Tuesday 29 November 2011

KALAU ORANG TAK SUKA KITA.... (T_T)

Bismillahirrahmanirrahim.....
Adakala kita terfikir… Kita mungkin tidak pernah menyusahkan hidup sesiapa, kita mungkin tidak pernah menganggu hidup orang dan tidak pernah pula membenci atau menyakiti mereka. Namun tiba-tiba sahaja mereka membenci kita. Berkata-kata buruk tentang kita di belakang dan mengaturkan pelbagai strategi untuk menyakitkan hati kita.
Sebagai manusia biasa, kita tidak akan terlepas dari mempunyai kekurangan pada diri. Mungkin pada cara kita bercakap, mungkin pada cara kita berjalan, mungkin pada mata, mulut, hidung dan seumpamanya yang menyebabkan ada sesetengah orang tidak suka, benci dan meluat melihat kita.
Jika mereka tidak berbuat apa-apapun mereka akan cuba melarikan diri dari kita. Seolah-olah kita ini makhluk yang aneh atau manusia yang tidak berguna, tidak perlu mendekati orang seperti kita. Keadaan yang diceritakan ini semakin menjadi-jadi apabila perbuatan masing-masing mula dizahirkan dalam Facebook.
Saya melihat ramai kawan-kawan yang me’remove’ kawannya yang menyakitkan hati. Hampir setiap hari juga saya melihat kenalan Facebook memaki-maki, marah dan menulis status-status berkaitan dengan orang yang dibenci dan orang membencinya. Apa sudah jadi dan apa yang harus kita lakukan?
Berfikir & Renung Sejenak…
Muhasabah diri. Adakala sikap orang adalah cermin kepada sikap kita sendiri. Mungkin kita rasa kita tidak menyakiti hati orang, tetapi orang tetap terasa sakit. Carilah kelemahan pada diri yang mungkin kita terlepas pandang dan perbetulkan kembali. Bertenang dan jangan membalas kebencian mereka dengan terus membenci mereka.
Seandainya kita sememangnya tidak melakukan kesilapan, kenapa mahu bersedih? Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang benar. Jika mereka membenci kita dan menyakitkan hati kita, itu dosa mereka. Kita tak rugi apa-apa, yang perlu kita sedih bukan sebab mereka membenci kita tetapi jika kita membenci orang dan cuba menyakitkan hati mereka. Kerana perbuatan itu akan membuatkan kita hampir dengan dosa.
Cukuplah Berbakti Kepada Orang Yang Wajib
Jika kita punyai kawan yang menyakitkan hati, abaikan sahaja dirinya. Cukuplah berbakti kepada orang yang kita perlu taat seperti ibu ayah, taat suami bagi seorang isteri dan taat kepada Allah sebagai seorang manusia. Mereka yang tidak tersenarai dalam rantaian kewajipan kita untuk taat itu kita boleh abaikan sahaja.
  • Biarlah semua kenalan menolak kita yang penting kita jaga suami kita dengan baik.
  • Biarlah kawan-kawan meninggalkan kita yang penting kita tidak meninggalkan keluarga.
  • Biarlah seluruh kaum keluarga memulaukan kita yang penting kita tidak memutuskan tali silaturrahim.
  • Biarlah seluruh umat menyakitkan hati kita yang penting kita tidak menyakitkan hati Allah.
Kebahagiaan terletak dalam hati. Ia bergantung kepada kepercayaan kita. Seandainya kita percaya bahawa dipulaukan orang adalah suatu yang menyedihkan, maka hidup kita akan terseksa. Namun seandainya kita faham bahawa perbuatan terkutuk mereka dapat menyumbangkan pahala yang banyak untuk bekalan akhirat, kita akan bahagia. Biarlah manusia yang leka dengan sandiwara dunia dengan sikap buruk mereka, yang penting jangan kita bersikap buruk pada mereka kerana hidup kita untuk mencari kebahagiaan di sana. Bukan melayan persengketaan yang sia-sia.
“Jangan resah andai ada yang membencimu, kerana masih ramai yang mencintaimu di dunia. Tetapi resah dan takutlah andai Allah membencimu, kerana tiada lagi yang mencintaimu di akhirat.” – Imam Al-Ghazali

Friday 25 November 2011

6 GOLONGAN WANITA YANG TIDAK LAYAK DIJADIKAN ISTERI

Bismillahirrahmanirrahim.....
“Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang ananah, yang mananah, dan yang hananah, dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang baraqah dan yang syadaqah.”
Wanita Ananah:
Banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.
Wanita Mananah:
Suka membangkit-bangkit terhadap suami. Wanita ini sering menyatakan, “Aku membuat itu keranamu”.
Wanita Hananah:
Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.
Wanita Hadaqah:
Melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.
Wanita Baraqah:
Ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari bersolek dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.
Wanita Syadaqah:
Banyak cakap tidak menentu lagi bising.
Oleh Imam Al-Ghazali.


Wallahualam.....

Monday 21 November 2011

CINTA BUKAN UNTUKKU

Bismillahirrahmanirrahim.....
Ada orang khuatir untuk bercinta kerana bimbang akan mengecewakan orang. Ada juga sesetengah orang menganggap keturunannya suatu yang memalukan sehingga takut untuk bercinta. Terpaksa memendam rasa meskipun menyukai seseorang. Terpaksa berdiam diri walau tahu orang itu juga menyukainya. Sehingga ada orang merasakan dirinya langsung tidak layak dicintai orang lain dan dirinya juga tidak layak untuk mencintai orang lain?
Mungkin kita rasa yang mereka tidak seharusnya berfikiran seperti itu. Mereka perlu berfikiran positif. Tentu ada orang yang boleh menerima mereka, tentu ada orang yang boleh mencintai mereka. Mereka perlu berani. Mereka perlu berusaha dan percaya kepada diri sendiri.
Sebenarnya itulah yang mereka lakukan selama ini. Itulah yang mereka usahakan selama ini. Tetapi kepercayaan mereka dimusnahkan, keyakinan mereka diingkari dan cinta mereka ditolak seolah-olah mereka merupakan makhluk hina yang tidak memiliki hati dan perasaan!
Ini adalah gambaran sebenar apa yang terjadi kepada mereka sebelum mereka berfikir seperti mana yang sedang mereka fikirkan sekarang. Kes seperti ini pernah dialami oleh beberapa orang sahabat saya. Pernah seorang lelaki mencintai seorang wanita. Mereka sama-sama suka dan keduanya memiliki akhlak yang baik. Bagaimanapun kisah cinta mereka tidak lama. Setelah mengetahui tentang keturunan si gadis, lelaki itu terus menolak dan tidak mahu berjumpa dengan si gadis itu lagi.
Perbuatannya menyababkan gadis itu sentiasa menangis dan bersedih. Apakah salah dirinya? Apakah kehinaan yang ada pada dirinya? Kenapa seorang lelaki yang kelihatan baik hati dan begitu menyayanginya pun pergi meninggalkannya? Siapa lagi yang boleh menerimanya? Perlukah dia mempercayai orang lain lagi?
Apabila hal ini diceritakan kepada saya saya hanya berkata. “Bersyukurlah, Allah tunjukkan dari awal bahawa lelaki itu bukanlah lelaki yang baik! Dia tidak perlu rasa kecewa dengan diri sendiri. InsyaAllah akan ada orang yang boleh menerimanya. “. Namun komen saya dibalas begini “Cakap memanglah senang. Hati orang yang sudah kecewa, macam mana mahu diubati lagi?”
Entahlah…Kadang-kadang saya kecewa dengan sikap masyarakat yang memandang hina keturunan orang.  Jika benar keturunannya hina, yang hina itu hanya keturunan, bukan individu itu sendiri. Banyak lagi faktor lain yang menjadi sebab kenapa seseorang itu dianggap hina di mata masyarakat sedangkan perkara itu bukanlah salah mereka. Tidak hairanlah mereka akhirnya merasa bahawa mereka tidak layak untuk mencintai orang mahupun dicintai orang.
Kerana sikap masyarakat terlalu zalim terhadap kehormatan mereka. Sebagai seorang individu yang sedar akan hal ini saya ingin memberi sedikit kata-kata hikmah yang mungkin dapat memberikan mereka secebis harapan.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :
“Seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara;
1. kerana agamanya
2. kerana keturunannya
3. kerana kecantikkannya
4. kerana hartanya.
Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” -Hadith Riwayat Imam Bukhari & Muslim
Hadis ini menjelaskan bahawa seorang wanita itu dinikahi oleh seorang lelaki kerana 4 perkara iaitu kerana harta, keturunan, kecantikan dan juga kerana agamanya. Maka Rasulullah menyuruh kita mengutamakan wanita yang memiliki agama yang baik. Tidak diutamakan berapakah hartanya, siapakah keturunannya atau sejauhmana kecantikannya.
Oleh itu wahai wanita, jagalah agamamu. Peliharakanlah dirimu dari fitnah dunia dan abaikan hal-hal yang tiada kaitan dengan apa yang dianjurkan dalam Islam. Usah terlalu difikirkan tentang keturunan, harta dan kecantikan (bukan salah menjaga tetapi bukan itu yang utama)! Sedarlah kamu bahawa lelaki yang baik akan menilai dan mencarimu berdasarkan agamamu. Bukan kerana faktor-faktor lain yang hanya semantara.

Saturday 19 November 2011

ANTARA PEGANG BUKAN MUHRIM DAN ANJING

 RENUNG-RENUNGKANLAH.....
 
LEMBU: Hai anjing, apa habaq? Macam ada yg... tak kena je?

ANJING: Aku tengah tension nih. Mau je aku gigit manusia tadi.

LEMBU : eh? kenapa?

ANJING: aku lalu tepi dua orang manusia lelaki dan perempuan yg sedang berkepit. Tetiba si lelaki terperanjat dan terus melompat dan berkata "hoi anjing, pergi jauh-jauh, najis!".

LEMBU: Ya, lah. Ko kan haram. Najis tahap berat bagi manusia. Biasalah tu.

ANJING: Kalau aku najis sekali pon, kalau dia tersentuh aku, boleh disamak. Yang dia sentuh dan raba-raba awek dia tu apa? Boleh ke nak samak dosa?

LEMBU: Betul tu. Memegang wanita yg bukan mahramnya tanpa ikatan yg sah, lebih dahsyat kenajisannya daripada memegang ko anjing, malah tak boleh suci sekalipun di samak.

ANJING: Wah.. ayat ko memang power la... manusia kena ubah pepatah "Pandai macam LEMBU"

Sedikit Penjelasan

Daripada satu hadis yang diriwayatkan daripada ibnu majah menyatakan bahawa “Bergomolan dengan babi (khinzir) itu adalah lebih baik berbanding dengan bersentuhan (secara sengaja) dengan wanita yang bukan mahram”.

Bersentuhan (dengan sengaja & apatah lagi bertujuan syahwat) adalah berdosa dan wajib bertaubat (bagi membersihkan dosa). Sedangkan menyentuh anjing tidaklah berdosa dan hanya perlu disuci (bukan bertaubat). Menyentuh anjing bukanlah satu kesalahan (dosa) atau maksiat. Tetapi, menyentuh wanita bukan mahram adalah berdosa dan merupakan maksiat.

Di dalam satu riwayat hadis yang lain yang maksudnya, “Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya. (Riwayat At Tabrani dan Baihaqi)

“…Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”. (Surah Zumar: 9)

SIAPA SUAMI KAMU DI SYURGA NANTI?

Persoalan mengenai kehidupan berpasangan, suami isteri atau ikatan perkahwinan di syurga kelak pasti bermain di fikiran semua wanita beriman bukan? Pasti mereka ingin mengetahui siapakah suami mereka di sana. Ia akan dijawab mengikut dalil sahih dari Rasulullah s.a.w, namun segala perinciannya adalah hak milik Allah s.w.t….

Kes 1: Wanita yang meninggal dunia sebelum berkahwin.
Wanita dalam golongan ini akan dikahwinkan dengan seorang lelaki di kalangan Ahli Syurga. Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada si bujang di dalam syurga” (H.R. Muslim). Ini kerana ada juga kaum lelaki yang belum berkahwin sebelum meninggal dunia.
Kes 2: Wanita yang meninggal dunia setelah bercerai dan tidak berkahwin dengan lelaki lain selepas itu.
Wanita dalam golongan ini juga akan dikahwinkan oleh Allah s.w.t dengan lelaki daripada Ahli Syurga.
Kes 3: Wanita yang meninggal dunia sedangkan suaminya tidak memasuki syurga.
Seperti kes 2, wanita dalam golongan ini juga akan mengahwini lelaki daripada Ahli Syurga.
Kes 4: Wanita yang meninggal dunia setelah berkahwin.
Wanita dalam golongan ini akan bersama suami mereka masing-masing asalkan suaminya memasuki syurga.
Kes 5: Wanita yang kematian suami dan tidak berkahwin selepas itu.
Seperti kes 4, Wanita dalam golongan ini akan bersama suami mereka masing-masing asalkan suaminya yang meninggal tersebut memasuki syurga.
Kes 6: Wanita yang kematian suami tetapi berkahwin dengan lelaki lain.
Apabila seorang wanita ketika di dunia memiliki dua atau lebih suami, maka kelak di syurga dia dipersilakan untuk memilih siapa di antara suami-suaminya yang dia inginkan untuk menjadi pendampingnya di syurga, asalkan suaminya itu tergolong dari Ahli Syurga. Satu lagi pendapat mengatakan bahawa dia akan bersama suaminya yang terakhir. Ini disebut oleh hadith Rasulullah: “Wanita adalah kepunyaan suaminya yang terakhir” (H.R. Al-Albani)

ISTIKHARAH CINTA, EP 6


 EP 6
            “Ramainya orang, mak uda,” ujar Adrina.
            Dia memberhentikan keretanya bersebelahan kereta Nissan Skyline berdekatan pokok jambu di tepi jalan. Halaman rumah si pemilik rumah sudah sesak dengan tetamu. Kereta banyak yang diletakkan di tepi jalan. Nasib dia baik, kebetulan ketika itu ada sebuah kereta bergerak keluar dari halaman rumah jiran sebelah.
            Adrina memandang kereta disebelahnya sebaik sahaja dia keluar dari perut kereta. Macam pernah aku nampak kereta ni sebelum ni, tapi kat mana ye,” bisik hatinya.
            “Buat apa tercegat lagi tu. Cepatlah. Orang pun makin ramai ni.” Hamimah menegur. Adrina tersipu-sipu apabila orang yang lalu di situ menoleh ke arah mereka.
            “Mak uda, kenapa macam meriah aje majlis ni. Dah macam majlis kahwin pulak.”
            “Entahlah. Mak uda pun tak tahu. Katanya sambut cucu pertama sama majlis sebab anak dia buka lagi satu klinik kat bandar tu. Mak uda ingat majlis doa selamat yang biasa je. Tak tahu pula meriah sampai gini.” Ujar Hamimah.
            Adrina mengikut ibu tirinya ke dalam rumah untuk berjumpa dengan tuan rumah. Sebelum bertolak lagi, Hamimah pernah memberitahunya bahawa, tuan rumah perempuan ingin sangat berjumpa dengannya. Tapi kenapa? Soalan yang sama berbenak difikirannya sejak dia sampai lagi.
            Dekorasi setiap ruang rumah lama itu begitu menarik perhatian Adrina. Setiap susun atur perhiasan kena dengan konsep yang digunakan di setiap ruang rumah itu.
            Di ruang tamu sesak dengan orang perempuan pertengahan umur duduk bersembang. Apabila dia lalu diruangan tersebut, semua mata memandang ke arahnya. Adrina menjadi serba tak kena. Lantas dia melemparkan senyuman dan bergegas mengekori Hamimah yang sudah ke ruangan dapur. Aqilah menghilangkan diri sebaik sahaja bertemu dengan rakan sekelasnya, meninggalkan dirinya keseorangan dikelilingi perempuan-perempuan seusia ibu tirinya.
            Hamimah memanggilnya sewaktu dia ingin melabuhkan punggungnya. Adrina menghampiri ibu tirinya. Disebelah ibu tirinya duduk seorang wanita yang agak berusia. Wanita tua itu memandangnya dengan pandangan yang penuh. Adrina berasa tidak selesa.
            “Rina, ni Hajah Asiah tuan rumah ni.” Hamimah memperkenalkannya.
            Adrina menghulurkan tangan untuk bersalaman, tiba-tiba tubuhnya terdorong ke hadapan. Wanita tua yang dikenali dengan Hajah Asiah memeluknya dengan erat. Adrina mendengar esakan kecil dibalik cupingnya. Serba tak kena dia jadinya. Bingung. Mukanya menjadi merah apabila mata sekeliling memandang ke arah mereka. Beberapa ketika kemudian, Hajah Asiah melepaskan juga pelukannya apabila esakannya reda. Hajah Asiah mengesat air mata dengan hujung bajunya. Saat itu kelihatan jelas wajahnya yang dimamah usia. Adrina menjeling ke arah ibu tirinya, alangkah terkejutnya melihatkan ibu tirinya juga mengesat air mata. Kenapa ni.
            Hajah Asiah mengusap pipi Adrina dengan lembut. Hatinya rawan mendengar gadis dihadapannya itu membesar tanpa memori silam kecilnya. Hatinya bertambah sedih apabila diantara ahli keluarganya membenci gadis dihadapannya. Dia tidak bersalah. Takdir yang menentukan semua ini. Apa yang berlaku tidak dirancang. Ini adalah ketentuanNYA, tetapi mengapa ahli keluargaku tidak boleh memaafkannya. Dia masih anak-anak ketika itu, bisik hatinya sayu.
            “Er, puan... hajah... puan hajah tak apa-apa ke? Tanya Adrina.
            “Panggil nek wan. Dulu kamu selalu panggil nek wan,” pintas Hajah Asiah lembut. Adrina berasa pelik. Dulu? Aku pernah jumpa dia ke, bisiknya.
            “Masa kecil-kecil dulu, kamu selalu main dekat kawasan sini. Kamu ingat lagi Atiah. Dia tu cucu saudara nek wan, tiap-tiap petang kamu berdua mesti datang sini lepas balik sekolah agama,” ujarnya lagi.
            Adrina mengerutkan dahi. Dia tak mengingati walau satu pun memori semasa kecil. Hitam dan kosong sahaja yang menjadi latar di benak fikirannya.
            “Siapa yang benarkan budak ni datang sini?” Satu suara kedengaran melengking kuat dibelakangnya. Adrina segera menoleh. Seorang wanita seusia ibu tirinya berdiri tegak di tangga sambil bercekak pinggang.

*****
            Atiah mengusap lembut rambut Adrina yang sedang berbaring di atas katil. Bergegas dia pulang dari rumah hajah Asiah apabila suaminya menelefon memintanya pulang dengan segera. Terkejut dia apabila melihat Adrina yang sedang menangis sambil dipujuk oleh ibunya di ruang tamu sewaktu dia tiba di rumah. Keadaan Adrina tidak terurus ketika itu. Kelihatan tepi bibirnya lebam. Apabila ditanya Adrina hanya menggelengkan kepala sahaja.
            Atiah bangun dengan perlahan apabila melihat Adrina sudah lena. Dia menutup lampu dan pintu sebelum keluar. Di ruang tamu, ibunya, Mak Muyah dan makcik Hamimah masih berbual. Manakala suaminya dan anak mereka ke rumah nenek saudaranya menggantikannya yang terpaksa pulang. Atiah segera mengambil tempat di sebelah ibunya.
            “Rina dah tidur?” tanya ibunya. Atiah menganggukkan kepala.
            “Makcik, apa sebenarnya yang berlaku?” tanya Atiah lembut. Dia memandang tepat ke mata Hamimah. Hamimah mengeluh seketika.
            “Kami ke rumah hajah Asiah tadi,” ujarnya perlahan.
            Dua pasang mata dihadapannya saling berpandangan. Terkejut. Masakan keluarga nenek saudaranya itu menerima kehadiran Adrina. Kerana sesuatu peristiwa membuatkan keluarga nenek saudaranya itu membenci Adrina.
            “Nek Wan yang jemput makcik sekeluarga atau makcik saja-saja datang,” ujar Atiah lagi.
            “Hajah dan suami jemput kami sekeluarga. Hajah yang minta makcik bawa Adrina sekali sebab dia tahu Adrina ada kat sini. Makcik betul-betul tak sangka benda macam ni boleh berlaku.” Hamimah mengeluh lagi. Masih terbayang dikepalanya peristiwa yang baru sahaja berlaku di rumah Hajah Asiah.
            “Siapa yang jemput kau datang sini!” suara Puan Marina melengking kuat di ruang dapur itu. Adrina segera menoleh. Kelihatan seorang wanita seusia ibu tirinya berdiri di tangga atas. Wanita itu menghampirinya. Itulah Puan Marina, satu-satunya menantu perempuan dalam keluarga Haji Mansur. Adrina dan hajah Asiah segera berdiri.
            “Mar, tolong hormat tetamu ummi. Ummi yang jemput mereka datang,” ujar hajah Asiah tegas.
            “Ummi, tolong diam. Ini majlis keluarga saya, jadi saya yang berhak tentukan siapa yang boleh datang,” Puan Marina membantah.
            “Memang ni majlis kau, tapi ingat ni rumah aku. Jadi aku juga berhak untuk jemput siapa yang boleh datang.” Hajah Asiah memulang semula kata-kata menantunya itu.
            Adrina yang berada di sebelah hajah Asiah gelisah. Lantas dipegangnya lengan ibu tirinya sambil memberi isyarat untuk beredar.
            “Nanti! Aku belum habis dengan kau lagi!” tengking Puan Marina apabila melihat Adrina dan Hamimah ingin beredar dari situ.
            “Kau ni kenapa Mar, nak tengking orang tak tentu pasal. Mimah kau bawak si Rina ni balik cepat.Elin, bawak ummi kamu ni masuk bilik.” Arah hajah Asiah apabila melihat keadaan Puan Marina yang mula menggila. Kelihatan seorang gadis bergegas menghampiri mereka dan memujuk Puan Marina ke bilik. Puan Marina menepis tangan anaknya, Dia meluru ke arah Adrina yang hendak ke pintu, lalu ditariknya tangan Adrina. Satu tamparan hinggap ke pipi mulusnya. Perit.
            Adrina tergamam. Dia memegang pipi yang ditampar. Hangat. Dia memandang sekeliling. Semua mata memandang ke arahnya.
            “Puas hati aku. Sebab kau anak aku mati, sebab kau aku jadi macam ni. Semuanya sebab kau. Dasar pembunuh!” Puan Marina menjerit lantang. Tidak cukup dengan tamparan, Puan Marina menarik Adrina keluar rumah dan menolak gadis itu sehingga terjatuh. Tindakan Puan Marina yang drastik itu membuatkan semua yang berada di situ tergamam.
Hamimah segera berlari mendapatkan anak tirinya yang mula tersedu-sedu di atas tanah. Ikutkan rasa hati ingin sahaja dia menampar muka wanita yang berada di hadapannya itu. Tapi apakan daya, dirinya tidak mampu. Khuatir perkara lain pula yang jadi.
“Subhanallah. Marina apa nak jadi dengan kamu ni. Sudah hilang akalkah kamu ni?” ujar Encik Ezzudin tiba-tiba.
Dia dan haji Mansur bergegas ke situ apabila anak bongsunya memberitahu isterinya sedang menggila di dapur ketika dia sedang melayan tetamu yang hadir di hadapan. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat isterinya sedang menolak seorang gadis keluar rumah persis seorang pengemis. Puan Marina termengah-mengah menahan senak dan sebu di dada. Segala perasaan terkumpul di lubuk hatinya. Perasaan yang terpendam selama ini. Matanya mencerun memandang Adrina yang sudah berdiri disebelah ibu saudaranya. Ikutkan hatinya yang sudah dipalit dengan dendam ingin sekali dia ganyang muka itu. Tamparannya tadi seakan tidak memberi kepuasan kepadanya.
“Sudahlah. Jangan dipanjang-panjangkan lagi hal ni. Mimah kamu bawaklah anak tiri kamu ni pulang. Din, kamu pulak bawa isteri kamu masuk. Kepada yang ada disini, saya harap hal ini usahlah dibawa keluar. Biarlah ia diam disini saja. Terima kasih sekali lagi kepada yang sudi hadir pada majlis anak saya ni. Sekali lagi saya minta maaf atas apa yang berlaku.” Ujar haji Mansur dengan penuh berhemah.
“Melampau betul si Mar tu. Makin menjadi-jadi pulak perangai dia,” ujar Mak Muya apabila mendengar cerita Hamimah. Sakit hatinya apabila mendengar perlakuan Puan Marina terhadap Adrina.
“Kalau bukan sebab kaki yang sakit ni, nak aje aku cili mulut dia tu. Geramnya aku,” ujarnya lagi.
“Sudahlah tu mak. Nak buat macam mana, benda dah jadi. Kalau ikutkan hati yang panas ni, Ati pun nak aje balas balik apa yang makcik Mar buat kat Rina. Sayang betul, kalau Ati tak bersembang dengan kak Lina kat bilik, boleh jugak Ati halang makcik Mar dari serang Rina.” Keluh Atiah.
“Halim tahu ke pasal ni, Mah?” Tanya Mak Muya. Wajah Hamimah semakin bertambah keruh. Akhirnya dia melepaskan keluhan yang memberat.
“Tak lagi. Abang Halim pergi Pontian dua hari ni. Mintak-mintak dia tak dengarlah dari mulut orang kampung ni. Kalau tak habislah saya dengan Rina kena.” Ujarnya. Atiah dan ibunya hanya mendiamkan diri. Begitu berat beban yang terpaksa dipikul oleh Hamimah. Walaupun dia hanyalah ibu tiri, tapi seperti ibu kandung bagi Rina dan adik-adiknya,” bisik hati Mak Muya. Kesepian sekali lagi menyelubungi ruang tamu itu.
*****
“Kamu betul-betul dah memalukan saya. Sikap kamu yang menongkat langit tu buat saya malu dengan orang kampung. Apatah lagi dengan ummi dan abah.” Encik Ezzudin meluahkan rasa kesalnya sebaik sahaja dia masuk ke kamarnya.
Puan Marina sedang duduk berteleku di atas katil sambil ditemani anak gadisnya, Elin Suraya. Ellina anak sulungnya pula berdiri ditepi tingkap sambil memeluk tubuhnya, memandang keluar. Di luar, sudah tidak kedengaran suara-suara tetamu yang hadir pada hari itu.
Encik Ezzudin mengambil tempat di bangku meja solek. Dia memandang penuh ke arah isterinya yang masih mencemberut walaupun amukannya sudah beransur hilang. Sebelum dia masuk ke bilik itu, Hajah Asiah sudah menceritakan segala-galanya. Dia cukup terkilan dengan sikap isterinya yang semakin hari semakin melampau. Dia sedar, isterinya masih tidak dapat menerima hakikat tentang kematian anak mereka, Emira Aisya yang juga merupakan kembar Emir Akmal 15 tahun yang lalu.
Pada awalnya dia juga turut terkilan dengan kematian anaknya itu lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan Adrina anak sahabatnya sendiri, namun dia sedar bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Tambahan pula, tahap kesihatan Emira pada masa itu tidak begitu baik, dan sudah ditakdirkan bahawa hidup anaknya itu hanya setakat situ sahaja. Meninggal di usia yang muda. Tetapi Isterinya tetap tidak dapat menerima hakikat itu. Dia berterusan menyalahkan Adrina sebagai punca kematian anaknya. Kasihan anak itu, sudahlah hilang ingatan akibat kemalangan itu, dibenci pula oleh isteriku. Tak termasuk lagi Amal yang turut berdendam kerana kematian kembarnya, bisik hatinya.
Ruang bilik tidur yang sepi itu kembali bernyawa apabila Emir Akmal tiba-tiba sahaja meluru masuk ke bilik tersebut. Emir Akmal memandang orang-orang yang berada dibilik itu. Matanya tertacap pada umminya yang masih lagi di atas katil.
“Ummi, betul ke apa yang Amal dengar. Perempuan pembunuh tu datang sini. Betul ke, ummi?” Emir Akmal bertanya dengan nada yang cukup tegang. Perasaan amarah membuak-buak setiapkali perihal penyebab kematian kembarnya sampai ke cuping telinganya.
“Amal, jaga percakapan kamu tu. Kamu pun nak mengamuk tak tentu pasal macam ummi kamu ni.” Ujar Encik Ezzudin pedas.
“Ayah, perempuan tu dah bunuh adik Mal. Masakan Mal boleh lepaskan dia macam tu aje. Mal memang ajar dia cukup-cukup sama macam dia buat dekat Mira dulu,” tingkah Emir Akmal.
“Kamu pun nak jadi pembunuh jugaklah. Mana ciri-ciri seorang doktor dalam diri kamu tu. Ingat, Mal... budak tu sekarang dah tak ingat apa-apa pun tentang kemalangan tu, dia dah hilang ingatan. Dia umpama seorang pesakit. Dan kamu seorang doktor tak sepatutnya membuat aniaya terhadap pesakit kamu. Kalau kamu cuba buat sesuatu ke atas dia, kamu jugak tak ubah seperti pembunuh.” Ujar Encik Ezzudin tegas. Emir Akmal terdiam.
“Memang padan pun dia hilang ingatan. Balasan atas apa yang dia dah buat. Kenapa tak dia pun mati sekali, sekurang-kurangnya tak lah sakit hati ni.” Ujar Puan Marina tiba-tiba. Semua mata memandang ke arahnya. Encik Ezzudin berisghtifar berbanyak kali.
“Kamu betul-betul dah keterlaluan, Mar. Kamu dah lupa Tuhan ke.” Ujar Encik Ezzudin.
“Saya bukan apa, hati saya sakit bila tengok budak tu hidup membesar. Sedangkan anak saya, usia muda lagi dah pergi tinggalkan saya. Sedangkan dua-dua terlibat dalam kemalangan tu, tapi kenapa dia seorang yang hidup.” Puan Marina mula menangis teresak-esak.
“Kalau bukan sebab kemalangan tu pun, Mira akan pergi juga. Baha juga dah cakap, jantung berlubang dia ditahap yang kronik masa tu. Bila-bila masa sahaja dia akan pergi. Tolonglah, Mar... janganlah awak berdendam dengan budak tu lagi. Dia tak tahu apa-apa masa tu. Kemalangan tu terjadi diluar jangkaan kita.” Ujar Encik Ezzudin sebak.
“Betul cakap ayah tu, ummi. Yang lepas tu biarkan lepas. Lina sekian tengok ummi setiap masa menyimpan dendam. Lagipun tak baik kita berbuat aniaya terhadap orang yang hilang keupayaan macam Rina tu,” ujar Ellina lembut sambil memegang lengan Puan Marina. Ellina melemparkan pandangannya ke arah Emir Akmal yang mendiamkan diri.
Puan Marina menganggukkan kepalanya sambil mengelap air matanya. Respon daripada Puan Marina memberikan satu kelegaan dihati Encik Ezzudin dan Ellina. Manakala Elin dan Emir Akmal hanya mendiamkan diri sahaja.
“Bukan mudah untuk aku lepaskan kau, Rina. Aku buat semua ni untuk kaburkan pandangan suami dan anakku. Aku akan terus buat hidup kau merana. Anak aku juga akan buat kau merana,” bisik hati Puan Marina penuh membencikan. Anak matanya memandang ke arah Emir Akmal yang berdiri termenung di tepi meja solek. Satu rancangan jahat mula terukir di mindanya untuk memusnahkan hidup Adrina kerana dendam yang tersimpan sekian lama. Bantuan dari Emir Akmal amat diperlukan dalam menjayakan rancangan itu.

Monday 14 November 2011

13 ALASAN TIPIKAL WANITA YANG ENGGAN MENUTUP AURAT

Pernah nasihat atau tegur k...awan-kawan anda yang tidak menutup aurat? Jom kita tengok apakah alasan yang selalu digunakan wanita yang enggan menutup aurat apabila ditegur kesalahan mereka itu. Dan apa jawapan yang mungkin sesuai untuk mereka.?

1. Semua yang tutup aurat, confirm masuk syurga ke?

-Yang pasti, kalau tak tutup aurat, confirm masuk NERAKA..Nauzubillah

2. Tudung labuh pun macam baik sangat. Buat dosa jugak. Mengumpat orang.

-Bila Iblis tak mahu ikut perintah Allah untuk bersujud kepada Adam, dia menyalahkan perintah Allah itu. "Apahal pulak aku kena sujud, aku lebih baik dan mulia". Samalah seperti tudung. Tudung pula yang disalahkan, " pakai tudung tak mestinya baik..bla...bla...bla..."

3. Macamlah kau bagus sangat nak tegur aku. Kau dulu lagi jahat nak mampos.

-Tidak tersabit larangan dari Nabi untuk seseorang yang bahkan baru masuk Islam untuk pergi berdakwah kepada kaumnya. Maksudnya, dakwah itu tuntutan. Selagi kau Islam, dakwah tu wajib walaupun kau sendiri tak berapa betul. Sekurang-kurang dia insaf dan bertaubat sekarang.

4. Walau kami pakai seksi tapi hati kami baik.

-Adakah kau mendakwa diri kau mempunyai hati yang suci, iman yang tinggi dan kononnya ia sudah cukup menjamin maruah diri kau tanpa perlu menutup aurat?


5. Pakai jarang ke ketat ke, itu hak kami. Kalau tak suka jangan tengok.

-Adakah kau berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi mempunyai hati suci dan iman yang tinggi untuk menahan godaan syaitan serta nafsu yang membuak-buak?

6. Kami rasa apa yang kami pakai tak seksi. Terpulang kepada individu yang memandang kami.

-Seksi atau tidak, kau tetap berdosa walaupun hanya menayang sehelai rambut kau.

7. Walau kami tak bertudung, kami tetap solat dan puasa.

-Apakah ibadat kau diterima? Kau yakin cuma dengan berpuasa sudah cukup untuk menjamin kau masuk syurga?

8. Suka hati kamilah nak pakai macam ni. Kami tak susahkan hidup orang lain.

-Kau sebenarnya dah susahkan bapa, abang, adik, suami serta orang lain dengan menarik mereka ke neraka bersama kau disebabkan mereka tidak menegur dan gagal mendidik kau.

9. Apa yang kami pakai, ini antara kami dengan ALLAH.

-Berani cakap di dunia, berani ke kau cakap macam tu depan Allah nanti? Lawan perintah Allah, Neraka tempatnya.

10. Kami pakai seksi macam ni, sebab ikut arahan photographer/pengarah filem untuk disesuaikan dalam scene. (ayat artis)

-Sanggup patuh arahan mereka daripada patuh suruhan Allah?

11. Bukan kami tak mahu menutup aurat, cuma masih belum sampai seru.

-Mati tidak mengenal usia. Tak takut ke mati dalam usia muda? Tak sempat nak bertaubat nanti.

12. Takkan nak buat perubahan secara drastik? Slow-slow la..

-Boleh ke cakap kat Malaikat Izrail nanti, tunggu kejap! Lepak la dulu. Jangan ambil lagi nyawa aku.

13. Tutup aurat tu bagus tapi kami tidak mahu hipokrit kerana tidak ikhlas melakukannya.

-Kalau begitu kau sebenarnya memang hipokrit kerana tidak ikhlas beragama Islam.“Wahai wanita, setiap ciptaan tuhan yang berharga di dunia ini akan terlindung dan amat sukar untuk diperolehi. Di mana kamu boleh dapatkan permata? Tertanam jauh di perut bumi, tertudung dan dilindungi. Dimana kamu jumpa Mutiara? Terbenam jauh di dalam lautan, tertudung dan dilindungi oleh kulit kerang yang cantik. Di mana kamu cari emas? Terperosok di lapisan bumi tertudung dengan lapisan demi lapisan tanah dan batu. Tubuh kamu adalah suci malah lebih berharga daripada emas mahupun permata. Oleh itu kamu juga perlu bertudung dan melindungi diri kamu.”

BIARKAN SAMUDERA

Apa lagi yang lebih damai dan menyelesakan selain menatap ketajaman terpaan tempias hujan yang jatuh mengguyur membasahi bumi, merenjis tangkai hati? Dia termangu menyaksikan titik-titik hujan yang berjatuhan lalu menimpa dada ombak itu. Sungguhlah, dia kesal dengan ombak dan gelora dalam diri.
            Dia meruyupkan kelopak mata. Dia dapat menyaksikan dengan jelas di kejauhan itu.
            Samudera itu kelihatan garang. Berpintal-pintal dan bergulung-gulung. Berpintal-pintal dan bergulung-gulung. Pintalan gulungan itu semakin lama semakin mengecil pula. Wujud semacam satu kesejahteraan dalam diri. Kesegaran meruap di mana-mana. Air tenang dan membuahkan ketenangan. Dia meruyupkan matanya sekali lagi. Entah kali yang ke berapa.
            Entah. Dia tidak peduli.
            Angin semilir berhembus dengan rintik-rintik hujan, terus menderu datang bersama-sama alunan jiwanya yang kering. Ada irama tiupan bayu yang merenyuhkan tangkai hati. Menggeluncur di celah-celah kepahitan dan keperitan detak rasanya. Digagahi diri untuk tidak mengizinkan mata fikirnya menerawang jauh membelah samudera itu. Namun, itulah saat dia mahu melupakan, saat itulah pula ia datang, menerawang dan berlegar-legar membelah kolam rasanya.
            “Samudera ialah khazanah kehidupan nelayan, manakala kesejahteraan dan keharmonian nelayan mengeksploitasi dan memanfaatkan khazanah itu akan menjamin kelangsungan dinamika keseimbangan ekosistem samudera.”
            Mulutnya terkumat-kamit.
            “Mir, apa yang kau kata?”
            Mulut mongel Hakimah memuncung sedikit. Mata Hakimah yang bulat bening dengan alisnya yang hitam lebat mencerlung ke arahnya.
            Dia tidak peduli.
            “Ayah sayangkan laut itu seperti ayah sayangkan kau, Mir.”
            Dia terdengar kata-kat itu. Ingatan-ingatan itu semakin kerap dan sukar hendak dikikis. Buatlah apa sahaja pun, kata-kata itulah yang didengarnya. Pandanglah apa sahaja pun, wajah itulah yang terbias. Biasan itu tidak pernah lekang. Tidak pernah renggang. Sedikit pun.
            “Mir, kuliah tak ada Sabtu ini, kita ke kota, ya?” Mulut mongel Hakimah bergerak-gerak lagi.
            “Sudah tak ada apa-apa lagi yang tinggal buat kita,Mir. Segala-galanya kosong. Segala-galanya tidak bererti.”
            Bagaimana dia mahu melupakan? Diri berasa terhimpit dan terdesak. Hati terasa pedih dan perih. Hujung semester ini dia akan pulang. Di mana dia akan tinggal?Di samudera itu? Di samudera yang garang dan telah dicemari itu? Di mana?
            “Rumah kita sudah tidak ada, Mir. Kau pulang nanti, kau hanya akan melihat tiang-tiangnya yang berceracak. Menunggu masa dicabut dan dibuang. Tiang-tiang itu, tempat kau bermain sembunyi-sembunyi dengan Su, dengan Ti, dengan Min suatu waktu dahulu tidak ada lagi.”
            Dia bangun. Menguak daun jendela warna biru laut. Membiarkan cahaya matahari pagi terbias dan membiarkan juga bayu dingin menjamah kulitnya. Dia merebahkan diri di sisi Hakimah sebentar.
            Sejenak direnungnya kipas yang sedang berputar ligat. Kipas itu pusaran ombak samudera yang berhempas-pulas menyelamatkan dirinya. Samudera itu bergelora, berputar dan berpilin, cuba meloloskan diri daripada himpitan yang menyeksakan itu.
            “Tidak ada lagi ruang untuk kita, Mir. Lihatlah perahu ayah yang tersadai di lumpur itu. Tidak ada sesiapa yang mahu mengambilnya. Kaulihatlah, satu demi satu rumah nelayan roboh. Tidak lama lagi kau akan melihat satu demi satu kehidupan nelayan musnah….” Mulut Mir terkumat-kamit.
            “Mir … kau, kenapa?”
            Hakimah yang sedang membelek-belek majalah, memandang Mir di sisinya. Mir memang aneh sejak akhir-akhir ini. Apa sudah jadi dengan gadis berjiwa kental ini? Hakimah terus sahaja diburu kehairanan. Apa sudah jadi dengan Mir?
            Mir tidak memberi jawapan. Setelah puas merenung kipas yang sedang berputar ligat itu, dia bangun kembali. Dia menguak daun jendela semula. Dia cuba melihat angin. Melihat angin?
            Mir tersenyum.
            Dapatkah dia melihat angin? Dapatkah dia melihat angin seperti dia melihat samudera yang sedang bergelora, menjerit dan meronta-ronta meminta dikasihani?
            “Mir, kita ke kota Sabtu ini ya?” Hakimah beria-ia tanpa menghiraukan Mir yang berkelakuan aneh sejak akhir-akhir ini.
            “Aku mahu melihat laut.” Mir menahan nafas.
            “Melihat laut?” Mata Hakimah besar. Menatap Mir lama-lama.
            “Kau tidak mendengar suara ombak. Kau tidak mendengar jeritan hatinya. Dia menjerit-jerit minta dikasihani. Kau tak dengar?”
            “Mir.”
            “Kau tidak pernah merasai laut seperti ayahku yang saban hari bergelut dengannya. Kau tidak pernah mendengar suara rintihan ombak seperti ayahku yang saban waktu mendengar raungannya.”
            “Mir, sudahlah. Kau sakit, Mir. Kau harus mendapatkan rawatan. Aku bantu kau ya?”
            Hakimah buntu. Dia mahu berterus terang. Mir perlu dibantu. Mir jadi pendiam sejak akhir-akhir ini.
            Dia tahu masalah Mir. Rumah Mir di tepi pantai sudah dirobohkan. Rumah Mir yang buruk dan mahu tumbang itu akan digantikan dengan rumah peranginan yang cantik. Mir tidak berhak tuntut apa-apa kerana tanah itu bukan milik mutlak Mir. Milik mutlak Mir hanyalah rumah papan panjang berderet yang akan dikongsi dengan jiran-jiran Mir nanti.
            “Mir, cuti semester ini kau ikut aku pulang ya?” Hakimah menyentuh bahu Mir. Rambut Mir yang panjang dibelai-belainya. Ada simpati yang luruh di celah-celah harum rambut itu.
            “Biar aku tinggal sahaja di samudera itu. Ia bukan milik sesiapa.” Mir terus sahaja bersuara. Matanya tetap merenung jauh. Pandangan itu menjangkau angin, bukit dan pokok-pokok hijau di kampus itu.
            Dia seperti ternampak susuk tubuh kurus ayah meredah gelombang samudera itu. Samudera itulah yang bergulat dalam diri ayah sejak dulu. Sekarang pun, samudera itulah juga yang wujud dalam diri ayah. Ya. Sekarang pun.
            “Ayah tidak boleh dipisahkan daripada samudera itu. Ayah ialah samudera. Samudera ialah ayah.” Mulut Mir terus sahaja terkumat-kamit.
            Hakimah mengeluh. Dipeluknya bahu Mir. Ada kengiluan mengalir dalam diri. Mir harus diselamatkan sebelum segala-galanya menjadi pudar. Mir sahabatnya yang baik. Dan dia juga harus menjadi sahabat yang baik kepada Mir.
            Siapa lagi yang ada di kampus hijau ini melainkan dia? Mir tidak ada orang lain lagi. Ibu Mir tidak ada sebaik sahaja Mir dilahirkan. Mir cuma ada seorang ayah yang sudah tua.
            Mir tidak memiliki apa-apa pun selain orang tua yang bersemangat waja itu. Mir tidak ada setapak tanah pun miliknya yang sah. Benarlah. Mir kecewa.
            “Samudera itu juga terseksa seperti aku, Hakimah. Dia sakit. Dadanya bergelora. Dia disakiti oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mereka tidak berhati perut. Mereka sengaja mahu melihat samudera menderita.”
            Mir menyeringai. Kemudian Mir memejamkan mata. Di dalamnya hanyut bayangan ayah. Ayah menggawang-gawangkan pukatnya. Ayah mengacung-acungkan pendayungnya.
            “Pembangunan mewah itu telah menciptakan pisau tajam yang membenam di dalam dada ayah. Tajamnya melebihi dayung ayah yang saban waktu membelah samudera.”
            Hakimah mengusap bahu Mir. Simpati mengalir di celah-celah rekahan senyumannya. Jiwa Mir terseksa. Mir tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Mir harus diberi kekuatan. Mir harus diberi keyakinan. Tidak ada sesiapa dalam hidup Mir lagi. Kecuali ayah yang telah tua. Kecuali samudera. Kecuali angin. Kecuali tanah bekas peninggalan hidupnya yang manis. Dan kenangan-kenangan yang sukar Mir lupakan. Selebihnya tidak ada. Tidak ada apa-apa lagi buat Mir.
            Kasihan Mir.
            “Jangan biarkan jiwa kosong.”
            Hakimah merenung wajah ibu. Wajah itu penuh ketenangan. Ada sinaran lembut yang membersit terpancar dari mata ibu. “ Kau harus isikannya dengan nur.”
            “Nur?” Hakimah terkesima. “ Ya, nur. Kau ajar dia sentiasa membaca al-Quran. Kau ajar dia mengenal Tuhan yang satu. Di situ ada ketenangan. Disitu ada kebahagiaan.”
            Hakimah terdiam. Lama dia merenungi ibu. Teringat dia akan kata-kata puan kaunselor yang baru ditemuinya baru-baru ini.
            “Dia mengalami konflik jiwa yang hebat. Mungkin juga kita dapat kelaskannya sebagai skizofrenia mudah. Peringkat permulaan sukar dilihat. Tandanya mungkin dapat dilihat sedikit demi sedikit. Pada mulanya dia tidak berminat dalam banyak perkara, tidak mahu keluar dan pergaulannya dengan orang lain semakin berkurangan.
            “Dia kelihatan tidak bermaya dan mempunyai sikap bosan terhadap hidup. Dia mengabaikan pelajarannya. Pesakit ini harus diselamatkan secepat mungkin, kalau tidak, besar kemungkinan penyakitnya akan melarat.”
            Hakimah terkedu. Direnungnya wajah puan kaunselor itu dengan pandangan sayu. Mir tidak boleh dibiarkan hanyut. Mir harus diberi kekuatan. Mir sahabatnya yang tulus. Mir lambang perjuangan. Namun jiwa Mir terlalu goyah.
            Mudah sahaja Mir tergugah. Mir tidak pernah menikmati kasih saying sesiapa. Kecuali ayahnya. Kecuali orang tua yang mempunyai kudrat yang rapuh itu. Barangkali, barangkali kerana itulah Mir mudah menjadi pemurung.
            Barangkali itulah!
            “Hakimah.”
            Ketika langkahnya bergerak untuk mendapatkan Mir, tiba-tiba ibu mencekak tangannya. Dia terhenti mendadak, menoleh ke arah ibu yang berjarak selangkah di belakang. Ibu merenung wajahnya. Lama-lama.
            “Ada apa, ibu?”
            “Tunggu.” Ibu menarik nafas. Kemudian ibu menghulurkan bungkusan yang berbalut kain putih. “Berikan ini kepada Mir.”
            Hakimah angguk. Tangannya menyentuh bungkusan itu. Digenggamnya kemas-kemas. Terbayang wajah Mir yang suram, sendu dan mengharukan. Untuk sejenak, direnungnya wajah ibu yang sentiasa prihatin, lembut dan mendinginkan.
            Wajah itu umpama salju, merenjis hati yang walang. Alangkah damainya jika Mir juga punya ibu. Barangkali Mir juga akan lebih damai. Akan lebih tenteram.
            “Ajaklah Mir datang ke sini. Ingin sekali ibu ketemu dengannya.”
            Spontan, direnungnya wajah ibu yang damai. Sesungguhnya pada saat-saat seperti itu, bagaikan tidak terasa betapa dia sebenarnya amat bersyukur mempunyai wanita yang berhati murni ini. Sungguhlah betapa disedari bahawa dirinya sebenarnya amat bertuah, memiliki wanita yang sarat kemuliaan ini.
            “Ya, saya akan mengajaknya ke sini, ibu. Mengajaknya mengenali seorang wanita yang saya kagumi sejak dulu,” ujarnya.
            Barangkali, dia sewajarnya tidak terus membenamkan kekesalan yang perih itu terus ke jantung hati.  Sewajarnyalah dia membiarkan sahaja samudera itu bergulung-gulung, berpintal-pintal dengan ngauman kegarangannya yang tidak pernah berubah sejak dulu. Yang berubah hanyalah pantai itu. Yang bertukar hanyalah kehidupannya yang payah.
            Dia mendengus kasar. Menepis ingatan yang mengusik kedamaiannya. Sejenak dia merenung hadiah pemberian Hakimah tidak lama dahulu. Dia tersedu kepiluan. Sejenak, kebahagiaan pula menjenguk diri. Silih berganti.
            “Apa lagi yang harus aku lakukan?” rintihnya, kepiluan. Sepilu hati ayah sewaktu melihat rumah kenangannya dirobohkan satu per satu.
            “Ayah gembira melihat kau pulang, Mir.”
            Suara garau ayahkah yang menyentak lamunannya? Masih seperti dalam mimpi, Mir bangun. Berdiri di tepi jendela dan merenung jauh. Melihat samudera yang sedang bergelora ganas. Bergumpalan dan berteriakan. Pedih dan perit.
            “Ayah akur, Mir. Memang sudah suratan. Ayah akan habiskan sisa-sisa hidup ayah di sini. Di rumah gentian ini. Cuma, apabila kau sudah lulus nanti, ayah mahu kau carilah kerja yang baik. Kemudian binalah mahligai sendiri. Hakmu sendiri. Ayah akan bahagia.”
            Mir tersendu kepiluan. Digagahi diri untuk menahan gelombang di dalam dada. Dia mengeluh singkat, lantas memujuk diri. Digenggamnya hadiah pemberian Hakimah, sahabatnya yang baik itu.
            “Ayah tidak mahu lagi membelah samudera itu? Bukankah samudera itu sering menantikan ayah, pahlawan yang tangkas? Ombak laut yang bergulung-gulung itu, bukankah juga sering menanti lelaki yang berani seperti ayah? Menakluki dan menimba khazanahnya. Namun, terus-menerus berterima kasih kepadanya tanpa mengkhianatinya. Samudera terlalu lurs untuk dikhianati ya, ayah?”
            “Ayah yakin samudera tetap akan terus bergelora meskipun dadanya sakit. Dia tetap menyumbangkan baktinya walaupun ayah tidak lagi menemaninya. Cuma ayah harap, engkaulah penerus dan pewaris untuk menjaga samudera itu, Mir. Jangan biarkan dadanya sakit, biarkan ia terus berbakti, selama-lamanya.”
            Mir mengangguk dan menyunggingkan senyum.
            “Amirah.”
            Mir memandang ke sisi. Hakimah dengan wajah ceria, tiba-tiba sahaja terpamer di muka pintu. Ada kebahagiaan terpancar pada mata bening itu.
            “Kau bercakap dengan siapa, Mir.”
            “Aku bercakap dengan ombak, dengan samudera. Ayah menyuruhku menjaganya. Jangan sampai dikhianati. Biarkan pantai dengan bangunan mewah, asal jangan menyakiti samuderaku, biarkan ia bergelombang dan bergelora. Jangan mengkhianati dan mengotorinya.”
            Hakimah tersenyum. Direnunginya wajah Mir. Syukurlah, Mir sudah semakin pulih. Ada kedamaian beriak-iak pada cebisan senyuman Mir.
            “Hadiah ibumu ini akan kupakai lima kali sehari. Jiwaku tenang. Aman dan damai. Terima kasih, Hakimah.” Amirah merenung telekung putih berenda yang cantik itu.
            Hakimah terus sahaja tersenyum, memandang Mir yang tenang di atas sejadahnya.