Saturday 24 September 2011

ISTIKHARAH CINTA, BAB 5

BAB 5
            Emir Akmal memandu dengan perlahan ketika melalui jalan di kawasan kampung. Jalan yang tidak berturap, penuh dengan lopak menyukarkan pemanduannya. Tambahan pula, jalan di kampungnya itu sempit, apabila kenderaan dari arah yang bertentangan melalui jalan itu, dia terpaksa ke tepi sedikit daripada mengelakkan berlakunya pertembungan. Sejak dia kecil lagi, jalan di kampungnya begitu. Sudah banyak kali aduan dibuat kepada wakil rakyat namun jawapannya tetap sama.Lumrah kehidupan orang berpolitik, sewaktu mula-mula bertanding semasa pemilihan calon bukan main tinggi janji dilambungnya, bila sudah dapat jawatan tersebut janji tinggal janji.
            Emir Akmal mengeluh kecil. Lewat tengah malam tadi dia selamat sampai ke rumah orang tuanya di Kg Pt Teriman. Keletihan memandu masih terasa, ingin sahaja dia mengambil bantal sekarang jugak. Tetapi sesudah subuh pagi tadi, dia sudah digesa oleh umminya agar menolongnya membersihkan beberapa tong air yang akan digunakan semasa majlis kesyukuran esok malamnya. Mata yang sembap tidak cukup tidur terpaksa dibulatkan setelah telinganya berasap dileteri umminya. Nasib badan apabila diri ini seorang sahaja anak lelaki dalam keluarga. Semua kerja berat terpaksa dibuat sendirian. Hendak meminta tolong abahnya, pagi-pagi lagi abahnya yang juga merupakan seorang doktor sudah bergerak ke klinik barunya di Batu Pahat.
“Bosannya. Balik-balik kawasan kampung  ni jugak aku lalu,” getusnya perlahan. Emir Akmal memandu dengan perlahan Nissan Skyline nya apabila lori kecil mengangkut kelapa sawit datang dari arah hadapan. Dia membunyikan hon apabila yang membawa lori tersebut orang kampungnya juga.
Emir Akmal memberhentikan keretanya dihadapan SK Sri Molek. Kelihatan banyak kenderaan diletakkan ditepi jalan raya. Jalan di kawasan sekolah rendah ini satu-satunya jalan yang sudah diperbaharui. Itupun dengan menggunakan duit penduduk tiga buah kampung yang berdekatan termasuk kampungnya untuk membesarkan lagi jalan disitu.
Emir Akmal menjengah dari dalam kereta melihat ke dalam kawasan sekolah. Nampak macam meriah aje, bisiknya. Kelihatan ditengah padang acara larian sedang berlasung dan beberapa pelajar perempuan menjerit-jerit memberi sokongan bagi setiap ahli rumah yang bertanding.
“Oh, ada hari sukan rupanya. Kenapalah si Hanna tak bagitahu awal-awal, kalau tak boleh aku ikut dia pagi tadi. Sengal betullah adik aku ni,” ngomelnya. Dia memandang jam dipergelangan tangannya, sudah masuk pukul 10pagi. Awal lagi ni kalau aku nak balik rumah. Baik aku masuk dalam, boleh jugak balik saing Hanna nanti. Balik awal pun panas pulak telinga ni dengar ummi membebel, bisik hatinya. Dia segera menghantar SMS kepada kakaknya, Ellina yang sedang pantang bersalin juga baru sahaja sampai ke kampung awal darinya semalam, demi mengatakan keberadaannya. Usai menghantar mesej kepada kakaknya, dia segera mematikan enjin dan keluar dari kereta.
Emir Akmal berdiri seketika dihadapan pagar hadapan sekolah itu. Dia memandang sekeliling kawasan sekolah. Masih sama, hanya sudah ada sedikit perubahan seperti bangunan batu tiga tingkat di bahagian belakang menggantikan bangunan kayu. Tetapi bangunan kayu di sebelah hadapan tidak pula dirobohkan. Menurut adiknya Hanna Maisarah sebelum ini bangunan tersebut dijadikan tempat solat dan juga tempat santai membaca. Emir Akmal tertawa kecil. Teringat zaman sekolahnya dahulu. Di bangunan kayu itulah tempat dia belajar. Pelbagai kenangan manis dan pahit tercipta dibangunan itu ketika dia masih belajar disitu.
Ketika dia ingin melangkah masuk ke dalam kawasan sekolah, tiba-tiba bahunya dirempuh dari belakang. Kedengaran bunyi benda terjatuh. Dia segera menoleh. Kelihatan seorang wanita bertudung tunduk mengambil barangnya yang jatuh tadi. Emir Akmal berasa serba-salah.
“Er... cik, saya minta maaf. Saya tak perasan cik kat belakang tadi,” ujarnya serba-salah. Dia memandang gadis dihadapannya yang sudah berdiri sambil ditangannya memegang kamera digital yang mungkin baru sahaja jatuh sebentar tadi. Wanita itu mendongakkan kepalanya.
“Tak. Salah saya jugak, jalan tak tengok depan. Saya yang sepatutnya minta maaf.” Ujarnya lembut. Saat matanya bertentang dengan Emir Akmal, wanita itu tergamam.
Emir Akmal semakin serba-salah apabila wanita itu memandangnya tidak berkelip. Seperti berlamun. Dia ingin segera beredar dari situ apabila pengawal keselamatan yang berada disitu mula menjengah-jengah ke arah mereka.
“Kamera cik tak rosak ke. Kalau ada yang rosak saya boleh gantikan,” ujarnya dengan harapan wanita itu tersedar dari lamunannya. Wanita itu terpinga-pinga seketika.
“Aa... tak... tak rosak. Calar sikit aje. Encik jangan risau. Em... sekali lagi saya minta maaf sebab dah langgar encik tadi,” ujar wanita itu bertalu-talu memohon maaf.
“Eh, tak pe. Salah saya jugak, tak berhati-hati tadi. Em... kalau tak ada apa-apa lagi saya minta diri dulu,” balas Emir Akmal. Dia segera meninggalkan kawasan itu tanpa menunggu reaksi dari wanita itu.  Sesekali dia menoleh kebelakang melihat wanita itu yang masih berdiri di pintu masuk sekolah.
*****
Jantungnya masih lagi berdegup kencang walaupun sudah tiga puluh minit berlalu selepas kemalangan kecil itu. Adrina duduk termenung merenung kamera ditangannya. Sesekali dia memandang ketengah padang apabila kedengaran suara sorakan.
Hari ini merupakan hari sukan disekolah Aqilah. Adrina sudah berjanji dengan adiknya untuk hadir menyaksikan acara tersebut. Matahari semakin terik memancarkan cahayanya. Nasib baik dia berteduh dibawah khemah pertolongan cemas, jika tidak pasti dia sudah pitam dibawah sinaran matahari.
Wajah lelaki itu seperti pernah dia lihat, tetapi dimana. Adrina masih lagi mengingati peristiwa dia terlanggar lelaki misteri itu. Lesung pipitnya yang terserlah apabila berkata-kata mengingatkannya kepada seseorang. Adrina merasakan kepalanya menjadi semakin berat apabila memikirkan kisah lamanya yang kelam.
Bunyi bising tiba-tiba mengganggu lamunannya. Kelihatan seorang pelajar lelaki diusung masuk kedalam khemah pertolongan cemas yang sedang dia teduhi. Pelajar dan guru mengerumuni pelajar tersebut. Adrina memanjangkan lehernya. Kelihatan pelajar lelaki tersebut terbaring kaku. Wajahnya pucat lesi. Kelihatan lengan kirinya kesan lebam membiru, mesti patah, bisik hatinya.
“Sesiapa tolong hubungi ambulan,” ujar seseorang.
Adrina terkedu melihat lelaki yang dilanggarnya tadi berada disitu. Lelaki tersebut segera melakukan CPR ke atas pelajar tersebut. Beberapa saat kemudian pelajar tersebut tersedar dan mengaduh kesakitan. Lelaki itu menanyakan sesuatu kepada pelajar tersebut dan kemudian memegang lengan kiri pelajar itu. Dia meminta kain pembalut untuk membalut lengan pelajar tersebut sementara menanti amulan tiba. Setiap perlakuannya diperhatikan Adrina. Tanpa Adrina sedari, tangannya tiba-tiba mengambil kamera dan memetik setiap perlakuan lelaki tersebut.
Tiba-tiba lelaki tersebut memandang ke arahnya. Pandangan mereka saling bertaut. Adrina segera mengalihkan kameranya dari pandangan lelaki tersebut setelah menyedari perlakuannya itu. Tanpa membuang masa dia segera beredar dari khemah itu apabila mata tajam lelaki itu kian menusuk pandangannya tambahan pula dia berasa serba-salah kerana telah mengambil gambar tanpa kebenaran pemiliknya.
Emir Akmal memandang ke arah wanita yang asyik mengambil gambarnya. Wanita yang melanggarnya dihadapan pagar masuk sekolah. Sudah lama dia sedari tentang perlakuan wanita itu. Sewaktu dia mula memberi rawatan kepada pelajar yang pengsan itu lagi. Pandangan mereka bertaut. Wanita itu seakan sedar dari perbuatannya lalu segera melarikan kameranya dari pandangan mata Emir Akmal. Emir Akmal ingin menuju ke arah wanita itu, tetapi wanita itu sudah meninggalkan kawasan khemah itu. Ia semakin menambahkan tanda tanya difikiran Emir Akmal terhadap wanita yang dianggap misteri itu.