat itu.
            “Aku sudah jumpa orang yang tulis surat tu. Orang tu adalah pak long aku, Tuan Halim.” Mulut Dahlia ternganga. Dia memandang Tuan Halim yang berada di hadapannya itu.
            “Benar, Dahlia. Sayalah yang menulis surat itu kepada ibu kamu,” ujarnya.
            “Tapi kenapa Tuan mesti buat itu semua?” tanya Dahlia. Tuan Halim tersenyum.
            “Saya buat semua ini kerana amanat dari ayah awak yang ketika itu sedang sakit teruk. Saya dan ayah awak berkawan baik, sejak kali pertama kami jejakkan kaki disini. Dia seorang yang baik hati. Jujur dalam melakukan kerja. Dia juga seorang pendengar yang setia. Saya selalu mendengar dia bercerita tentang isterinya yang sedang mengandungkan anak mereka yang pertama. Setiap kali solat, dia pasti mendoakan kesejahteraan isteri dan anak dalam kandungan isterinya itu.” Tuan Halim berhenti seketika. Dia memandang wajah Dahlia yang seiras dengan wajah temannya itu.
            “Tetapi nasib tidak menyebelahinya. Dia ditimpa kemalangan ketika sedang bekerja. Hampir seluruh tubuhnya lumpuh. Apabila saya ingin memberitahu isterinya, dia menghalang. Dia tidak mahu isterinya berasa sedih. Dia juga tidak mahu kandungan isterinya terganggu. Sebelum dia meninggal, dia menyuruh saya menulis sepucuk surat untuk isterinya. Kerana, dia ingin abadikan kata-kata terakhirnya di atas surat itu untuk dijadikan satu kenangan buat isteri dan anak yang bakal lahir,” tambahnya lagi.
            “Saya sering mendengar dia berdoa, agar anak yang bakal lahir dalam kandungan isterinya itu menjadi seorang yang berguna dan berjaya di masa depan kelak. Sekiranya kamu nak tahu, White Cafe itu adalah ilham dari ayah kamu. Dia menolong saya mencari tempat untuk saya memulakan perniagaan. Sememangnya arwah ayah kamu seorang yang budiman dan berhati mulia. Saya berasa bertuah kerana pernah mengenalinya,” ujar Tuan Halim.
            Air mata Dahlia mengalir sepanjang mendengar cerita itu tadi. Sesungguhnya, dia berasa amat bertuah memiliki seorang ayah yang berhati mulia. Walaupun dia tidak dapat berjumpa lagi dengan ayahnya, dia tetap berasa seperti dia pernah bertemu dengan ayahnya.

BAHTERA RINDU

BAB 1
            Mampukah seseorang itu mendapatkan sebuah percintaan sekiranya dirinya hanyalah seorang yang tidak memiliki apa-apa keistimewaan? Dan sekiranya cinta itu hadir dalam hidupnya, mampukah dia mempertahankannya? Orang selalu berkata, cinta itu hanya untuk mereka yang sempurna sifatnya. Cantik diri mereka, maka cantiklah dunia percintaan mereka. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang berasa diri mereka penuh dengan kekurangan. Adakah percintaan mereka akan penuh dengan kekurangan itu? Begitu sukarnya dunia percintaan ini. Sukar juga buat mereka yang sentiasa merendah diri itu. Mereka tiada kekuatan untuk mendapatkan cinta itu. Mereka hanya mampu memandang, tetapi tidak mampu untuk mendekati.
            Aliah Shuhadah berhenti dari menaip. Dia melenturkan sendi-sendi yang terasa tegang. Bekerja sebagai penulis sambilan sememangnya menuntutkan pengorbanan. Namun disebabkan minat yang mendalam terhadap dunia penulisan, dia tetap menghadapinya dengan tabah. Walaupun penat mengajar di siang hari, Aliah tetap menggagahkan dirinya untuk terus mengarang novel terbarunya. Selepas sahaja dia menamatkan ijazahnya dalam pengajian Penulisan Artistik di UITM, dia terus memohon DPLI singkatan dari Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di UTM Skudai. Minatnya yang mendalam dalam dunia pendidikan mendorongnya untuk meneruskan pengajian dalam dunia pendidikan. Namun begitu, ijazahnya dalam penulisan Artistik tidak sesekali diabaikan. Aliah seringkali menghantar karyanya untuk dijadikan skrip drama tv mahupun radio.
            Setelah menamatkan pengajiannya dalam DPLI, Aliah telah ditawarkan bekerja di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur sebagai guru Bahasa Melayu dan Mandarin. Kefasihannya berbahasa Mandarin merupakan satu pakej baginya untuk menjawat jawatan sebagai guru seperti yang diimpikannya selama ini. Selain mengajar, Aliah juga merupakan seorang penulis sambilan di sebuah syarikat penerbitan buku di Kuala Lumpur. Karya novelnya yang pertama sudah mendapat tempat di pasaran dan menjadi rebutan dikalangan kaki novel. Kini, dia dalam proses membuat novelnya yang kedua.
 En Rosli penerbit tempatnya sering menghantar karyanya acapkali menghubunginya bertanyakan tentang karyanya yang terbaru. Menurut En Rosli, karyanya sudah sejuk dipasaran, dan pembaca amat menantikan karyanya yang terbaru. Hal ini menambahkan kekusutan di kepalanya. Kesibukan di sekolah terutamanya disaat-saat musim peperiksaan membejatkan fikirannya menghasilkan sebuah novel yang lebih menarik.
            Aliah memandang jam loceng di atas meja kerjanya sudah menunjuk ke angka tiga setengah pagi. Dari maghrib sampai sekarang, baru seciput ayat ni aje yang aku dapat, bisik hatinya. Dia mengeluh seketika. Kesunyian mencengkam suasana di ruang kecil itu. Mesti Wati dengan Fiza dah lama diulit mimpi, aku aje yang masih berjaga. Tak adil betul, bisik hatinya lagi sambil menjuihkan bibirnya. Aliah segera menampar kedua pipinya agar tidak mengantuk.
            “Daripada aku membebel yang bukan-bukan, lebih baik aku sambung taip. Esok hari Ahad, bolehlah aku bangun lewat sikit, hehehe. Baiklah, berusaha Aliah. Chayok!” ujarnya sambil menggenggam tangannya. Aliah segera meneruskan taipannya sehinggalah azan subuh berkumandang.
            Sebuah kereta spot kuning terparkir dihadapan sebuah rumah teres dua tingkat. Kawasan perumahan itu agak sunyi kerana waktu ketika itu sudah mencecah ke angka tiga pagi, semestinya penghuni di kawasan perumahan itu sudah enak diulit mimpi. Tetapi tidak bagi dua insan yang sedang asyik bercinta di dalam kereta spot kuning itu.
            “Sayang, betul ke you tak nak singgah tidur kat sini. Dah lewat malam ni. I risau you pandu kereta time gini. Kalau ada apa-apa kan susah,” pujuk Shira sambil memegang tangan Emir Syawil.
            Emir hanya tersenyum sambil memandang wajah buah hatinya itu.
            “Takpelah sayang. I kena balik jugak. Esok flight I pukul sepuluh, I takut terlewat pulak. Lagipun mama mesti marah kalau tahu I tak balik rumah. You tahulah mama macam mana kan,” Emir menggenggam tangan kekasihnya itu sambil memberi sebuah kucupan.
            Shira menundukkan wajahnya. Sesungguhnya dia berasa berat untuk melepaskan kekasih hatinya pada malam itu. Esok pagi Emir akan berlepas ke Indonesia selama dua minggu atas urusan kerja. Emir dan Shira sudah lama bercinta sejak di zaman universiti lagi. Kini masing-masing sudah berusia 29 tahun. Seringkali juga Emir mengajaknya berkahwin, namun pelbagai alasan diberikan olehnya. Bukan niatnya mahu mempermainkan ikatan cinta mereka, namun terdapat satu halangan yang menghalangnya untuk menerima lamaran Emir, iaitu mama Emir, Datin Rosmiza.
Wanita kacukan Melayu-Cina itu pernah menemuinya ketika dia di tahun akhir sewaktu di universiti. Shira masih ingat lagi wajah wanita separuh abad itu walaupun hanya sekali sahaja pertemuan mereka. Datin Rosmiza telah memberi amaran kepadanya agar menjauhi anaknya. Dia tidak mahu Shira mempengaruhi kehidupan Emir. Menurut Datin Rosmiza, Emir akan dijodohkan dengan pilihannya sendiri. Shira tidak pernah menceritakan pertemuannya dengan Datin Rosmiza kepada Emir. Dia tidak mahu hubungan anak beranak itu terjejas kerananya. Sejak itu Shira mulai menjauhkan diri daripada Emir, namun Emir tetap mencarinya. Dan sehingga kini, Shira begitu berhati-hati dalam percintaannya itu. Dia tidak mahu Datin Rosmiza mengetahui akan hubungan mereka itu.
            “Sayang, kenapa diam aje ni. You tak suka I pergi ke,” duga Emir. Shira menggelengkan kepalanya.
            “Tak. Bukan macam tu. I tahu you pergi sana sebab kerja. I tak mungkin mampu menghalangnya. I cuma sedih sebab, dua minggu I tak dapat jumpa you.” Emir tersengih. Dia mengusap lembut rambut kekasihnya itu.
            “Hahaha... you ni macam budak kecik pulak I tengok. Sejak bila pulak you rindu-rindu ni. Selalu I pergi outstation tak pernah pulak you macam ni. Kenapa ni,” ujar Emir sambil memegang dagu kekasihnya itu.
            “Tak ada apa-apalah. I aje kot yang beremosi lebih hari ni. Don’t worry okey. Emm... I tak dapat nak hantar you kat airport esok, tak apa ke,” ujar Shira dengan nada yang perlahan.
            “It’s okey. Lagipun I akan bertambah sedih kalau you yang hantar I esok. I pun berat hati nak ke sana sebenarnya. I rasa macam kita akan menjadi lebih jauh lagi. Tapi mungkin ini semua hanya mainan perasaan I saja.” Emir menyandarkan kepalanya di bahu Shira. Shira mengusap lembut kepala Emir pula.
            “Err... okeylah I masuk dulu lah, Mir. Dah lewat sangat ni,” ujar Shira perlahan. Emir mengangkat kepalanya. Wajahnya sedikit sayu. Sukar baginya untuk melepaskan kekasih hatinya pada malam itu. Namun disebabkan waktu tidak mengizinkan dia terpaksa juga.
            “Kunci semua pintu dengan tingkap bila masuk nanti. Kawan you tak balik lagikan. Jaga diri bila I tak ada kat sini, okey.” Pesan Emir dengan sambil menggenggam tangan Shira. Shira tersenyum.
            “Okey my dear. I akan ingat semua nasihat you tu. You pun jaga diri masa kat sana tu. Bila you senang, you call I tau. Jangan main mata dengan perempuan Indon kat sana pulak,” ujar Shira. Meletus tawa di bibir Emir. Lucu pulak apabila mendengar nada cemburu kekasih hatinya itu.
            “Masakan I nak main mata dengan perempuan Indon pulak, nanti dibaginya I ubat pengasih you jugak yang merana, hahaha...” Shira menarik muka masam apabila Emir mentertawakannya.
            “Huh, menyampahlah cakap dengan you ni Mir. Dah lah, I nak masuk rumah. Bye,” ujarnya dengan nada yang marah. Emir masih lagi dengan tawanya.
            “Aik... takkan marah. Malam ni tak ada kiss ke,” usiknya lagi.
            “Tak ada. Pergilah balik sana,” Shira menjeling sebelum keluar dari kereta spot itu. Shira membuka pintu pagar rumahnya dan segera melangkah masuk ke dalam rumah tanpa yang menghiraukan Emir di luar. Emir menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia membunyikan hon sebelum menekan brek berlalu dari kawasan perumahan itu.

BAB 2
            “ Malam tadi kau tidur pukul berapa,” tanya Wati sejurus Aliah melangkah ke ruang dapur itu.
            “ Lepas subuh pagi tadi. Kenapa?” ujar Aliah dengan wajah yang layu.
            “ Patutlah dah macam mata panda aje aku tengok. Keliling mata hitam. Mengarang lagi ke,” ujar Wati sambil tangannya lincah mengupas bawang merah. Hafizah yang sedang menggaul gulai di periuk hanya tersengih sahaja mendengar perbualan keduan temannya itu.
            “ Ha’ah,” ujar Aliah. Dia menguap panjang. Wati hanya menggelengkan kepalanya sahaja melihat telatah temannya itu.
            “ Pagi tadi ummi telefon. Hal penting katanya, dia suruh kau telefon dia balik nanti,” Mata Aliah yang sepet menjadi besar tiba-tiba. Naik lucu Wati melihatnya.
            “Oh, yeke. Hmm... takpelah nanti aku call balik.” Aliah segera menghabiskan sisa tehnya yang sudah sejuk. Matanya memandang Hafizah yang ligat dengan menyiapkan juadah tengahari mereka. Dikalangan mereka, Hafizah yang paling rajin sekali menguruskan keperluan rumah dari mengemas sehinggalah kepada membasuh pakaian mereka. Jika hendak diharapkannya memang berseleraklah rumah sewa mereka itu jawabnya. Apatah lagi Wati yang seringkali ke luar negara atas urusan kerja, jarang sekali untuk meringankan tangannya mengemas rumah. Bila disuruh baru dibuatnya. Aliah tertawa kecil.
            “ Ketawa sorang-sorang ni kenapa. Demam ke apa.” Wati menanya sambil mengangkat kening.
            “Tak adalah. Aku teringatkan cerita yang aku tengah buat sekarang ni. Sedikit lucu dalam satu bab ni, pasal tu aku ketawa,” Aliah segera menidakkannya. Wati menggelengkan kepalanya.
            “ Orang yang buat novel ni kadang-kadang boleh jadi gila tau. Yelah ketawa sorang-sorang, nangis sorang-sorang, tersengih sorang-sorang. Suka mengelamun pulak tu. Kiranya orang kata terperangkap dalam ilusi sendiri,” perlinya sambil memandang sinis ke arah Aliah yang sudah membuntangkan matanya.
            “ Kau ni betul-betul dah melebih tau. Aku tak sampai tahap gila yang kau cakap tadi tu. Suka sangat nak kenakan aku.” Aliah menarik muka masam tanda protes. Wati sudah ketawa terbahak-bahak apabila dapat mengusik temannya itu. Dia ingin mengusik lagi tetapi ditegah oleh Hafizah.
            “Hisy, dah lah tu Wati. Kau bab mengusik ketawa kan orang memang nombor satu. Ketawa banyak-banyak nanti hilang seri masa naik pelamin nanti baru kau tahu. Hah, ketawa lagi. Kau nampak tak bawang tu, habiskan kupas aku nak kisar ni,” Hafizah menegur sikap Wati yang sering kali mengusik Aliah. Wati hanya tersengih sahaja apabila ditegur oleh temannya itu, manakala Aliah sempat menunjukkan ibu jarinya kepada Wati namun segera diturunkan tangannya apabila Hafizah memandang ke arahnya.
            Petang itu ketika Aliah dan Wati sedang santai menonton televisyen, Hafizah datang sambil membawa hidangan petang. Seperti budak yang sedang kelaparan, kedua-dua mereka berebut menikmati hidangan petang mereka itu. Hafizah hanya menggelengkan kepalanya.
            “Perangai tak senonoh. Sedarlah sikit diri tu dah tua. Buatlah cara macam orang tua.”
            “Mana ada tua Fiza. Baru nak masuk 25. Sedap sangatlah kau buat cekodok ni. Beruntung kitorang dapat kawan macam kau. Rajin masak, pandai mengemas, cantik lagi. Memang patutlah ketua kau berkenan dengan kau. Betul tak Lia,” ujar Wati sambil mengunyah cekodok. Aliah mengangguk tanda setuju dengan temannya itu. 
            “Banyaklah kau. Bab mengampu memang nombor satu. Lia, minggu depan dah start cuti sekolahkan. Engkau ada apa-apa plan ke nak buat masa cuti sekolah nanti.” Hafizah menanyakan kepada Aliah. Aliah termenung seketika dan kemudian dia menggelengkan kepalanya.
            “Tak ada, kenapa?”
            “Hmm... baguslah kalau tak ada. Kalau aku offer kau pergi bercuti kat luar negara, kau nak tak?” Hafizah cuba memancing temannya itu, manakala Wati memandang ke arahnya dengan wajah yang pelik.
            Aliah tertawa kecil. Berasa pelik dengan pelawaan temannya itu. Setahunya Hafizah seorang yang penjimat berbanding dirinya dan Wati, sentiasa memantau perbelanjaan rumah dan semestinya apabila berbelanja pasti menyimpan resit perbelanjaan untuk membuat bajet. Maklum sahajalah, bekerja sebagai juruukur bahan, kerjanya asyik mengira bajet sahaja.Sampaikan perbelanjaan persendirian pun perlu dibuat bajet. Tetapi, baru sahaja sebentar tadi temannya itu mempelawa dirinya untuk bercuti ke luar negara. Sakitkah temanku ini, bisik hati kecilnya.
            “Engkau sihat ke tak ni Fiza. Tiba-tiba ajak aku bercuti ke luar negara. Entah-entah kau nak jual aku tak.” Aliah sempat bergurau. Hafizah mencebikkan bibirnya. Geram melihat ulah temannya itu.
            “Susah-susah nak jual kau sampai ke oversea buat apa, lebih baik aku jual kau kat jalan Chow Kit je. Huh... geram pulak aku cakap dengan kau ni.” Hafizah sempat lagi mengomel.
            Wati sudah ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kata temannya itu. Aliah menggigit bibirnya. Niatnya ingin mengusik temannya itu, sebaliknya dia pula yang disakatnya.
            “Lebih baik aku terus-terang, minggu depan aku kena ke Indonesia selama seminggu. Syarikat aku hantar tiga orang wakilnya untuk buat kajian pembangunan kat sana,” ujarnya. Aliah dan Wati tekun mendengarnya.
            “Aku kena pergi untuk kajian kos. Syarikat aku bercadang untuk melabur di sana,” tambahnya lagi. Dia berharap benar Aliah dapat menemannya ke sana.
            “Kau kata syarikat kau hantar tiga wakil untuk ke sana. Kan ada rakan sekerja kau yang pergi sekali, buat apa ajak aku pulak. Lagipun aku ingat cuti ni aku nak balik kampung jap,” ujar Aliah.
            “Memanglah tiga orang tapi aku sorang aje perempuan. Mestilah aku segan. Bos aku dengan ketua jabatan aku pergi sekali. Entah kenapa ketua aku tu utarakan nama aku untuk pergi sana sekali. Tolonglah Lia temankan aku. Kau tak kesian kat aku ke,” Hafizah mula memujuk temannya itu. Aliah mengetap bibirnya.  
            “Hey Fiza, aku ada rasa sedikit tak puas hati kat sini. Kenapa kau beriya-iya sangat ajak si Aliah ni. Aku kau tak ajak pun. Sampai hati kau lupa kawan kau yang sorang lagi ni.” Sampuk Wati dengan nada yang merajuk setelah sekian lama mendiamkan diri.
            “Asalnya memang aku nak ajak kau, tapi bukan ke kau yang kata start minggu depan kau ada training kat Seremban dua minggu. Pasal tu aku ajak Lia. Janganlah kecik hati,” ujar Hafizah penuh berdiplomasi.
            “Ha’ahlah. Aku lupa lak. Ha... Lia, pergi ajelah. Free tu. Rugi tak pergi. Kau boleh cari idea untuk novel kat sana nanti.” Wati memberi saranan kepada Aliah.
            Aliah mendiamkan diri. Bagus jugak kalau aku pergi sana. Sekurang-kurangnya bolehlah aku cari idea baru. Lagipun bukannya selalu aku dapat pergi luar negara walaupun hanya seberang laut ni aje. Orang dah ajak ni baik aku pergi ajelah, bisik hatinya. 
            “Okeylah aku temankan kau. Tapi belanja makan dan pengangkutan kau yang tanggung okey,” ujarnya. Hafizah tersengih.
            “Lia thank you very much. Aku sayang kau lebih. Bab makan kau jangan khuatir. Aku dah sediakan awal-awal.”  Hafizah memeluk Aliah dengan erat.
            “Dahlah tu. Mati anak orang tu kau peluk. Jeles betul aku tengok. Apasalah masa tu jugak aku ada hal. Nak jugak pergi sana,” ujar Wati dengan wajah cemberut. Hafizah dan Aliah ketawa terbahak-bahak melihat wajah temannya itu.
            “Ala Wati sorrylah. Lain kali kalau aku dapat pergi sana lagi aku ajak kau pulak, okey.” Hafizah memujuk. Begitulah mereka menghabiskan masa hujung mereka pada hari itu.